Wednesday, 10 February 2016

TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA

Pengenalan

               Tamadun Melayu merujuk kepada sebuah tamadun yang dibentuk oleh sekelompok manusia secara luasnya dan digolongkan sebagai kumpulan orang Melayu. Walaupun digolongkan sebagai bangsa Melayu, tetapi kumpulan orang Melayu yang boleh diasingkan daripada kumpulan lain dari segi ciri-ciri fizikal luaran dan kebudayaannya. Walau bagaimanapun, Bahasa Melayu masih menjadi Lingua Franca yang umum bagi tujuan komunikasi dan urusan-urusan rasmi tanpa mengambil kira jenis kumpulan atau suku. Penempatan golongan Melayu ini tertumpu pada wilayah Asia Tenggara. Tamadun Melayu dikenali dengan pelbagai gelaran seperti Nusantara, Kepulauan Melayu dan Alam Melayu.
               Tamadun Melayu merupakan tamadun yang mempunyai sejarah yang lama. Oleh itu, tamadun ini mengalami proses perkembangan yang lama dan melalui banyak proses perubahan yang membawa kita sehingga ke hari ini. Perkembangannya boleh dikategorikan kepada kedatangan dan penempatan, Zaman Pra-Islam, Zaman Islam, Zaman Penjajahan dan Zaman Kemerdekaan. Kedatangan Islam ke Alam Melayu ini membawa perubahan yang paling ketara dalam sejarah Tamadun Melayu. Kesan kedatangan Islam masih boleh dilihat sehingga ke zaman kini dan telah menjadi satu ciri-ciri utama masyarakat yang telah diterapkan dalam kegiatan seharian.



1.0     Penempatan awal Tamadun Melayu
Penempatan manusia Tamadun Melayu boleh didapati pada 35 000 tahun yang lalu di Kota Tampan, Perak  Malaysia. Manusia Perak yang dijumpai di Kota Tampan disahkan sebagai manusia prasejarah. Ini menunjukkan Tamadun Melayu ialah salah satu tamadun yang paling tua di dunia. Manakala, Malaysia merupakan salah satu negara terawal yang mengalami Zaman Prasejarah Dunia.

1.1       Zaman Prasejarah Dunia

Terdapat empat Zama Prasejarah Dunia iaitu Paleolitk, Neolitk, Mesolitik dan Logam. Tamadun Melayu hanya melalui tiga zaman sahaja iaitu Paleolitk, Neolitik dan Logam. Zaman Paleolitk ialah zaman kira-kira 35000 tahun yang lalu. Pada zaman ini, manusia-manusia awal hanya menggunakan alat-alat batu untuk menjalankan aktiviti harian seperti memburu. Alat-alat batu akan dikebumikan bersama-sama dengan manusia yang telah meninggal dunia. Contoh yang paling nyata dan ketara adalah penemuan Orang Perak di Kota Tampan, Perak. Penempatan awal manusia zaman Paleolitik juga ditemui di Gua Niah, Sarawak dan Tingkayuh, Sabah.
Zaman seterusnya ialah zaman Neolitik yang berlaku kira-kira 10 000 tahun yang lalu. Manusia pada zaman ini telah mengetahui cara penghasilan tembikar dan cara menggunakan tembikar bersama dengan alat batu untuk menjalankan aktiviti seperti mencucuk tanah, memburu, menyimpan makanan dan sebagainya. Serupa dengan zaman Paleolitik, barang-barang ini juga dikebumikan bersama dengan manusia yang telah meninggal dunia. Contoh penempatan pada zaman Neolitik ialah Gua Cha,Kelantan dan Bukit Tengkorak, Sabah. 
Zaman pra sejarah yang dialami oleh Tamadun Melayu ialah Zaman Logam yang berlaku pada kira-kira 3000 tahun yang lalu. Pada zaman ini, manusia mula menghasilkan peralatan logam seperti kapak, mata lembing, sabit dan tulang mawas. Antara contoh tempat penempatan bagi zaman Logam ialah di Sungai Tembeling, Pahang dan Sungai Muar, Johor.

1.2       Orang Melayu dalam Tamadun Melayu

Tamadun Melayu ialah tamadun yang dimiliki bangsa Melayu di rantau yang dikenali sebagai Alam Melayu, Kepulauan Melayu, Nusantara ataupun Asia Tenggara[1]. Terdapat dua teori tentang bangsa Melayu, Teori Yunnan dan Teori Nusantara. Teori Yunnan mengatakan bahawa bangsa Melayu adalah dari Yunnan. Buktinya ialah persamaan Kapak Tua di Kepulauan Melayu dan Kapak Tua di Asia Tengah serta adat resem Melayu yang mirip kepada suku Naga di daerah Assam. Berdasarkan teori ini, pemindahan orang Negrito, orang Melayu Proto dan Melayu Deutro dari Yunnan ke Kepulauan Melayu turut berlaku.
Bagi Teori Nusantara pula, dikatakan bangsa Melayu adalah keturunan manusia kuno dari Pulau Jawa. Menurut sarjana-sarjana seperti J.Crawfurd, K.Himly, Sutan Takdir Alisjahbana dan juga Gorys Keraf, bangsa Melayu dan bangsa Jawa mempunyai tamadun yang tinggi pada abad kesembilan belas. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah perkembangan budaya yang lama. Perkara ini menunjukkan orang Melayu tidak berasal dari mana-mana, tetapi mula berkembang dan membangun di Nusantara. Ini merupakan salah satu sebab Teori Nusantara diterima oleh sebahagian sarjana.

