Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2
Pengenalan
Lebuhraya Pantai Timur fasa 2
merupakan kesinambungan daripada projek Lebuhraya Pantai Timur fasa 1 yang
menghubungkan dari Karak ke Kuantan yang telah dibuka pada Mac 2006. Lebuhraya
Pantai Timur fasa 1 dibina sepanjang 159 kilometer manakala Lebuhraya Pantai
Timur dibina sepanjang 184 kilometer, yang menghubungkan antara Jabor dan
Gemuroh. Lebuhraya Pantai Timur fasa 2 ini, LPT 2, merupakan projek Pembangunan
Mega Rancangan Malaysia Ke-10 untuk negeri Terengganu (Portal Rasmi).
Pembinaan LPT 2 telah bermula pada tahun
2006 dan siap dibina sepenuhnya pada tahun 2015. Projek ini dibahagikan kepada
16 pakej, 15 pakej dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya dan satu pakej
selebihnya diuruskan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia. Semasa perancangan
pembinaan projek mega ini, kos pembinaan yang dijangkakan adalah sebanyak RM
3.7 billion. Namun, selepas pembinaan dijalankan sepenuhnya, perbelanjaan yang
telah digunakan adalah sebanyak RM 4.5 billion, peningkatan kos yang sangat
ketara.
Semasa proses pembinaan lebuhraya ini,
disebabkan kontroversi yang telah berlaku atas sebab masa yang diambil untuk
pembinaan terlalu lama, kerajaan telah membuka laluan LPT 2 sepanjang 70
kilometer kepada awam pada Ogos 2011, selepas 5 tahun kerja pembinaan
dijalankan. Pada April 2014 pula, kerajaan membuka sepanjang 35 kilometer lagi
kepada awam iaitu dari Bukit Besi ke Paka. Justeru, sepanjang 105 kilometer
jalan telah dibuka kepada awam selama 8 tahun pembinaan. Di sepanjang lebuh
raya ini, sebanyak 3 buah pusat Rehat dan Rawat (Rest and Recreation) dibuka
iaitu di Ajil, Paka dan Perasing.
Selain itu, sebanyak sepuluh tol
dibuka di Cheneh, Cukai, Kijal, Kerteh, Paka, Dungun, Bukit Besi, Ajil,
Telemung dan Kuala Terengganu. Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abd
Rahman berkata bayaran tol di LPT 2 akan dikenakan kepada pengguna setelah
diberi laluan percubaan percuma sejak 2 tahun lalu. Justeru, mulai 15 Julai
2016, caj bayaran tol dikenakan kepada pengguna LPT2.
Latar Belakang Projek
Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2
telah menimbulkan kontroversi dan ketidakpuasan hati rakyat kerana masa yang
diambil untuk proses pembinaan ialah selama 9 tahun, masa yang sangat panjang.
Namun begitu, masa perjalanan sememangnya dipendekkan. Sebagai contoh, Menteri
Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman negeri Terengganu berkata, perjalanan dari
Gemuroh ke Jabor hanya memerlukan kira-kira satu jam 30 minit. Menurut Utusan
Online pada 26 Februari 2015, beliau juga berkata pembukaan lebuhraya ini dapat
memacukan ekonomi negeri Terengganu dan menyatakan sasaran untuk mencapai
pendapat berkapita RM 8 000 menjelang tahun 2020.
Projek ini akan membentangkan
tentang kesan pembangunan LPT 2 dari pelbagai aspek. Sebagai contoh,
kesan-kesan positif dan negatif telah dikaji dari aspek ekonomi, alam sekitar
dan sosial. Projek ini lebih tertumpukan kepada kesan baik dan buruk akibat
pembinaan LPT 2 kepada negeri Terengganu dan penduduk Terengganu serta pengguna
yang menggunakan LPT 2 ini. Walaupun pembinaan LPT 2 dinilai sebagai pemacu
ekonomi negeri, namun dari segi alam sekitar, pelbagai kesan negatif yang telah
berlaku desebabkan kerja pembinaan projek mega yang telah dijalankan. Kesan
yang timbul akibat daripada pembinaan projek mega ini telah memberi kesan yang
sangat besar kepada semua pihak.
Manfaat pembangunan Lebuhraya Pantai
Timur 2 (LPT 2) kepada penduduk Terengganu.
Pembangunan infrastruktur seperti
lebuhraya sememangnya mendatangkan manfaat kepada orang ramai, Seperti yang
kita semua sudah sedia maklum, pembangunan lebuhraya banyak membantu kita dari
segi penjimatan masa, kekurangan kesesakan lalu lintas dan juga bermacam- macam
lagi. Terdapat banyak manfaat daripada pembangunan Lebuhraya Pantai Timur 2
(LPT2) terhadap penduduk Terengganu.
