Pengenalan
Tamadun
Melayu merujuk kepada sebuah tamadun yang dibentuk oleh sekelompok manusia
secara luasnya dan digolongkan sebagai kumpulan orang Melayu. Walaupun
digolongkan sebagai bangsa Melayu, tetapi kumpulan orang Melayu yang boleh
diasingkan daripada kumpulan lain dari segi ciri-ciri fizikal luaran dan
kebudayaannya. Walau bagaimanapun, Bahasa Melayu masih menjadi Lingua Franca
yang umum bagi tujuan komunikasi dan urusan-urusan rasmi tanpa mengambil kira
jenis kumpulan atau suku. Penempatan golongan Melayu ini tertumpu pada wilayah
Asia Tenggara. Tamadun Melayu dikenali dengan pelbagai gelaran seperti
Nusantara, Kepulauan Melayu dan Alam Melayu.
Tamadun
Melayu merupakan tamadun yang mempunyai sejarah yang lama. Oleh itu, tamadun
ini mengalami proses perkembangan yang lama dan melalui banyak proses perubahan
yang membawa kita sehingga ke hari ini. Perkembangannya boleh dikategorikan
kepada kedatangan dan penempatan, Zaman Pra-Islam, Zaman Islam, Zaman
Penjajahan dan Zaman Kemerdekaan. Kedatangan Islam ke Alam Melayu ini membawa
perubahan yang paling ketara dalam sejarah Tamadun Melayu. Kesan kedatangan
Islam masih boleh dilihat sehingga ke zaman kini dan telah menjadi satu
ciri-ciri utama masyarakat yang telah diterapkan dalam kegiatan seharian.
1.0 Penempatan awal Tamadun Melayu
Penempatan
manusia Tamadun Melayu boleh didapati pada 35 000 tahun yang lalu di Kota
Tampan, Perak Malaysia. Manusia Perak
yang dijumpai di Kota Tampan disahkan sebagai manusia prasejarah. Ini
menunjukkan Tamadun Melayu ialah salah satu tamadun yang paling tua di dunia.
Manakala, Malaysia merupakan salah satu negara terawal yang mengalami Zaman
Prasejarah Dunia.
1.1 Zaman
Prasejarah Dunia
Terdapat empat Zama Prasejarah Dunia iaitu Paleolitk,
Neolitk, Mesolitik dan Logam. Tamadun Melayu hanya melalui tiga zaman sahaja
iaitu Paleolitk, Neolitik dan Logam. Zaman Paleolitk ialah zaman kira-kira
35000 tahun yang lalu. Pada zaman ini, manusia-manusia awal hanya menggunakan
alat-alat batu untuk menjalankan aktiviti harian seperti memburu. Alat-alat
batu akan dikebumikan bersama-sama dengan manusia yang telah meninggal dunia.
Contoh yang paling nyata dan ketara adalah penemuan Orang Perak di Kota Tampan,
Perak. Penempatan awal manusia zaman Paleolitik juga ditemui di Gua Niah,
Sarawak dan Tingkayuh, Sabah.
Zaman seterusnya ialah zaman Neolitik yang berlaku
kira-kira 10 000 tahun yang lalu. Manusia pada zaman ini telah mengetahui cara
penghasilan tembikar dan cara menggunakan tembikar bersama dengan alat batu
untuk menjalankan aktiviti seperti mencucuk tanah, memburu, menyimpan makanan
dan sebagainya. Serupa dengan zaman Paleolitik, barang-barang ini juga
dikebumikan bersama dengan manusia yang telah meninggal dunia. Contoh
penempatan pada zaman Neolitik ialah Gua Cha,Kelantan dan Bukit Tengkorak,
Sabah.
Zaman pra sejarah yang dialami oleh Tamadun Melayu ialah
Zaman Logam yang berlaku pada kira-kira 3000 tahun yang lalu. Pada zaman ini,
manusia mula menghasilkan peralatan logam seperti kapak, mata lembing, sabit
dan tulang mawas. Antara contoh tempat penempatan bagi zaman Logam ialah di
Sungai Tembeling, Pahang dan Sungai Muar, Johor.
1.2 Orang
Melayu dalam Tamadun Melayu
Tamadun
Melayu ialah tamadun yang dimiliki bangsa Melayu di rantau yang dikenali
sebagai Alam Melayu, Kepulauan Melayu, Nusantara ataupun Asia Tenggara[1]. Terdapat
dua teori tentang bangsa Melayu, Teori Yunnan dan Teori Nusantara. Teori Yunnan
mengatakan bahawa bangsa Melayu adalah dari Yunnan. Buktinya ialah persamaan Kapak
Tua di Kepulauan Melayu dan Kapak Tua di Asia Tengah serta adat resem Melayu
yang mirip kepada suku Naga di daerah Assam. Berdasarkan teori ini, pemindahan
orang Negrito, orang Melayu Proto dan Melayu Deutro dari Yunnan ke Kepulauan
Melayu turut berlaku.
Bagi
Teori Nusantara pula, dikatakan bangsa Melayu adalah keturunan manusia kuno
dari Pulau Jawa. Menurut sarjana-sarjana seperti J.Crawfurd, K.Himly, Sutan
Takdir Alisjahbana dan juga Gorys Keraf, bangsa Melayu dan bangsa Jawa
mempunyai tamadun yang tinggi pada abad kesembilan belas. Taraf ini hanya dapat
dicapai setelah perkembangan budaya yang lama. Perkara ini menunjukkan orang
Melayu tidak berasal dari mana-mana, tetapi mula berkembang dan membangun di
Nusantara. Ini merupakan salah satu sebab Teori Nusantara diterima oleh
sebahagian sarjana.
1.3 Kerajaan
awal dalam Tamadun Melayu
Kerajaan awal dalam Tamadun Melayu boleh dikategorikan
kepada dua jenis iaitu Kerajaan Agraria dan Kerajaan Maritim. Kedua-dua
kerajaan ini dibezakan dengan jenis pendapatan utama negara. Kerajaan Agraria
berkembang dalam aspek pertanian manakala Kerajaan Maritim berkembang dalam
aspek perdagangan.