1.3       Kerajaan awal dalam Tamadun Melayu

Kerajaan awal dalam Tamadun Melayu boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu Kerajaan Agraria dan Kerajaan Maritim. Kedua-dua kerajaan ini dibezakan dengan jenis pendapatan utama negara. Kerajaan Agraria berkembang dalam aspek pertanian manakala Kerajaan Maritim berkembang dalam aspek perdagangan.
1.4       Kerajaan Agraria


Penempatan Kerajaaan Agraria adalah di lembah sungai. Tanah yang subur dan mempunyai sumber air tawar di lembah sungai amat sesuai untuk tujuan pertanian. Selain pertanian, penternakan dan pemungutan hasil hutan juga merupakan sumber pendapatan Kerajaan Agraria. Contoh kerajaan Agraria ialah Kerajaan Angkor yang bertempat di Tasik Tonle Sap dan Kerajaan Funan yang bertempat di lembah Sungai Mekong.

1.5       Kerajaan Maritim

Penempatan Kerajaan Maritim pula ialah di pesisiran pantai, lembah sungai dan di kepulauan. Ciri-ciri Kerajaan maritim termasuklah tempat yang strategik, pelabuhan dan perdagangan yang mula berkembang. Selain itu, pemungutan hasil laut dan perikanan juga menjadi sumber pendapatan Kerajaan Maritim. Contoh kerajaan Maritim ialah Kerajaan Srivijaya di Sungai Musi dan Kerajaan Kedah Tua yang bertempat di Sungai Merbok dan Sungai Muda.

1.6       Masyarakat Pra-Islam

Sebelum kedatangan agama Islam, Tamadun Melayu mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri dalam aspek kepercayaan, politik, stratifikasi sosial dan budaya keilmuan. Segala aspek adalah berbeza-beza pada zaman sebelum dan selepas kedatangan Islam. Sebelum kedatangan Islam, terdapat pengaruh Hindu-Buddha yang ketara dalam beberapa aspek.

1.7       Kepercayaan Pra-Islam

Masyarakat Melayu yang asalnya tidak menganut sebarang agama. Mereka menganut fahaman animisme. Animisme bermaksud kepercayaan adanya roh dan jiwa yang mempengaruhi kehidupan alam dan manusia. Mereka percaya semua benda di Bumi ini mempunyai jiwa yang perlu dihormati. Mereka juga percaya yang roh orang yang telah meninggal dunia boleh masuk tubuh haiwan. Roh-roh ini dipercayai boleh membantu atau mengganggu kehidupan harian manusia bergantung kepada cara mereka dilayani.
Selepas itu, masyarakat Melayu dipengaruhi oleh agama Hindu-Buddha. Agama Hindu-Buddha dikatakan dibawa oleh golongan kesyatria atau tentera, pedagang dan pendeta yang berasal dari India. Kedatangan Hindu-Buddha telah menjadikan upacara keagamaan lebih tersusun. Kepercayaan tempatan bercampur dengan unsur agama Hindu-Buddha. Upacara seperti pemujaan nenek moyang yang berteraskan tradisi tempatan masih diamalkan oleh penduduk tempatan. Pembinaan candi yang merupakan bukti pengaruh keagamaan Hindu-Buddha di Nusantara. Contoh candi yang terkenal termasuklah Candi Lembah Bujang, Candi Borobudur dan Candi Angkor Wat.

1.8       Politik

Sebelum kedatangan Islam, Alam Melayu mengamalkan sistem feudal dalam politik. Pada masa itu, raja mempunyai kuasa mutlak. Raja dianggap sebagai jelmaan dewa dan patut disembah oleh rakyat-rakyatnya. Raja juga menjadi sumber undang-undang pada zaman tersebut. Selepas kedatangan agama Hindu-Buddha, konsep dewaraja pula diamalkan. Raja dianggap memiliki sifat kedewaan dan raja adalah setaraf dengan dewa. Agama Hindu-Buddha ini kebanyakkan dianuti oleh bangsawan dan raja kerana kepentingan politik dan sosial mereka dijaga. Manakala seluruh rakyat menjadi hamba dan perlu memberi taat setia kepada bangsawan ataupun raja yang memerintah.