Antara manfaat daripada pembangunan
LPT 2 kepada penduduk Terengganu ialah meningkatkan industri pelancongan
domestik. Hal ini demikian kerana LPT 2 memberikan jalan alternatif untuk ke
pusat- pusat pelancongan yang terdapat di Terengganu. Jika pada waktu dulu,
orang ramai perlu menggunakan jalan dalam yang agak merbahaya jika ingin ke
pantai timur, namun begitu dengan adanya kewujudan LPT 2, orang ramai mempunyai
jalan alternatif yang lain untuk sampai ke destinasi yang dituju. Kawasan
pelancongan yang terdapat di Terengganu seperti taman rekreasi, air terjun,
rumah chalet, pantai serta pulau peranginan seperti Pulau Kapas, Redang dan
Perhentian secara tidak langsung berpeluang untuk berkembang dengan lebih maju.
Kini, jalan yang berliku- liku untuk ke pantai timur bukan lagi satu aral yang
menghalang keinginan untuk bercuti di Terengganu. Peningkatan industri
pelancongan domestik semestinya membantu meningkatkan taraf ekonomi negara.
Seterusnya, pembangunan LPT 2
membantu memendekkan tempoh perjalanan. Hal ini amat bermanfaat terutama bagi
mereka yang selalu bekerja di luar kota, namun masih menetap di Terengganu.
Sebagai contoh, perjalanan dari Jabor ke Kuala Terengganu hanya mengambil masa
dua jam. Manakala dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu pula mengambil masa
hanya 4-5 jam. Hal ini amat berbeza berbanding kebiasaannya yang mengambil masa
7-8 jam dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu. Jika dahulu, orang terpaksa
berkira- kira untuk pulang ke kampung kerana memikirkan masalah tempoh
perjalanan, namun kini, tempoh perjalanan untuk sampai ke destinasi bukan lagi
satu masalah yang perlu dititikberatkan. Hal ini juga dapat menjimatkan masa
pengangkutan untuk pemasaran dan logistik seperti barang-barang makanan atau
perikanan ke bandar-bandar utama (seperti dari Kuala Terengganu ke Kuala
Lumpur). Masa perjalanan juga dapat dijimatkan kerana kurang halangan seperti
tiada lampu isyarat, pusingan U, atau kenderaan berhenti untuk menurunkan
penumpang. Selain itu, pengguna lebuh raya dapat mengekalkan kelajuan yang
konsisten, justeru masa penghantaran lebih konsisten dan mengikut jadual.
Selain itu, pembangunan ekonomi
Terengganu juga semakin meningkat hasil daripada pembangunan LPT 2 ini. Menurut
kata dari seorang Menteri Besar, “Kita akan memastikan perlaksanaan LPT 2 dapat
memacu usaha meningkatkan ekonomi serta agar sasaran negeri mencapai pendapatan
berkapita RM 8 000 menjelang 2020.” Pembangunan LPT 2 secara tidak langsung
membuka peluang pekerjaan kepada kontraktor tempatan dan kakitangan
penyelenggaraan. Selain itu, masyarakat sekitar lebuh raya juga mendapat
peluang berkhidmat sebagai kakitangan di LPT 2 seperti pembantu khidmat pelanggan,
jurutol, penyelia plaza tol, operator pusat kawalan trafik serta kakitangan
pengurusan. Ini sekali gus meningkatkan peluang anak-anak tempatan meningkatkan
taraf sosioekonomi mereka. Peluang pekerjaan sebegini sedikit sebanyak dapat
membantu orang yang memerlukan pendapatan seterusnya mengurangkan kadar
pengangguran dalam masyarakat.
Pembangunan Lebuhraya Pantai Timur 2 telah
mewujudkan kawasan penempatan, perbandaran dan perindustrian yang baharu. Hal
ini dapat dilihat di kawasan seperti Ajil, Telemong, Bukit Payung, Kuala
Terengganu, Bukit Besi, Dungun, Paka, Kertih, Kijal, Chukai, Cheneh pula
dijangkakan akan berpeluang menikmati pertumbuhan pesat kerana kawasan- kawasan
tersebut semakin mudah untuk dikunjungi dengan adanya akses eksklusif daripada
LPT 2. Secara tidak langsung, pertumbuhan kawasan perindustrian, perniagaan dan
penempatan baru di lokasi-lokasi yang terbabit dirangsang, seterusnya membuka
lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk sekitar. Hal ini
dapat dilihat daripada kesan lebuhraya utara- selatan. Hasil daripada lebuhraya
tersebut dapat membantu dalam pembangunan kawasan seperti Senawang, Bangi,
Rawang, Ayer Hitam, Seberang Jaya, Juru, Ayer Keroh, Alor Gajah, Tanjung Malim
dan sebagainya.