1.4 Kerajaan
Agraria
Penempatan Kerajaaan Agraria adalah di lembah sungai.
Tanah yang subur dan mempunyai sumber air tawar di lembah sungai amat sesuai
untuk tujuan pertanian. Selain pertanian, penternakan dan pemungutan hasil
hutan juga merupakan sumber pendapatan Kerajaan Agraria. Contoh kerajaan
Agraria ialah Kerajaan Angkor yang bertempat di Tasik Tonle Sap dan Kerajaan Funan
yang bertempat di lembah Sungai Mekong.
1.5 Kerajaan
Maritim
Penempatan Kerajaan Maritim pula ialah di pesisiran pantai, lembah sungai dan di kepulauan. Ciri-ciri Kerajaan maritim termasuklah tempat
yang strategik, pelabuhan dan perdagangan yang mula berkembang. Selain itu,
pemungutan hasil laut dan perikanan juga menjadi sumber pendapatan Kerajaan
Maritim. Contoh kerajaan Maritim ialah Kerajaan Srivijaya di Sungai Musi dan
Kerajaan Kedah Tua yang bertempat di Sungai Merbok dan Sungai Muda.
1.6 Masyarakat
Pra-Islam
Sebelum kedatangan agama
Islam, Tamadun Melayu mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri dalam aspek
kepercayaan, politik, stratifikasi sosial dan budaya keilmuan. Segala aspek
adalah berbeza-beza pada zaman sebelum dan selepas kedatangan Islam. Sebelum
kedatangan Islam, terdapat pengaruh Hindu-Buddha yang ketara dalam beberapa
aspek.
1.7 Kepercayaan
Pra-Islam
Masyarakat Melayu yang
asalnya tidak menganut sebarang agama. Mereka menganut fahaman animisme.
Animisme bermaksud kepercayaan adanya roh dan jiwa yang mempengaruhi kehidupan
alam dan manusia. Mereka percaya semua benda di Bumi ini mempunyai jiwa yang
perlu dihormati. Mereka juga percaya yang roh orang yang telah meninggal dunia
boleh masuk tubuh haiwan. Roh-roh ini dipercayai boleh membantu atau mengganggu
kehidupan harian manusia bergantung kepada cara mereka dilayani.
Selepas itu, masyarakat
Melayu dipengaruhi oleh agama Hindu-Buddha. Agama Hindu-Buddha dikatakan dibawa
oleh golongan kesyatria atau tentera, pedagang dan pendeta yang berasal dari
India. Kedatangan Hindu-Buddha telah menjadikan upacara keagamaan lebih
tersusun. Kepercayaan tempatan bercampur dengan unsur agama Hindu-Buddha.
Upacara seperti pemujaan nenek moyang yang berteraskan tradisi tempatan masih
diamalkan oleh penduduk tempatan. Pembinaan candi yang merupakan bukti pengaruh
keagamaan Hindu-Buddha di Nusantara. Contoh candi yang terkenal termasuklah
Candi Lembah Bujang, Candi Borobudur dan Candi Angkor Wat.
1.8 Politik
Sebelum kedatangan Islam,
Alam Melayu mengamalkan sistem feudal dalam politik. Pada masa itu, raja
mempunyai kuasa mutlak. Raja dianggap sebagai jelmaan dewa dan patut disembah
oleh rakyat-rakyatnya. Raja juga menjadi sumber undang-undang pada zaman
tersebut. Selepas kedatangan agama Hindu-Buddha, konsep dewaraja pula
diamalkan. Raja dianggap memiliki sifat kedewaan dan raja adalah setaraf dengan
dewa. Agama Hindu-Buddha ini kebanyakkan dianuti oleh bangsawan dan raja kerana
kepentingan politik dan sosial mereka dijaga. Manakala seluruh rakyat menjadi hamba
dan perlu memberi taat setia kepada bangsawan ataupun raja yang memerintah.
1.9 Stratifikasi Sosial
Menurut Sistem Kasta yang
diperkenalkan, semua orang dibahagikan kepada dua golongan iaitu golongan
atasan dan golongan bawahan. Golongan atasan merangkumi raja dan golongan
bangsawan manakala golongan bawahan merangkumi rakyat dan buruh. Menurut sistem
kasta, semua orang dibahagikan kepada kelas yang berbeza. Kelas dari golongan
atas ke bawah disusun dan dimulai dengan Brahmin, Ksatriya, Vaisya, Sudra dan
Pariah. Mereka dibezakan dengan warna kulit dan pekerjaan mereka.
Sistem ini mempunyai
semangat diskriminasi yang melampau. Jenis dan warna pakaian perlu dibezakan
dan golongan bawahan tidak boleh memakai sesetengah jenis dan warna pakaian.
Mengikut sistem kasta, pelaksanaan undang-undang bergantung kepada kelas dan
pangkat seseorang. Seringkali, ketidakadilan berleluasa kerana sistem ini hanya
menguntungkan golongan atasan[2]. Golongan bawahan akan
dieksplotasi oleh golongan atasan.
1.10 Budaya Keilmuan
Pada zaman Pra-Islam, bidang
ilmu tidak diutamakan. Orang pada zaman tersebut tidak mementingkan ilmu dan
tidak berminat meluaskan ilmu pengetahuan mereka. Malah golongan atasan sendiri
juga hanya mempunyai bahan keilmuan yang sedikit seperti sastera dan cerita.
Hal ini menyebabkan tokoh ilmuan tidak diambil berat dalam bidang pentadbiran.
Penasihat raja pada masa itu adalah bomoh yang lebih berpengaruh daripada tokoh
ilmuan. Institutsi pengajian tidak berkembang pada masa tersebut.
Masyarakat pula tidak mendapat
sebarang pendidikan tidak kira pendidikan formal atau pendidikan tidak formal.
Masyarakat pada masa itu hanya mementingkan senibina dan sastera yang
berpengaruh Hindu.Ilmu Buktinya adalah pembinaan Kota Borobudur yang seni
binanya berunsur Hindu-Buddha dan Hikayat Sri Rama yang berasal dari India.