1.9       Stratifikasi Sosial

Menurut Sistem Kasta yang diperkenalkan, semua orang dibahagikan kepada dua golongan iaitu golongan atasan dan golongan bawahan. Golongan atasan merangkumi raja dan golongan bangsawan manakala golongan bawahan merangkumi rakyat dan buruh. Menurut sistem kasta, semua orang dibahagikan kepada kelas yang berbeza. Kelas dari golongan atas ke bawah disusun dan dimulai dengan Brahmin, Ksatriya, Vaisya, Sudra dan Pariah. Mereka dibezakan dengan warna kulit dan pekerjaan mereka.
Sistem ini mempunyai semangat diskriminasi yang melampau. Jenis dan warna pakaian perlu dibezakan dan golongan bawahan tidak boleh memakai sesetengah jenis dan warna pakaian. Mengikut sistem kasta, pelaksanaan undang-undang bergantung kepada kelas dan pangkat seseorang. Seringkali, ketidakadilan berleluasa kerana sistem ini hanya menguntungkan golongan atasan[2]. Golongan bawahan akan dieksplotasi oleh golongan atasan.

1.10     Budaya Keilmuan

Pada zaman Pra-Islam, bidang ilmu tidak diutamakan. Orang pada zaman tersebut tidak mementingkan ilmu dan tidak berminat meluaskan ilmu pengetahuan mereka. Malah golongan atasan sendiri juga hanya mempunyai bahan keilmuan yang sedikit seperti sastera dan cerita. Hal ini menyebabkan tokoh ilmuan tidak diambil berat dalam bidang pentadbiran. Penasihat raja pada masa itu adalah bomoh yang lebih berpengaruh daripada tokoh ilmuan. Institutsi pengajian tidak berkembang pada masa tersebut.
Masyarakat pula tidak mendapat sebarang pendidikan tidak kira pendidikan formal atau pendidikan tidak formal. Masyarakat pada masa itu hanya mementingkan senibina dan sastera yang berpengaruh Hindu.Ilmu Buktinya adalah pembinaan Kota Borobudur yang seni binanya berunsur Hindu-Buddha dan Hikayat Sri Rama yang berasal dari India.

2.0     Teori kedatangan Islam

Teori atau cara kedatangan Islam merupakan bidang kajian yang memainkan peranan penting dalam catatan sejarah Islam. Terdapat pelbagai pendapat dan analisis yang dikemukakan oleh para sejarawan mengenai teori yang membawa kepada kedatangan Islam seperti tempat asal kedatangan Islam, para pembawa yang menyebarkan Islam serta waktu agama Islam disebarkan. Namun, tarikh kedatangan Islam ke alam Melayu masih tidak dapat dibuktikan oleh mana-mana teori dengan tepat. Kebanyakan para sejarawan berpendapat bahawa Islam mula bertapak di kawasan Nusantara sekitar abad ke-7 atau abad ke-8 masihi.
Di Nusantara, kawasan pertama yang menerima yang menerima Islam juga masih dikaji dan dibincangkan. Orang-orang Islam hanya merupakan kelompok-kelompok kecil yang hidup bersendirian dan tidak ada bukti menunjukkan usaha pengembangan dan penyebaran Islam secara meluas dan menyeluruh di Tanah Melayu dari negeri-negeri tersebut pada waktu itu melainkan hanya Melaka diperakui berperanan bertindak menyebarluas Islam di rantau ini. Secara umumnya, terdapat empat teori yang membuktikan kedatangan Islam ke Alam Melayu dan teori-teori tersebut melibatkan teori dari negara Arab, China, India dan Champa.

2.1       Teori Islam dari Arab

Pada awalnya, ikatan antara masyarakat Melayu dan Timur Tengah terjalin dan disatukan oleh agama Islam. Idea Islam dari Arab dikemukakan oleh John Crawford, Nieman dan De Hollander serta disokong oleh Profesor Sheikh Muhammad Naquib al- Attas dan Seminar Masuknya Islam ke Indonesia. Menurut John Crowford, dengan lahirnya zaman Dinasti Umaiyah dan Abbasiah, lebih jelas terbukti orang-orang Arab-Islam sudah bertapak di Nusantara.[3]

2.1.1    Pengislaman pemerintah

Masyarakat Melayu memeluk agam Islam dan itulah tanda bermulanya kedatangan Islam ke alam Melayu. Proses penyebaran agama Islam diperluas lagi dengan pengislaman pemerintah dari segi politik. Pada zaman pemerintahan Dinasti Mamluk, hubungan diplomatik antara Alam Melayu dengan Arab terjalin apabila pemerintah tersebut menyebarkan pengaruh mereka di Alam Melayu sejak abad ke-13 masihi. Selain itu, peranan Dinasti Mamluk di Tanah Arab, Mesir dan pendakwah dari Makkah yang berjaya mengislamkan pemerintahan Pasai, merupakan penyebaran Islam secara berpengaruh di Alam Melayu. Contohnya, Raja Pasai, Merah Silu telah diislamkan oleh Syeikh Ismail iaitu utusan dari Sharif Makkah dan baginda diberi nama Sultan Malik al-Saleh. Pemilihan nama Malik al-Salih sebagai nama baru Merah Silu selepas diislamkan berkaitan dengan gelaran pemerintah Dinasti Mamluk di Mesir yang terkenal di Timur Tengah. Bukan itu sahaja malah, gelaran kedua-dua putera Sultan Malik al-Salih iaitu Malik al-Zahir (1279-1277) dan Malik al-Mansur (1279-1290) turut mempunyai pengaruh Dinasti Damluk.