Kesan Pembinaan Lebuhraya Pantai
Timur Fasa 2 kepada Alam Sekitar
1) Semasa Pembinaan
Lebuhraya dibina dinegara kita
memberikan banyak manfaat dan faedah kerana menjadi jalan menghubungkan antara
kawan bandar ke luar bandar disamping penggunaanya dapat menjimatkan masa.
Walaubagaimana pun, hasil daripada pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2
meninggalkan banyak kesan terutama paling ketara adalah kepada alam sekitar.
Ini dapat dilihat dengan jelas ketika atau semasa pembinaan LPT 2, antaranya
penebangan hutan, pembinaan teren di cerun-cerun bukit, pemotongan dan
penggondolan bukit yang mencacatkan pemandangan. Untuk membina lebuhraya ini,
ia melibatkan kawasan hutan yang luas dan ini menyebabkan hutan ditebang dengan
kadar yang meluas di kawasan tersebut yang meliputi sepanjang kawasan Jabur ke
Kuala Nerus.
Akibat penebangan hutan dengan kadar
yang luas, menyebabkan banyak kemusnahan hidupan terutama flora dan fauna
dikawasan tersebut sehingga mengakibatkan banyak spesies mengalami kepupusan.
Penggondolan bukit juga dilakukan untuk tujuan pembinaan lebuhraya. Apabila
bukit digondolkan hakisan tanah berlaku, apabila hujan turun boleh menyebabkan
berlaku kejadian seperti tamah runtuh. Selain daripada itu, kekurangan tumbuhan
penutup bumi menyebabkan kadar air larian meningkat. Air larian ini membawa
bersama sedimen yang boleh menyebabkan longkang boleh tersumbat dan cetek dan
menyebabkan banjir lumpur boleh berlaku.
Rentetan itu pada tahun 2014, banjir
besar melanda negeri Terengganu sehingga mengakibatkan kerosakkan yang banyak
dan banyak jalan terpaksa ditutup dan
pembinaan LPT 2 terpaksa dihentikan untuk sementara dan pembukaan lebuhraya
berkenaan kepada orang ramai terpaksa ditunda. Ramai pihak menuding jari kepada
pembinaan lebuhraya tersebut yang meakibatkan bencana alam tersebut melanda
negeri itu. Walaubagaimana pun, kerajaan Negeri Terengganu menolak dakwaan
bahawa pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) menjadi punca utama
kepada banjir besar yang melanda negeri tersebut tahun lepas. Menurut Pengerusi
Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Rosli Othman, pembinaan
lebuhraya tersebut telah mengambil kira beberapa faktor termasuk taburan hujan
(Berita Awani,2016).
2) Selepas Pembinaan
Kesan pembinaan tersebut kepada alam
sekitar masih juga dapat dilihat dengan insiden-insiden haiwan liar berkeliaran
dilebuhraya berkenaan. Pada Feb 2016, seekor harimau belang mati dirempuh
sebuah kenderaan di kilometer 321.2, LPT2 berhampiran susur keluar Plaza Tol
Kerteh, Kemaman, Terengganu (Sinar Harian,2016). Ketua Ketenteraman Awam dan
Trafik negeri, Superintenden Kamaluddin Mohamad menasihatkan supaya pemandu
untuk lebih berhati-hati ketika melalui kawasan tersebut kerana,terdapat
beberapa kes kemalangan membabitkan binatang buas seperti tapir, beruang
berikutan lokasinya yang terletak berhampiran hutan simpan. Ini menunjukkan
dengan pembinaan lebuhraya tersebut ia telah mengganggu ekosistem serta
kehidupan dikawasan tersebut. Konflik manusia dan hidupan liar ini boleh
dielakkan sekiranya pengusaha projek pembangunan dan utiliti mempunyai tahap
keprihatinan yang tinggi mengenai kepentingan hidupan liar dan konsep
konservasi serta perlindungan hidupan liar.