2.0 Teori kedatangan Islam
Teori atau cara kedatangan Islam
merupakan bidang kajian yang memainkan peranan penting dalam catatan sejarah
Islam. Terdapat pelbagai pendapat dan analisis yang dikemukakan oleh para sejarawan
mengenai teori yang membawa kepada kedatangan Islam seperti tempat asal
kedatangan Islam, para pembawa yang menyebarkan Islam serta waktu agama Islam disebarkan.
Namun, tarikh kedatangan Islam ke alam Melayu masih tidak dapat dibuktikan oleh
mana-mana teori dengan tepat. Kebanyakan para sejarawan berpendapat bahawa
Islam mula bertapak di kawasan Nusantara sekitar abad ke-7 atau abad ke-8
masihi.
Di Nusantara, kawasan pertama yang
menerima yang menerima Islam juga masih dikaji dan dibincangkan. Orang-orang Islam hanya
merupakan kelompok-kelompok kecil yang hidup bersendirian dan tidak ada bukti
menunjukkan usaha pengembangan dan penyebaran Islam secara meluas dan
menyeluruh di Tanah Melayu dari negeri-negeri tersebut pada waktu itu melainkan
hanya Melaka diperakui berperanan bertindak menyebarluas Islam di rantau ini.
Secara
umumnya, terdapat empat teori yang membuktikan kedatangan Islam ke Alam Melayu
dan teori-teori tersebut melibatkan teori dari negara Arab, China, India dan
Champa.
2.1 Teori Islam dari Arab
Pada awalnya, ikatan
antara masyarakat Melayu dan Timur Tengah terjalin dan disatukan oleh agama
Islam. Idea Islam dari Arab dikemukakan oleh John Crawford, Nieman dan De
Hollander serta disokong oleh Profesor Sheikh Muhammad Naquib al- Attas dan
Seminar Masuknya Islam ke Indonesia. Menurut John Crowford, dengan lahirnya
zaman Dinasti Umaiyah dan Abbasiah, lebih jelas terbukti orang-orang Arab-Islam
sudah bertapak di Nusantara.[3]
2.1.1 Pengislaman pemerintah
Masyarakat Melayu
memeluk agam Islam dan itulah tanda bermulanya kedatangan Islam ke alam Melayu.
Proses penyebaran agama Islam diperluas lagi dengan pengislaman pemerintah dari
segi politik. Pada zaman pemerintahan Dinasti Mamluk, hubungan diplomatik
antara Alam Melayu dengan Arab terjalin apabila pemerintah tersebut menyebarkan
pengaruh mereka di Alam Melayu sejak abad ke-13 masihi. Selain itu, peranan
Dinasti Mamluk di Tanah Arab, Mesir dan pendakwah dari Makkah yang berjaya
mengislamkan pemerintahan Pasai, merupakan penyebaran Islam secara berpengaruh
di Alam Melayu. Contohnya, Raja Pasai, Merah Silu telah diislamkan oleh Syeikh
Ismail iaitu utusan dari Sharif Makkah dan baginda diberi nama Sultan Malik
al-Saleh. Pemilihan nama Malik al-Salih sebagai nama baru Merah Silu selepas
diislamkan berkaitan dengan gelaran pemerintah Dinasti Mamluk di Mesir yang
terkenal di Timur Tengah. Bukan itu sahaja malah, gelaran kedua-dua putera
Sultan Malik al-Salih iaitu Malik al-Zahir (1279-1277) dan Malik al-Mansur
(1279-1290) turut mempunyai pengaruh Dinasti Damluk.
Di samping itu,
mengikut catatan sejarah Kedah, Maharaja Derbar Raja II merupakan raja Kedah
pertama yang memeluk Islam. Baginda dikatakan telah diislamkan oleh seorang
ulama dari Yaman iaitu Syeikh Abdullah bin Syeikh Ahmad bin Syeikh Qaumiri pada
tahun 1136 Masihi, bersamaan dengan 513 Hijrah. Kemudian, baginda telah
menggunakan nama Sultan Muzaffar Syah. Semua menterinya mula memeluk Islam
apabila raja mereka berbuat demikian. Hal ini membuktikan pengaruh Islam yang
kukuh dalam kalangan pemerintah merupakan tunjang utama yang membawa kepada penyebaran
dan perluasan ajaran agama tersebut secara efektif.
2.1.2 Peranan pedagang Arab
Penyebaran agama Islam
atau dakwah Islamiah pada awalnya disebarkan di pusat kegiatan ekonomi
masyarakat iaitu di pelabuhan. Mesir pernah muncul sebagai pusat perdagangan
yang terkenal di Timur Tengah dan pernah menjalinkan hubungan dengan masyarakat
Melayu. Para pedagang Arab-Islam dipercayai datang ke kawasan Nusantara untuk
mendapatkan barang keperluan lalu menjalankan kegiatan dakwah Islamiah.
Terdapat segelintir
para sejarawan berpendapat bahawa hubungan perdagangan antara Mesir dan
masyarakat Melayu telah dijalankan sejak 1500 tahun sebelum masihi. Gardner
Wilkinson menyatakan bahawa bijih timah telah digunakan oleh tamadun Mesir
Purba sejak 1500 tahun sebelum masihi
lagi dan bekalan bijih timah tersebut dipercayai dari Alam Melayu melalui
India. Selain itu, Pedagang Mesir turut menggunakan jalan laut melalui Teluk
Parsi dan Laut Merah ke Alam Melayu untuk mendapatkan rempah-ratus seperti
kapur berus bagi pengawetan mayat.
2.1.3 Penemuan artifak berciri Arab
Artifak-artifak yang
ditemui di Alam Melayu yang bercirikan unsur Arab merupakan bukti yang ketara
yang menyokong teori kedatangan Islam dari Arab. Penemuan batu nisan di kampung
Permatang Pasir Nenasi Pekan, Pahang oleh ahli arkeologi telah menjadi bukti
pencerahan kemasukan Islam ke Tanah Melayu pada awalnya bukan dari Terengganu
(Batu bersurat Terengganu 702 Hijrah di Kuala Berang). Batu nisan di Pekan,
Pahang yang bertarikh 14, Rabiulawal 419 Hijrah tersebut dihiasi dengan syair
Arab dan Al-Quran.