Di samping itu, mengikut catatan sejarah Kedah, Maharaja Derbar Raja II merupakan raja Kedah pertama yang memeluk Islam. Baginda dikatakan telah diislamkan oleh seorang ulama dari Yaman iaitu Syeikh Abdullah bin Syeikh Ahmad bin Syeikh Qaumiri pada tahun 1136 Masihi, bersamaan dengan 513 Hijrah. Kemudian, baginda telah menggunakan nama Sultan Muzaffar Syah. Semua menterinya mula memeluk Islam apabila raja mereka berbuat demikian. Hal ini membuktikan pengaruh Islam yang kukuh dalam kalangan pemerintah merupakan tunjang utama yang membawa kepada penyebaran dan perluasan ajaran agama tersebut secara efektif.

2.1.2    Peranan pedagang Arab  

Penyebaran agama Islam atau dakwah Islamiah pada awalnya disebarkan di pusat kegiatan ekonomi masyarakat iaitu di pelabuhan. Mesir pernah muncul sebagai pusat perdagangan yang terkenal di Timur Tengah dan pernah menjalinkan hubungan dengan masyarakat Melayu. Para pedagang Arab-Islam dipercayai datang ke kawasan Nusantara untuk mendapatkan barang keperluan lalu menjalankan kegiatan dakwah Islamiah.

Terdapat segelintir para sejarawan berpendapat bahawa hubungan perdagangan antara Mesir dan masyarakat Melayu telah dijalankan sejak 1500 tahun sebelum masihi. Gardner Wilkinson menyatakan bahawa bijih timah telah digunakan oleh tamadun Mesir Purba sejak 1500 tahun  sebelum masihi lagi dan bekalan bijih timah tersebut dipercayai dari Alam Melayu melalui India. Selain itu, Pedagang Mesir turut menggunakan jalan laut melalui Teluk Parsi dan Laut Merah ke Alam Melayu untuk mendapatkan rempah-ratus seperti kapur berus bagi pengawetan mayat.

2.1.3    Penemuan artifak berciri Arab

Artifak-artifak yang ditemui di Alam Melayu yang bercirikan unsur Arab merupakan bukti yang ketara yang menyokong teori kedatangan Islam dari Arab. Penemuan batu nisan di kampung Permatang Pasir Nenasi Pekan, Pahang oleh ahli arkeologi telah menjadi bukti pencerahan kemasukan Islam ke Tanah Melayu pada awalnya bukan dari Terengganu (Batu bersurat Terengganu 702 Hijrah di Kuala Berang). Batu nisan di Pekan, Pahang yang bertarikh 14, Rabiulawal 419 Hijrah tersebut dihiasi dengan syair Arab dan Al-Quran.

Selain itu, batu nisan di kampung Tanjung Inggeris yang bertarikh 905 masihi ditemui di Terengganu. Tempat tersebut dinamakan Tanjung Inggeris kerana dipercayai bahawa tempat tersebut merupakan kawasan pangkalan pendaratan Inggeris di hulu Sungai Kedah. Pada batu nisan tersebut, tertera nama tokoh agama iaitu Syeikh Abd. Al-Qadir serta tarikh wafatnya, 905 maishi. Pengaruh Islam di Kedah juga dikatakan lebih awal dari masa yang dijangkakan kerana penemuan mata wang perak dari Dinasti Abbasiyah pada zaman Khalifah Al-Mutawakkil pada tahun 847 hingga tahun 861.

2.1.4    Kedudukan geografi yang strategik

Kedatangan Islam dari Arab ke Alam Melayu boleh disokong dengan penemuan yang menyatakan kedatangan Islam ke Nusantara berlaku pada abad ke-7 apabila saudagar Arab menjalankan aktiviti perdagangan. Di samping berdagang, saudagar Arab berdakwah melalui jalan perdagangan Asia Tenggara sebelum meneruskan pelayaran ke China. Pada abad ke-15 dan awal abad ke-16 masihi, Melaka muncul sebagai sebuah pusat penyebaran agama Islam, pusat perdaganan entrepot serta pusat perkembangan bahasa lingua franca yang terkenal di Nusantara. Kedudukan Melaka yang strategik iaitu terletak di tengah jalan perdagangan antara India dan China menyebabkan ia menjadi tumpuan untuk singgahan sebelum meneruskan pelayaran. Melaka mencapai zaman kegemilangannya pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah dan Bendahara Datuk Paduka Raja Tun Perak.