Pihak
bertanggungjawab bagi pembangunan dan pembinaan jalan raya untuk mengelakkan
pembinaan lebuh raya atau jalan raya daripada merentasi kawasan berhutan dan
membina struktur lintasan hidupan liar ‘animal viaduct’ atau terowong dan
lintasan hidupan liar pada jajaran lebuh raya. Oleh itu, Timbalan Menteri
Kerjaraya, Datuk Rosnah Abdul Rashid berhasrat untuk menjadikan laluan LPT 2
mesra hidupan liar dengan menambah baik laluan dibawah jambatan dan dan
terowong kenderaan di lebuhraya tersebut dengan ciri-ciri mesra hidupan liar
(Kosmo,Feb 2016). Namun setahun kemudian, pada Januari 2017, beberapa insiden
melibatkan pencerobohan haiwan liar masih berlaku seperti tapir yang masih
dilihat merayau-rayau dan melintas lebuh raya berkenaan.
Oleh itu, pembinaan lebuhraya dapat
dijalankan dengan sempurna jika mengikuti syarat pembinaan dan menjaga alam sekitar.
Ini adalah supaya pembinaan yang dijalankan tidak menganggu keseimbangan alam
sekitar. Selain itu satu pertubuhan memantau aktiviti pembinaan lebuhraya
perlulah ditubuhkan supaya syarikat pembinaan tersebut menepati ciri
keselamatan dan pemulihan dilakukan selepas pembinaan tamat.
Masalah berhubungan dengan Lebuhraya
Pantai Timur 2
Walaupun telah banyak sidang media
dan akhbar tempatan yang menguar-uarkan bahawa LPT2 telah dibina mengikut
piawaian, namun masih banyak masalah yang timbul ekoran pembinaan lebuhraya
ini.
Meskipun lebuhraya ini baru sahaja
dibina dan dibuka kepada pengguna tidak sampai 2 tahun, namun begitu banyak
aduan telah difailkan kepada pihak autoriti yang terlibat mengenai kondisi
jalan dan beberapa perkara lain yang sekiranya dibiarkan, dapat meruntuhkan
integriti negeri-negeri dan pihak-pihak lain yang terlibat.
Antara permasalahan yang timbul berikutan pembinaan
Lebuhraya Pantai Timur 2 ini adalah:
Jalan sudah mula rosak dan berlubang
Sepanjang lebuhraya berukuran 185 km
ini, sudah terdapat banyak lubang yang terbentuk di atas jalan (Utusan online).
Lubang-lubang ada yang bersaiz kecil dan ada juga yang bersaiz besar dan ini
sebenarnya dapat menjadi salah satu penyumbang kepada jumlah kemalangan yang
semakin meningkat di lebuhraya tersebut. Pengguna lebuhraya selalunya membawa
kereta dengan kelajuan yang tinggi dan sekiranya pengguna tidak dapat mengawal
kenderaan dengan baik selepas melalui kawasan berlubang, pengguna berisiko
tinggi untuk mengalami kemalangan.
Lubang-lubang ini, yang selalunya terdapat di
atas jalan selepas jambatan sebenarnya mengurangkan keyakinan pengguna untuk menggunakan
lebuhraya tersebut, lantas mengurangkan jumlah pengguna lebuhraya tersebut.
b Tiada satu pun stesen minyak di sepanjang lebuh raya
Sepanjang 185 km lebuhraya dibina,
hanya dua stesen minyak sahaja yang beroperasi; satu stesen minyak di Ajil dan
satu stesen minyak sementara di Kijal. Jarak antara keduanya adalah sangat jauh
dan pengguna yang mempunyai masalah dengan kenderaan mereka seperti kereta
kehabisan minyak atau kerosakan-kerosakan lain mungkin akan menghadapi
kesukaran mendapatkan bantuan. Pengguna juga menghadapi risiko kecurian atau
kejadian samun ketika kenderaan mereka rosak di tengah perjalanan.
Walaupun terdapat stesen minyak
sementara yang beroperasi di Kijal, namun stesen minyak tersebut terlalu kecil
dan tidak mampu menampung jumlah kereta harian sekiranya pengguna lebuhraya
tersebut mencapai sasaran pengguna harian.
Pihak pembangun lebuhraya perlu
sekurang-kurangnya membina beberapa buah lagi stesen minak di sepanjang
lebuhraya tersebut untuk memastikan pengguna selesa dan selamat di sepanjang
perjalanan.
c Kemudahan hentian tidak beroperasi sepenuhnya
Sejak 2015 sehingga sekarang, hanya
ada 2 R&R dan 2 hentian sebelah sahaja yang beroperasi, itu pun
keempat-empat fasiliti ini masih tidak berfungsi secara sepenuhnya. Rehat &
Rawat di Perasing dan Ajil sememangnya besar, namun tak semua kedai di dalamnya
beroperasi dan ini menampakkan tempat tersebut sebagai suram dan agak seram
untuk dikunjungi pengunjung (Mohd Rizal Hashim). Pernah juga ada penjual
makanan yang mengatakan bahawa sewa kedai di kawasan Rehat & Rawat tersebut
terlalu tinggi dan penjual tersebut tidak mampu untuk membayarnya setiap bulan
kerana kekurangan pengunjung.