Selain itu, batu nisan
di kampung Tanjung Inggeris yang bertarikh 905 masihi ditemui di Terengganu.
Tempat tersebut dinamakan Tanjung Inggeris kerana dipercayai bahawa tempat
tersebut merupakan kawasan pangkalan pendaratan Inggeris di hulu Sungai Kedah.
Pada batu nisan tersebut, tertera nama tokoh agama iaitu Syeikh Abd. Al-Qadir
serta tarikh wafatnya, 905 maishi. Pengaruh Islam di Kedah juga dikatakan lebih
awal dari masa yang dijangkakan kerana penemuan mata wang perak dari Dinasti
Abbasiyah pada zaman Khalifah Al-Mutawakkil pada tahun 847 hingga tahun 861.
2.1.4 Kedudukan geografi yang strategik
Kedatangan Islam dari
Arab ke Alam Melayu boleh disokong dengan penemuan yang menyatakan kedatangan
Islam ke Nusantara berlaku pada abad ke-7 apabila saudagar Arab menjalankan
aktiviti perdagangan. Di samping berdagang, saudagar Arab berdakwah melalui
jalan perdagangan Asia Tenggara sebelum meneruskan pelayaran ke China. Pada
abad ke-15 dan awal abad ke-16 masihi, Melaka muncul sebagai sebuah pusat
penyebaran agama Islam, pusat perdaganan entrepot serta pusat perkembangan
bahasa lingua franca yang terkenal di Nusantara. Kedudukan Melaka yang
strategik iaitu terletak di tengah jalan perdagangan antara India dan China
menyebabkan ia menjadi tumpuan untuk singgahan sebelum meneruskan pelayaran. Melaka
mencapai zaman kegemilangannya pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah dan
Bendahara Datuk Paduka Raja Tun Perak.
2.1.5 Hubungan tamadun Melayu dengan Kerajaan
Islam di Asia Barat
Wan Husain Azmi,
seorang sejarawan telah membantah pendapat yang mengatakan Islam disebarkan di
Tanah Melayu pada abad ke-14 masihi. Dalam artikelnya, Islam di Malaysia yang
diperolehi daripada buku Melaka menyatakan pendapat beliau bahawa perkembangan
Islam di Malaysia bermula pada abad ke-9 masihi sehingga ke-14 masihi lalu
mencetuskan kerajaan Islam seperti Kelantan, Melaka dan Terengganu. Pada zaman pemerintahan
Sultan Mansur Syah pula, baginda telah menjalinkan hubungan dengan negeri lain
di Asia Tenggara dengan mengirimkan beberapa perutusan persahabatan. Menurut
Salatus Salatin, utusan persahabatan tersebut telah dikirimkan ke Goa
(Sulawesi), Majapahit dan Siam. Selain itu, negeri Melaka turut menjalankan
hubungan diplomatic dengan China dan Siam. Dengan terjalinnya hubungan diplomatik
tersebut, maka pengaruh Islam ke Nusantara diperluas dan diperkukuh lagi.
2.2 Teori Islam dari China
Arab mempunyai hubungan perdagangan
yang baik dengan negara China. Justeru, para sejarawan berpendapat bahawa orang
Arab singgah di China untuk menjalankan dakwah Islamiah di samping berdagang.
Hal ini bermaksud, Islam telah diperkenalkan di China sebelum ke kawasan Nusantara.
Teori ini disokong oleh pelbagai bukti yang dikemukakan oleh para sarjana. Syed
Muhammad Naquib Al-Attas menyokong catatan pengembara Cina yang menyatakan
terdapat penempatan orang Islam di Sumatera Timur pada 55 Hijrah, bersamaan
dengan 674 masihi. Menerusi beberapa
kajian ahli sejarah, teori kedatangan Islam boleh dilihat melalui temuan batu
nisan, seni pertukangan dan catatan sejarah China.[4]
2.2.1 Hubungan Arab dengan China
Hubungan perdagangan
antara Arab dan China telah terjalin sebelum kelahiran agama Islam lagi Hubungan
perdagangan yang dijalinkan antara kedua-dua negara tersebut secara tidak
langsung menjalinkan hubungan dengan Kepulauan Melayu . Mengikut Laporan China
Muslim, Orang Islam di Arab mula datang ke China pada zaman pemerintahan Maharaja Tai Tsuing semasa Dinasti Pang. Wahab Abi Kabsyah pula dikatakan merupakan seorang
pendakwah Arab pertama yang diutuskan ke negara China oleh Rasullah. Beliau
meninggal dunia di Canton lalu disemadikan disana. Seterusnya, Pada zaman
pemerintahan khalifah Othman Affan, Saad bin Abi Waqas dihantar ke China dan
beliau telah meletakkan batu asas sebuah masjid di Canton yang dikenali sebagai
Wai Shin Zi iaitu Masjid kenangan nabi.
Hubungan Arab dan China
menjadi erat apabila berlakunya pemberontakan panglima pada tahun 755 di China.
Khalifah Abu Jaafar menghantar seramai 10,000 orang tentera Islam yang berpusat
di Turkistan untuk membantu kerajaan China. Akhirnya,pemberontakkan tersebut
berjaya dipatahkan dan sebagai balasannya, Maharaja Hsuan Tung perlu
membenarkan tentera Islam bermastautin dan berkahwin dengan wanita China.
Maharaja turut memberikan keistimewaan dan mendirikan tempat ibadat untuk
mereka.
2.2.2 Kegiatan perdagangan
Keperluan barang-barangan
yang tiada sumber dalam negara sendiri juga menjalinkan hubungan antara
pedagang Arab dan Parsi dengan China secara langsung dan secara tidak langsung.
Para pedagang Arab membawa barang-barangan seperti bau-bauan, batu-batu
berharga dan mutiara ke China di samping membeli tembikar dan mutiara dari
China. Selain itu, pedagang Arab sering menggunakan jalan laut, merentasi
pantai India dan Asia Tenggara serta
singgah di pusat perdagangan sepanjang perjalanan mereka. Sebenarnya, Parsi
tidak menjalankan perdagangan dengan Negara luar namun China amat memerlukan
Pokok Resin yang juga disebut sebagai Po-Ssu, Parsi mula menjalankan
perdagangan dengan China.