2.1.5    Hubungan tamadun Melayu dengan Kerajaan Islam di Asia Barat

Wan Husain Azmi, seorang sejarawan telah membantah pendapat yang mengatakan Islam disebarkan di Tanah Melayu pada abad ke-14 masihi. Dalam artikelnya, Islam di Malaysia yang diperolehi daripada buku Melaka menyatakan pendapat beliau bahawa perkembangan Islam di Malaysia bermula pada abad ke-9 masihi sehingga ke-14 masihi lalu mencetuskan kerajaan Islam seperti Kelantan, Melaka dan Terengganu. Pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah pula, baginda telah menjalinkan hubungan dengan negeri lain di Asia Tenggara dengan mengirimkan beberapa perutusan persahabatan. Menurut Salatus Salatin, utusan persahabatan tersebut telah dikirimkan ke Goa (Sulawesi), Majapahit dan Siam. Selain itu, negeri Melaka turut menjalankan hubungan diplomatic dengan China dan Siam. Dengan terjalinnya hubungan diplomatik tersebut, maka pengaruh Islam ke Nusantara diperluas dan diperkukuh lagi.

2.2       Teori Islam dari China

Arab mempunyai hubungan perdagangan yang baik dengan negara China. Justeru, para sejarawan berpendapat bahawa orang Arab singgah di China untuk menjalankan dakwah Islamiah di samping berdagang. Hal ini bermaksud, Islam telah diperkenalkan di China sebelum ke kawasan Nusantara. Teori ini disokong oleh pelbagai bukti yang dikemukakan oleh para sarjana. Syed Muhammad Naquib Al-Attas menyokong catatan pengembara Cina yang menyatakan terdapat penempatan orang Islam di Sumatera Timur pada 55 Hijrah, bersamaan dengan 674 masihi.  Menerusi beberapa kajian ahli sejarah, teori kedatangan Islam boleh dilihat melalui temuan batu nisan, seni pertukangan dan catatan sejarah China.[4]

2.2.1    Hubungan Arab dengan China

Hubungan perdagangan antara Arab dan China telah terjalin sebelum kelahiran agama Islam lagi Hubungan perdagangan yang dijalinkan antara kedua-dua negara tersebut secara tidak langsung menjalinkan hubungan dengan Kepulauan Melayu . Mengikut Laporan China Muslim, Orang Islam di Arab mula datang ke China pada zaman pemerintahan  Maharaja Tai Tsuing semasa Dinasti Pang.  Wahab Abi Kabsyah pula dikatakan merupakan seorang pendakwah Arab pertama yang diutuskan ke negara China oleh Rasullah. Beliau meninggal dunia di Canton lalu disemadikan disana. Seterusnya, Pada zaman pemerintahan khalifah Othman Affan, Saad bin Abi Waqas dihantar ke China dan beliau telah meletakkan batu asas sebuah masjid di Canton yang dikenali sebagai Wai Shin Zi iaitu Masjid kenangan nabi.
Hubungan Arab dan China menjadi erat apabila berlakunya pemberontakan panglima pada tahun 755 di China. Khalifah Abu Jaafar menghantar seramai 10,000 orang tentera Islam yang berpusat di Turkistan untuk membantu kerajaan China. Akhirnya,pemberontakkan tersebut berjaya dipatahkan dan sebagai balasannya, Maharaja Hsuan Tung perlu membenarkan tentera Islam bermastautin dan berkahwin dengan wanita China. Maharaja turut memberikan keistimewaan dan mendirikan tempat ibadat untuk mereka.

2.2.2    Kegiatan perdagangan

Keperluan barang-barangan yang tiada sumber dalam negara sendiri juga menjalinkan hubungan antara pedagang Arab dan Parsi dengan China secara langsung dan secara tidak langsung. Para pedagang Arab membawa barang-barangan seperti bau-bauan, batu-batu berharga dan mutiara ke China di samping membeli tembikar dan mutiara dari China. Selain itu, pedagang Arab sering menggunakan jalan laut, merentasi pantai India dan Asia Tenggara  serta singgah di pusat perdagangan sepanjang perjalanan mereka. Sebenarnya, Parsi tidak menjalankan perdagangan dengan Negara luar namun China amat memerlukan Pokok Resin yang juga disebut sebagai Po-Ssu, Parsi mula menjalankan perdagangan dengan China.