Apa yang pihak berwajib boleh
lakukan untuk menarik pengguna untuk menggunakan lebuhraya ini adalah
menurunkan sewa kedai dan juga kadar tol. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa sememangnya
lebuhraya ini dapat memendekkan jarak perjalanan dari satu destinasi ke satu
destinasi yang lain, namun begitu jika pengguna perlu keluar dari lebuhraya
untuk makan atau untuk tujuan yang lain-lain, tiada guna bangunan yang
dikhaskan sebagai pusat Rehat & Rawat didirikan.
Terlalu banyak kontroversi
Dari sebelum pembukaannya lagi,
pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 telah banyak mencetuskan kontroversi dalam
kalangan masyarakat tempatan. Antara kontroversi yang tercetus adalah LPT2
sebagai penyebab banjir besar yang berlaku di Terengganu dan Kelantan pada
tahun 2014. Walaupun Terengganu dan Kelantan mengalami banjir dengan agak kerap
khususnya ketika musim tengkujuh, tetapi air bah yang membanjiri dua negeri
tersebut sebelumnya tidaklah sekeruh air bah ketika banjir besar pada tahun
2014. Banjir di Terengganu dan Kelantan pada tahun 2014 merupakan banjir
terburuk yang pernah berlaku pada kedua negeri tersebut.
Kontroversi lain yang turut tercetus
adalah berkaitan dengan hak kutipan tol di LPT2. Kerajaan Terengganu yang
terlbat dengan pembinaan LPT2 pada peringkat awal telah menolak pelaksanaan tol
di lebuhraya tersebut, memandangkan wang yang diperuntukkan untuk pembinaan
lebuhraya tersebut adalah wang rakyat. Namun, pada peringkat pembinaan yang
seterusnya, Lembaga Lebuh Raya Malaysia telah mengambil alih konsesi pembinaan,
yang secara tidak langsung memangkinkan pelaksanaan tol di lebuhraya itu.
Kerajaan Terengganu pula mengambil tindakan menuntut kembali wang yang telah
ditaburkan dalam pembinaan lebuhraya tersebut sebanyak RM3 billion daripada
Lembaga Lebuh Raya Malaysia. Tindakan kedua-dua belah pihak dalam tidak sedar,
telah menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat, khususnya dari
sudut politik.
Penutup
Sebagai konklusinya, pembinaan LPT 2 membawa
kesan baik dan buruk pada masa yang sama. Pembinaan LPT 2 ini telah mewujudkan
kawasan perindustrian yang baru dan meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk
sekitar. Namun, kesan positif selepas pembinaan lebuhraya ini seakan-akan tidak
mencapai seratus peratus daripada apa yang telah dijanjikan. Hal ini kerana
jalannya sudah mula mengalami masalah dan bilangan stesen minyak di sepanjang lebuhraya
ini juga menimbulkan ketidakpuasan hati pengguna. Justeru, LPT 2 boleh
dikatakan sebagai projek mega yang telah dijalankan bagi tujuan untuk
meningkatkan taraf and keselesaan pengguna tetapi pada masa yang sama, kerja
pembaikan yang berterusan perlu dilakukan untuk menjamin objektif pembinaan LPT
2 yang telah ditetapkan semasa perancangan projek.
Rujukan
Mohd Husni
Mohd Noh (2016,Julai 14) Korban
Kenderaan. Harian Metro. Retrived April 20 from http://www.hmetro.com.my/node/151569
Mohd Rizal
Hashim, Ketua Perhubungan Awam Kementerian Kerja Raya. (2015). Maklum balas
artikel surat khabar Utusan Malaysia 28 April 2015
Nurul
Zaihah (2017, Januari 15) Selepas Pak
Belang, Tapir pula Dijumpai di LPT2. Sinar Harian. Retrieved April 20 from
Portal
Rasmi Projek Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2. (2013). Latar belakang projek. Retrieved on 17
April 2017 from http://www.lpt2.gov.my/maklumat-projek/latar-belakang-lpt2.html
Salina
Yahya (2002). Pembinaan Lebuhraya dan
kesannya Terhadap Alam Sekitar.
Environmental
Impact Assessment, Universiti Kebangsaaan Malaysia
Utusan
Online (2015, April 28). LPT 2 masih
banyak perlu diperbaiki. Retrieved on 24 Mei 2017 from http://m.utusan.com.my/rencana/forum/lpt2-masih-banyak-perlu-diperbaiki-1.85325
No comments:
Post a Comment