2.2.3 Penemuan Batu Nisan
Batu nisan yang ditemui
di Nusantara menjadi bukti kedatangan Islam. Dinasti Sung mencatatkan
kedatangan Islam di Nusantara melalui pantai laut China dan dibawa oleh pedagang
Islam dari Tiongkok pada 977M. Batu nisan yang dikatakan sebagai Wali Allah
berketurunan Arab bertarikh 419H bersamaan tahun 1028M di Pekan, Pahang dan
pada batu nisan tersebut, tercatatnya ayat al-Quran. Seterusnya, pada batu
bersurat Terengganu yang bertarikh 702H, bersamaan 1303M. pula mencatatkan
arahan tentang kewajiban ke atas orang Islam supaya mematuhi hukum Allah S.W.T.
Di samping itu, batu bersurat di Champa yang bertarikh 1039, batu bersurat di
Brunei yang bertarikh 1048 serta batu bersurat di Laren dan Jawa yang bertarikh
1082 turut ditemui.
2.2.4 Penghijrahan akibat persengketan dan
pertelingkahan
Pertelingkahan berlaku
di Canton kerana pada mulanya, umat Islam di China sangat ramai sehingga ada
dalam kalangan mereka yang sangat berpengaruh dan kaya. Justeru, kedudukan
orang Arab-Islam di Canton dianggap mengancam kedudukan dan keselamatan orang
Cina. Kesannya, berlaku pemberontakan pertama tahun 878M di Canton pada
pemerintahan Hsi Tung. Pemberontakkan ini mengorbankan kira-kira 100 000 orang
yang kebanyakkannya terdiri daripada orang beragama Islam, Arab dan Parsi. Orang
yang terselamat dari pemberontakan tersebut berhijrah ke Kalah (Kedah) dan
Palembang. Manakala, pemberontakan di Yang Chow yang berlaku pada akhir
pemerintahan Dinasti Tang tahun 618-905 yang diketuai oleh pasukan pemberontak,
Tien Sheng Kong, telah membawa kepada penghijrahan bagi golongan yang
terselamat, termasuklah berhijrah ke Nusantara.
2.3 Teori Islam dari India
Terdapat juga para
serjana yang mengemukakan idea bahawa Islam dari India dan dibawa ke Nusantara.
Namun, idea mereka tidak sepakat dalam memberi kata putus sama ada Islam dibawa
dari India Selatan, Benggala, Malabar atau Gujerat[5].
2.3.1 Penemuan batu nisan
Mengenai Gujerat, G.P
Moquette membuktikan dengan batu nisan di Pasai yang bertarikh 1428M dan batu
nisan Maulana Malik Ibrahim di Grisek yang bertarikh 1419M. Hal ini disimpulkan
oleh Moquette kerana batu nisan tersebut seakan sama dengan batu nisan Umar ibn
Ahmad Kazaruni di Gujerat. Maka mereka menganggap Islam bermulanya di Gujerat,
India.
2.3.2 Pengislaman pemerintah
Huraian Tome Pires
dalam catatan Suma Oriental menyatakan, S.Q Fatimi berpendapat agama Islam di
Nusantara tersebar dari Benggala. Hal ini kerana Tome Pires mengatakan bahawa
Malik al-Salih merupakan raja Islam pertama di Pasai pada asalnya ialah seorang
pedagang Benggali dari Benggala[6]. Dalam hal ini, S.Q Fatimi
menganggap Parsi merupakan negeri pertama yang memeluk Islam, maka Islam
disimpulkan juga berasal dari Benggala.
2.3.4 Pegangan mazhab
Van
Rokel mengemukakan bentuk-bentuk popular seperti ciri-ciri mistik, sastera
roman yang terdapat di Indonesia adalah berasal dari India Selatan. Manakala, Thomas
Arnold pula menyatakan persamaan mazhab Shafii dengan Indonesia dan beliau
percaya Islam bermula di daerah Malabar. Islam tiba di Gujerat pada 1302M
dengan kemunculan Kesultanan Delhi dan mereka percaya persamaan mazhab penduduk
Benggal dengan penduduk Asia Tenggara iaitu bermazhab Shafie. Mereka
menghuraikan lagi bahawa penduduk Gujerat
bermazhab Hanafi. Namun, hujah tersebut lemah dan tidak diterima
justeru, bukti bahawa Islam di Nusantara berasal dari India adalah tidak kukuh .
2.4 Teori Islam dari Kemboja atau Champa
Menurut R.A. Kern, Orang Islam di
Nusantara berasal dari Indo-China dan orang Melayu telah mengadakan hubungan
dengan penduduk Kemboja atau Champa dalam kurun ke-7. Hubungan tersebut
terjalin berdasarkan penaklukan dan perkahwinan (kerabat diraja).Islam
dilaporkan berkembang di daerah Phanrang, Champa sejak 960M iaitu semasa
pemerintahan Dinasti Sung. Bukti kedatangan Islam dari Champa diperkuatkan lagi
dengan 3 buah inskripsi iaitu batu nisan bertulis khat khufi yang bertarikh
1039 masihi, monument yang bertarikh 1025 masihi dan 1039 masihi yang
mencatatkan syarat yang berkaitan dengan hukum Islam.
3.0 Pengaruh Islam Tehadap Tamadun Melayu
3.1 Politik
3.1.1 Pemerintahan dan pentadbiran
Islam yang sampai ke Alam
Melayu telah membuka satu lembaran sejarah baharu iaitu zaman bertamadun dan
berkemajuan[7].
Gelaran raja dan konsep dewaraja ditukar kepada sultan yang sama tarafnya dengan
khalifah . Sultan berperanan sebagai ketua Islam dan ketua negara. Walaupun
Sultan tidak dianggap sebagai Tuhan, seperti mana yang diamalkan semasa
pengaruh Hindu, namun sultan mempunyai daulat dan status yang lebih tinggi
berbanding orang kebanyakan Rakyat perlu mentaati dan mematuhi arahan Sultan.