2.2.3    Penemuan Batu Nisan

Batu nisan yang ditemui di Nusantara menjadi bukti kedatangan Islam. Dinasti Sung mencatatkan kedatangan Islam di Nusantara melalui pantai laut China dan dibawa oleh pedagang Islam dari Tiongkok pada 977M. Batu nisan yang dikatakan sebagai Wali Allah berketurunan Arab bertarikh 419H bersamaan tahun 1028M di Pekan, Pahang dan pada batu nisan tersebut, tercatatnya ayat al-Quran. Seterusnya, pada batu bersurat Terengganu yang bertarikh 702H, bersamaan 1303M. pula mencatatkan arahan tentang kewajiban ke atas orang Islam supaya mematuhi hukum Allah S.W.T. Di samping itu, batu bersurat di Champa yang bertarikh 1039, batu bersurat di Brunei yang bertarikh 1048 serta batu bersurat di Laren dan Jawa yang bertarikh 1082 turut ditemui.

2.2.4    Penghijrahan akibat persengketan dan pertelingkahan

Pertelingkahan berlaku di Canton kerana pada mulanya, umat Islam di China sangat ramai sehingga ada dalam kalangan mereka yang sangat berpengaruh dan kaya. Justeru, kedudukan orang Arab-Islam di Canton dianggap mengancam kedudukan dan keselamatan orang Cina. Kesannya, berlaku pemberontakan pertama tahun 878M di Canton pada pemerintahan Hsi Tung. Pemberontakkan ini mengorbankan kira-kira 100 000 orang yang kebanyakkannya terdiri daripada orang beragama Islam, Arab dan Parsi. Orang yang terselamat dari pemberontakan tersebut berhijrah ke Kalah (Kedah) dan Palembang. Manakala, pemberontakan di Yang Chow yang berlaku pada akhir pemerintahan Dinasti Tang tahun 618-905 yang diketuai oleh pasukan pemberontak, Tien Sheng Kong, telah membawa kepada penghijrahan bagi golongan yang terselamat, termasuklah berhijrah ke Nusantara.

2.3       Teori Islam dari India

Terdapat juga para serjana yang mengemukakan idea bahawa Islam dari India dan dibawa ke Nusantara. Namun, idea mereka tidak sepakat dalam memberi kata putus sama ada Islam dibawa dari India Selatan, Benggala, Malabar atau Gujerat[5].

2.3.1    Penemuan batu nisan
Mengenai Gujerat, G.P Moquette membuktikan dengan batu nisan di Pasai yang bertarikh 1428M dan batu nisan Maulana Malik Ibrahim di Grisek yang bertarikh 1419M. Hal ini disimpulkan oleh Moquette kerana batu nisan tersebut seakan sama dengan batu nisan Umar ibn Ahmad Kazaruni di Gujerat. Maka mereka menganggap Islam bermulanya di Gujerat, India.

2.3.2    Pengislaman pemerintah

Huraian Tome Pires dalam catatan Suma Oriental menyatakan, S.Q Fatimi berpendapat agama Islam di Nusantara tersebar dari Benggala. Hal ini kerana Tome Pires mengatakan bahawa Malik al-Salih merupakan raja Islam pertama di Pasai pada asalnya ialah seorang pedagang Benggali dari Benggala[6]. Dalam hal ini, S.Q Fatimi menganggap Parsi merupakan negeri pertama yang memeluk Islam, maka Islam disimpulkan juga berasal dari Benggala.
2.3.4    Pegangan mazhab

            Van Rokel mengemukakan bentuk-bentuk popular seperti ciri-ciri mistik, sastera roman yang terdapat di Indonesia adalah berasal dari India Selatan. Manakala, Thomas Arnold pula menyatakan persamaan mazhab Shafii dengan Indonesia dan beliau percaya Islam bermula di daerah Malabar. Islam tiba di Gujerat pada 1302M dengan kemunculan Kesultanan Delhi dan mereka percaya persamaan mazhab penduduk Benggal dengan penduduk Asia Tenggara iaitu bermazhab Shafie. Mereka menghuraikan lagi bahawa penduduk Gujerat  bermazhab Hanafi. Namun, hujah tersebut lemah dan tidak diterima justeru, bukti bahawa Islam di Nusantara berasal dari India adalah tidak kukuh .

2.4       Teori Islam dari Kemboja atau Champa

Menurut R.A. Kern, Orang Islam di Nusantara berasal dari Indo-China dan orang Melayu telah mengadakan hubungan dengan penduduk Kemboja atau Champa dalam kurun ke-7. Hubungan tersebut terjalin berdasarkan penaklukan dan perkahwinan (kerabat diraja).Islam dilaporkan berkembang di daerah Phanrang, Champa sejak 960M iaitu semasa pemerintahan Dinasti Sung. Bukti kedatangan Islam dari Champa diperkuatkan lagi dengan 3 buah inskripsi iaitu batu nisan bertulis khat khufi yang bertarikh 1039 masihi, monument yang bertarikh 1025 masihi dan 1039 masihi yang mencatatkan syarat yang berkaitan dengan  hukum  Islam.