3.1.2 Undang-undang
Sistem feudalism yang
meletakkan raja sama tarafnya dengan Tuhan telah digantikan dengan konsep
kesultanan dalam Islam. Undang-undang yang tidak bertentangan dengan Islam akan
dikekalkan. Sistem perundangan masyarakat berubah kepada hukum kanun Melaka dan
undang-undang laut Melaka. Undang-undang diselaraskan dan Perlembagaan Malaysia
menjadikan urusan Islam sebagai urusan negeri.
3.1.3 Peranan rakyat dalam sistem beraja
Rakyat berkuasa
menentukan sistem pemerintahan melalui sistem demokrasi. Hal ini bermaksud rakyat
diberi hak untuk bersuara dan memberi pendapat. Rakyat turut diberi hak untuk
mengundi pemimpin dan lantikan pemimpin tersebut bergantung kepada majoriti
suara rakyat. Sistem demokratik diamalkan dan konsep kuasa mutlak disingkirkan.
3.1.4 Agama Islam menjadi agama rasmi
Selepas kedatangan
Islam, agama Islam menjadi agama rasmi dan undang-undang Islam dijadikan
undang-undang negara. Agama Islam telah
menjalinkan perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat dan menimbulkan rasa
tanggungjawab untuk mempertahankan kepentingan Islam. Pelembagaan Malaysia Fasal
1 Perkara 37 turut memaktubkan agama Islam sebagai agama rasmi. Kefahaman tauhid yang menjadi
asas akidah Islam berjaya menjiwai orang Melayu sehingga sukar untuk mengugat keislaman mereka. Malahan sampai kini, hubungan antara Melayu dan Islam
tidak dapat dipisahkan.[8]
3.2 Sosial
3.2.1 Kemunculan institusi kemasyarakatan
Institusi
seperti masjid, surau dan madrasah dibina untuk kegunaan hal-hal masyarakat.
Contohnya,masjid didirikan dan dijadikan tempat beribadat, menimba ilmu, dewan
tempat mesyuarat dan kelab untuk membincangkan pelbagai masalah. Pendek kata,
masjid dibina untuk membincangkan perkara agama, dan hal-hal kemasyarakatan.
3.2.2 Konsep sastera, seni dan bahasa
Penggunaan tulisan jawi
oleh orang Melayu dalam hal-hal persuratan. Bahasa Melayu dijadikan sebagai
bahasa lingua franca bagi 84 bahasa masyarakat Melaka dan bahasa tersebut
mempunyai peradaban yang tinggi. Islam memperkayakan lagi bahasa Melayu dengan
perbendaharaan kata Arab dengan mempraktikkan kegunaan bahasa jawi sebagai
bahasa ilmu.
3.2.3 Konsep pendidikan dan intelektual
Selepas kedatangan
Islam, sistem kasta dan sistem perhambaan pengaruh agama Hindu dihapuskan. Pendidikan
diterima secara yang sama rata antara
golongan atasan dan bawahan. Pemerintah mula mengembangkan ilmu pengetahuan dan
menjadikan istana sebagai perpustakaan iaitu pusat terjemahan dan pusat
penyalinan semula. Islam menitikberatkan
kewarasan akal dan idealism dan meyingkirkan pemikiran yang berasaskan mitos
serta pengaruh animisme. Ujarnya, segala-galanya berpunca daripada tamadun yang dibawa oleh Islam berasaskan
kepada rasionalisme dan kebebasan cara berfikir berbanding dengan zaman
sebelumnya yang tidak berasaskan kepada rasionalisme dan akal fikiran
masyarakat dibelenggu oleh kepercayaan yang salah.[9]
3.2.4 Meninggalkan pengaruh Hinduisme dan animisme
Kesan paling ketara dengan kedatangan Islam ke dalam masyarakat Melayu ialah bertukar agama daripada beragama Hindu
atau Buddha atau kepercayaan animisma kepada berakidah Islam yang mentauhidkan
dan menyembah Allah s.w.t. [10]Selepas Islam
diperkenalkan, penyembahan roh digantikan dengan tauhid yang
membuahkan kehidupan beribadah. Tauhid merupakan pembentukan suatu identity
untuk sebuah tamadun. Tauhid turut menghiasi akhlak yang bernilai tasawwuf
dalam politik, keilmuan, kesusteraan dan persuratan.
3.3 Ekonomi
3.3.1 Pengurusan kewangan
Kegiatan ekonomi
masyarakat Tanah Melayu mula berkembang
selepas kedatangan Islam. Maka,sistem kewangan yang digunakan untuk menguruskan
hal-hal kewangan telah dibina. Baitulmal telah menjadi pusat kewangan orang
Islam dan semua hasil seperti jizyah, zakat dan cukai disimpankan di badan
tersebut.
3.3.2 Mencorak pemikiran masyarakat Alam Melayu
Islam membawa
unsur-unsur yang rasional, intelektual dan logik akal Pemikiran masyarakat
selepas kedatangan Islam berubah untuk mempercayai Tuhan yang Maha Esa.
Masyarakat akan menanamkan nilai moral dalam minda sebelum menjalankan
perniagaan. Kedatangan Islam memupuk masyarakat menjalankan perrniagaan dengan
amanah dan jujur. Masyarakat hanya menceburi perniagaan atau kegiatan yang
dibenarkan oleh Islam.
3.3.3 Memberi fikiran positif
Islam menyeru umatnya
supaya berusaha mencari rezeki dengan cara yang halal dan bukannya dengan cara
meriba atau pun merompak. Apabila mengalami kegagalan, Islam menyuruh umatnya
agar sabar, tabah dan menghargai nyawa serta redha dengan ketentuan yang Maha
Esa. Pemikiran positif dalam Islam telah membimbing masyarakat ke arah
kehidupan yang lebih dedikasi dan bertanggungjawab bukan sahaja dalam kehidupan
sosial seharian malah, Islam turut membimbing masyarakat dalam sudut pengurusan
ekonomi.
4.0 KOLONIALISME DAN SEKULARISME DI ALAM
MELAYU
Seperti
yang tercatat dalam sejarah, tanah Melayu telah dijajah oleh kuasa Portugis.
Peristiwa ini bertanda mulanya campur tangan kuasa Eropah di sekitar rantau
Asia. Pertembungan cara pemikiran antara kuasa Eropah dan orang Melayu berlaku
dalam 130 tahun di mana ia sangat bercanggah antara satu sama lain. Sewaktu percanggahan
budaya ini berlaku, maka berlaku perluasan kolonialisme dan sekularisme di
tanah Melayu[11].
Kolonialisme
didefinisikan sebagai pengembangan kekuasaan negara ke atas wilayah atau manusia
di luar batas negaranya untuk mendominasi ekonomi dari sumber daya, tenaga kerja
dan pasaran wilayah tersebut. Perkataan ‘Kolo’ yang berasal dari perkataan
‘collins’ membawa maksud kepintaran dalam memperluas kekuasaan ke atas masyarakat
yang lebih lemah justeru memperlihatkan konsep tentang penguasaan politik secara
keseluruhan dengan konsep penjajah terhadap tanah jajahanya.Terdapat kaitan antara
imperialism dan kolonialisme di mana jika dikaitkan, ia merupakan kecenderungan
penjajah bagi menguasai pihak lain. Antara pengaruh terbesar yang mengamalkan konsep
ini ialah kuasa barat seperti bangsa Inggeris yang sehingga kini menjajah dari segi
pemikiran orang Melayu. Kolonialisme juga menunjukkan tahap keyakinan yang
digunakan untuk melegitimasikan sistem ini, terutamanya pada kepercayaan bahawa
moral pengkoloni lebih hebat daripada yang dikoloni.
Terdapat
juga pendapat tokoh yang mendefinisikan kolonialisme melalui perspektif mereka sendiri.
Andre Gunder Frank mengatakan bahawa ia menuju kepada pemindahan kekayaan dari daerah
yang dikoloni ke daerah pengkoloni. Selain itu, Franz Fanon, pengkritik
post-kolonialisme berkata bahawa kolonialisme merosakan politik, psikologi, dan
moral negara yang dikoloni. Manakala seorang penulis politikal, Arundhati Roy
pula berkata pro dan kontra dari kolonialisme adalah seperti “pro dan kontra pemerkosaan”.
Antara negara yang dijajah oleh kuasa barat ialah Malaysia, India, Burma, yang
dijajah British, Indonesia yang dijajah Belanda, Filipina yang dijajah Sepanyol
dan Indochina yang dijajah Perancis.
Seterusnya,
definisi sekularisme yang telah mendahului fahaman demokrasi dan kewujudan seiring
dengan kapitalisme membawa maksud suatu sistem, prinsip-prinsip yang menolak semua
bentuk keimanan dan ibadah keagamaan. Sekular yang membawa maksud dunia menyatakan
bahawa ia merupakan semangat keduniaan dan aliran keduniaan di mana ia seperti suatu
sistem daripada prinsip dan praktik yang menolak unsure keagamaan secara keras.
Teras kepada sekularisme ialah politik berasaskan perkauman atau pun kebangsaan
di mana golongan agama terpisah dengan golongan materialistik yang kini sedang merebak
ke dalam masyarakat dan menjadi sebahagian dari gaya hidup mereka yang merupakan
pemujian kepada modesinma, materialism dan pemujaan hawa nafsu.
Sekularisme berasal dari negara barat
di mana ia bermula pada kurun ke-17 masihi dengan pelbagai tafiran. Kurun ke-17
dan 18 bererti pemisahan antara agama dan pemerintah, kurun ke-19 bererti menjauhi
agama dari pemerintah, dan pada kurun ke-20 pula pemerintahan bersikap positif terhadap
agama. Sekularisme mula tersebar pada kurun ke-19 di serata timur. Bermulanya sekularisme
ekoran daripada kesan zaman gelap di Eropah di mana golongan gereja dan paderi mencengkam
masyarakat. Penyelewengan agama berlaku di mana ajaran Nabi Isa disalah tafsir.
Nabi Isa dianggap sebagai Tuhan (Jesus) dan aqidah salib di mana iktikad Isa
disalib untuk tebus dosa. Selain itu, pada 1215 masihi, Kesatuan Gereja Rom memberi
hak kepada paderi untuk mengampunkan dosa manusia setelah membayar harga satu tiket
kupon. Masyarakat hidup sebagaimana paderi menjalankan hidupnya di mana mereka tidak
berkawin, mengasing diri daripada rakyat dan menyumbang pada gereja. Pada tahun
1869 masihi, paderi dianggap mutlak dan rakyat
hendaklah memberi ketaatan mutlak. Dari segi ekonomi pula, dikuasai oleh golongan
bangsawan manakala mahkamah dan penjara dikuasaai oleh gereja di mana mereka bersekongkol
menzalimi rakyat. Oleh sebab kezaliman yang berlaku, satu revolusi Perancis telah
lahir dengan berkonsepkan sekularisme. Antara tokoh sekularisme termasuklah
Hobbes, John Locke dan Rousseau.
Setelah
sekularisme merebak di timur, alam Melayu juga turut terkesan dimana umat Islam
di alam Melayu lebih terikat dengan fahaman barat berbanding konsep Al-din
iaitu keagamaan. Sekularisme mula merebak di alam Melayu apabila perjanjian Inggeris-Belanda
1824 dan perjanjian Pangkor 1874 termeterai. Perjanjian Pangkor 1874 berlaku antara
Sultan Abdullah (Sultan Perak) dan Sir Andrew Clarke di mana syarat penting ialah
residen Inggeris menasihati Sultan dalam semua hal pentadbiran negeri kecuali hal
keagamaan dan adat istiadat Melayu. Selainitu, urusan pentadbiran dan perlaksanaan
undang-undang terserah kepada inggeris yang pastinya mengikut sistem dan acuan mereka
sendiri yang tidak pernah memikirkan hal agama. Semenjak itu, para sultan
kehilangan hak politik dan tidak mampu mencegah fahaman sekularisme oleh orang
Inggeris dan akhirnya berlakulah pemisahan agama dan politik di tanah Melayu.