3.0     Pengaruh Islam Tehadap Tamadun Melayu

3.1       Politik
3.1.1    Pemerintahan dan pentadbiran

Islam yang sampai ke Alam Melayu telah membuka satu lembaran sejarah baharu iaitu zaman bertamadun dan berkemajuan[7]. Gelaran raja dan konsep dewaraja ditukar kepada sultan yang sama tarafnya dengan khalifah . Sultan berperanan sebagai ketua Islam dan ketua negara. Walaupun Sultan tidak dianggap sebagai Tuhan, seperti mana yang diamalkan semasa pengaruh Hindu, namun sultan mempunyai daulat dan status yang lebih tinggi berbanding orang kebanyakan Rakyat perlu mentaati dan mematuhi arahan Sultan.

3.1.2    Undang-undang
Sistem feudalism yang meletakkan raja sama tarafnya dengan Tuhan telah digantikan dengan konsep kesultanan dalam Islam. Undang-undang yang tidak bertentangan dengan Islam akan dikekalkan. Sistem perundangan masyarakat berubah kepada hukum kanun Melaka dan undang-undang laut Melaka. Undang-undang diselaraskan dan Perlembagaan Malaysia menjadikan urusan Islam sebagai urusan negeri.

3.1.3    Peranan rakyat dalam sistem beraja
Rakyat berkuasa menentukan sistem pemerintahan melalui sistem demokrasi. Hal ini bermaksud rakyat diberi hak untuk bersuara dan memberi pendapat. Rakyat turut diberi hak untuk mengundi pemimpin dan lantikan pemimpin tersebut bergantung kepada majoriti suara rakyat. Sistem demokratik diamalkan dan konsep kuasa mutlak disingkirkan.

3.1.4    Agama Islam menjadi agama rasmi
Selepas kedatangan Islam, agama Islam menjadi agama rasmi dan undang-undang Islam dijadikan undang-undang negara.  Agama Islam telah menjalinkan perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat dan menimbulkan rasa tanggungjawab untuk mempertahankan kepentingan Islam. Pelembagaan Malaysia Fasal 1 Perkara 37 turut memaktubkan agama Islam sebagai agama rasmi. Kefahaman tauhid yang menjadi asas akidah Islam berjaya menjiwai orang Melayu sehingga sukar untuk mengugat keislaman mereka. Malahan sampai kini, hubungan antara Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan.[8]

3.2       Sosial
3.2.1    Kemunculan institusi kemasyarakatan

Institusi seperti masjid, surau dan madrasah dibina untuk kegunaan hal-hal masyarakat. Contohnya,masjid didirikan dan dijadikan tempat beribadat, menimba ilmu, dewan tempat mesyuarat dan kelab untuk membincangkan pelbagai masalah. Pendek kata, masjid dibina untuk membincangkan perkara agama, dan hal-hal kemasyarakatan.

3.2.2    Konsep sastera, seni dan bahasa
Penggunaan tulisan jawi oleh orang Melayu dalam hal-hal persuratan. Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa lingua franca bagi 84 bahasa masyarakat Melaka dan bahasa tersebut mempunyai peradaban yang tinggi. Islam memperkayakan lagi bahasa Melayu dengan perbendaharaan kata Arab dengan mempraktikkan kegunaan bahasa jawi sebagai bahasa ilmu.

3.2.3    Konsep pendidikan dan intelektual
Selepas kedatangan Islam, sistem kasta dan sistem perhambaan pengaruh agama Hindu dihapuskan. Pendidikan diterima secara  yang sama rata antara golongan atasan dan bawahan. Pemerintah mula mengembangkan ilmu pengetahuan dan menjadikan istana sebagai perpustakaan iaitu pusat terjemahan dan pusat penyalinan semula. Islam  menitikberatkan kewarasan akal dan idealism dan meyingkirkan pemikiran yang berasaskan mitos serta pengaruh animisme. Ujarnya, segala-galanya berpunca daripada  tamadun yang dibawa oleh Islam berasaskan kepada rasionalisme dan kebebasan cara berfikir berbanding dengan zaman sebelumnya yang tidak berasaskan kepada rasionalisme dan akal fikiran masyarakat dibelenggu oleh kepercayaan yang salah.[9]

3.2.4    Meninggalkan pengaruh Hinduisme dan animisme
Kesan paling ketara dengan kedatangan Islam ke dalam masyarakat Melayu  ialah bertukar agama daripada beragama Hindu atau Buddha atau kepercayaan animisma kepada berakidah Islam yang mentauhidkan dan menyembah Allah s.w.t. [10]Selepas Islam diperkenalkan, penyembahan roh digantikan dengan tauhid yang membuahkan kehidupan beribadah. Tauhid merupakan pembentukan suatu identity untuk sebuah tamadun. Tauhid turut menghiasi akhlak yang bernilai tasawwuf dalam politik, keilmuan, kesusteraan dan persuratan.