Antara
kesan-kesan yang ditinggalkan kolonialisme dan sekularisme dalam hal politik ialah
‘Kemajuan barat’ dianggap sebagai kayu pengukur. Barat menjadi contoh dalam memajukan
negara. Sehingga ada yang berpendapat agama patut dipisahkan dari pentadbiran seperti
masyarakat barat. Raja dijadikan ‘boneka’. Kuasa raja dikurangkan dan diambil alih
oleh barat. Undang-undang tradisional terpaksa tunduk dengan sistem pentadbiran
barat. Seterusnya, dari segi nilai keagamaan pula, barat tidak mampu menyekat agama
Islam meskipun telah berjaya menakhluk tanah Melayu dan mereka juga kalah sewaktu
Perang Badar bersama umat Islam. Agama dianggap timbul pada zaman peradaban
yang rendah bagi mereka maka barat menggunakan cara halus untuk meracuni pemikiran
umat Islam dengan menyatakan bahawa Islam harus mengalami perubahan secara progresif
mengikut peredaran zaman dan mereka telah berjaya menguasai minda umat Islam sehingga
penggiat sekularisme menular dalam masyarakat itu sendiri.
Selain
itu, dari segi pendidikan pula, barat banyak menukar sistem persekolahan.
Sebelum masyarakat barat menjajah tanah Melayu, Melayu hanya didedahkan pendidikan
tidak formal. Selepas ketamadunan Islam tersebar, sekolah pondok mula berleluasa.
Kaedah hafalan digunakan dalam pembelajaran. Selepas dijajah, mubaligh Kristian
membuka sekolah Kristian. Ia lebih maju dari segi kemudahan. Kesan positif meningkatkan
kadar celik huruf akan tetapi pendidikan tidak bersifat agama diutamakan malah lulusan
agama tidak diterima untuk mendapatkan jawatan. Perkara ini menyebabkan lahirnya
segolongan pemimpin di kalangan Melayu Islam sendiri yang telah disekularkan dengan
sistem pendidikan. Golongan ini kemudiannya menjadi pentadbir, perancang negara
dan pemimpin yang menjadi agen kepada kesinambungan dasar penjajah itu sendiri.
Dalam
sosial dan falsafah hidup pula barat telah memperkenalkan perkahwinan campur antara
kaum berlainan agama menyebabkan hilangnya jatidiri agama. Selain itu masyarakat
Melayu terjebak dengan budaya yang melibatkan nilai pemikiran materialism barat.
Segala bentuk pemikiran, idea dan perlakuan social barat menjadi ikutan tanpa
had. Dari segi ikatan, seks dibenarkan untuk pasangan yang tidak sah dan anak
yang dilahirkan diiktiraf oleh kerajaan. Dari segi individual pula, Islam dianggap
sebagai agama yang bersifat peribadi. Akhir sekali, ekonomi juga turut terkesan
di mana sebelum dan selepas merdeka, masyarakat Melayu tetap mundur dalam ekonomi.
Masyarakat barat mengeiksploitasi ekonomi tempatan dan mengemukakan pembangunan
yang dikatakan dapat membantu ekonomi Melayu. Hal ini menjadikan kaum melayu terkongkong
dan beku dari segi pemikiran. Falsafah kebendaan mempengaruhi Melayu dari segi pemikiran
dan cara hidup dan pengunaan sistem kapitalis serta perbankan konvensional membebani
rakyat dengan kadar faedah yang dikenakan sehingga menyebabkan penghutang terpaksa
menggadai tanah. Justeru, manusia diajak berlumba-lumba untuk mengumpul harta dan
kekayaan di mana akhirnya tindas menindas dan tipu menipu turut berlangsung dan
menjadi amalan masyarakat dan masalah negara dilihat penyelesaiannya dari sudut
ekonomi, dan bukannya dengan cara yang dikehendaki
oleh Islam.
Kesimpulanya,
sekularisme yang berlaku di alam Melayu telah menyebabkan banyak perubahan yang
berlaku dalam kalangan masyarakat. Kita, negara Malaysia mendapatkan kemerdekaan
selepas dibelengu dengan pengaruh barat yang dipanggil sekularisme. Namun, kita
mampu membanteras pengaruh ini dengan berpegang kuat pada kitab Al-Quran dan juga
agama Islam yang kita pegang.
Rujukan
Abdullah Ishak. 1992. Islam di Nusantara. Kuala Lumpur : Maskha Sdn. Bhd.
Abd. Rahman Abdullah. 1981. Sejarah dan Pemikiran Islam. Kuala Lumpur: Pena Sdn. Bhd.
Dasuki Haji Ahmad . 1986. Ikhtisar
Perkembangan Islam. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa Dan Pustaka.
Kenneth R. Hall
1985. Maritime Trade and State
Development in Early Southeast Asia, Honolulu: University Hawai Press.
Shellaber, W.G.
1977. Sejarah Melayu. Kuala Lumpur : Penerbit Fajar Bakti.
Sivachandralingam Sundara Raja &
Ayadurai Letchumanan. 2005. Tamadun Dunia.
Selangor Darul Ehsan : Penerbit Fajar Bakti.
[1]
Zulkiflee Haron, Ramli Awang, Mohd Nasir Ripin, Siti Norlina Muhamad,
Farahwahida Mohd Yusof. 2011. Tamadun Islam& Tamadun Asia. UTM Press.
ms.99.
[2] Dasuki Haji Ahmad (1986), Ikhtisar Perkembangan Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan
Pustaka, hlm. 515.
[4] D.G.E Hall, 1964, A History of
South East Asia. Macmillan: London. Hlm 19
[5] Abd. Rahman Abdullah, 1981,
Sejarah dan Pemikiran Islam, Pena Sdn. Bhd. Hlm. 239.
[6] S.Q. Fatimi, 1963, Islam Comes
to Malaysia. Hlm. 25.
[7] Muhammad Zaki Badawi (1962), Latarbelakang Kebudayaan Penduduk-penduduk
di Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 37.
[8] Wan Abdullah bin Hj. Wan Mahmood (1997), Tamadun Islam Dan Tamadun Alam Melayu Serta
Sumbangannya kepada Dunia, Shah Alam: Pusat Pendidikan Islam ITM, hlm. 223.
[9] Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972), Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu,
Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 3-4.
[11]
Kenneth R. Hall 1985. Maritime Trade and State Development in Early Southeast
Asia, Honolulu. University Hawai Press.
No comments:
Post a Comment