3.3       Ekonomi
3.3.1    Pengurusan kewangan

Kegiatan ekonomi masyarakat Tanah Melayu  mula berkembang selepas kedatangan Islam. Maka,sistem kewangan yang digunakan untuk menguruskan hal-hal kewangan telah dibina. Baitulmal telah menjadi pusat kewangan orang Islam dan semua hasil seperti jizyah, zakat dan cukai disimpankan di badan tersebut.

3.3.2    Mencorak pemikiran masyarakat Alam Melayu
Islam membawa unsur-unsur yang rasional, intelektual dan logik akal Pemikiran masyarakat selepas kedatangan Islam berubah untuk mempercayai Tuhan yang Maha Esa. Masyarakat akan menanamkan nilai moral dalam minda sebelum menjalankan perniagaan. Kedatangan Islam memupuk masyarakat menjalankan perrniagaan dengan amanah dan jujur. Masyarakat hanya menceburi perniagaan atau kegiatan yang dibenarkan oleh Islam.

3.3.3    Memberi fikiran positif

Islam menyeru umatnya supaya berusaha mencari rezeki dengan cara yang halal dan bukannya dengan cara meriba atau pun merompak. Apabila mengalami kegagalan, Islam menyuruh umatnya agar sabar, tabah dan menghargai nyawa serta redha dengan ketentuan yang Maha Esa. Pemikiran positif dalam Islam telah membimbing masyarakat ke arah kehidupan yang lebih dedikasi dan bertanggungjawab bukan sahaja dalam kehidupan sosial seharian malah, Islam turut membimbing masyarakat dalam sudut pengurusan ekonomi.

4.0       KOLONIALISME DAN SEKULARISME DI ALAM MELAYU

            Seperti yang tercatat dalam sejarah, tanah Melayu telah dijajah oleh kuasa Portugis. Peristiwa ini bertanda mulanya campur tangan kuasa Eropah di sekitar rantau Asia. Pertembungan cara pemikiran antara kuasa Eropah dan orang Melayu berlaku dalam 130 tahun di mana ia sangat bercanggah antara satu sama lain. Sewaktu percanggahan budaya ini berlaku, maka berlaku perluasan kolonialisme dan sekularisme di tanah Melayu[11].

            Kolonialisme didefinisikan sebagai pengembangan kekuasaan negara ke atas wilayah atau manusia di luar batas negaranya untuk mendominasi ekonomi dari sumber daya, tenaga kerja dan pasaran wilayah tersebut. Perkataan ‘Kolo’ yang berasal dari perkataan ‘collins’ membawa maksud kepintaran dalam memperluas kekuasaan ke atas masyarakat yang lebih lemah justeru memperlihatkan konsep tentang penguasaan politik secara keseluruhan dengan konsep penjajah terhadap tanah jajahanya.Terdapat kaitan antara imperialism dan kolonialisme di mana jika dikaitkan, ia merupakan kecenderungan penjajah bagi menguasai pihak lain. Antara pengaruh terbesar yang mengamalkan konsep ini ialah kuasa barat seperti bangsa Inggeris yang sehingga kini menjajah dari segi pemikiran orang Melayu. Kolonialisme juga menunjukkan tahap keyakinan yang digunakan untuk melegitimasikan sistem ini, terutamanya pada kepercayaan bahawa moral pengkoloni lebih hebat daripada yang dikoloni.

            Terdapat juga pendapat tokoh yang mendefinisikan kolonialisme melalui perspektif mereka sendiri. Andre Gunder Frank mengatakan bahawa ia menuju kepada pemindahan kekayaan dari daerah yang dikoloni ke daerah pengkoloni. Selain itu, Franz Fanon, pengkritik post-kolonialisme berkata bahawa kolonialisme merosakan politik, psikologi, dan moral negara yang dikoloni. Manakala seorang penulis politikal, Arundhati Roy pula berkata pro dan kontra dari kolonialisme adalah seperti “pro dan kontra pemerkosaan”. Antara negara yang dijajah oleh kuasa barat ialah Malaysia, India, Burma, yang dijajah British, Indonesia yang dijajah Belanda, Filipina yang dijajah Sepanyol dan Indochina yang dijajah Perancis.

            Seterusnya, definisi sekularisme yang telah mendahului fahaman demokrasi dan kewujudan seiring dengan kapitalisme membawa maksud suatu sistem, prinsip-prinsip yang menolak semua bentuk keimanan dan ibadah keagamaan. Sekular yang membawa maksud dunia menyatakan bahawa ia merupakan semangat keduniaan dan aliran keduniaan di mana ia seperti suatu sistem daripada prinsip dan praktik yang menolak unsure keagamaan secara keras. Teras kepada sekularisme ialah politik berasaskan perkauman atau pun kebangsaan di mana golongan agama terpisah dengan golongan materialistik yang kini sedang merebak ke dalam masyarakat dan menjadi sebahagian dari gaya hidup mereka yang merupakan pemujian kepada modesinma, materialism dan pemujaan hawa nafsu.

Sekularisme berasal dari negara barat di mana ia bermula pada kurun ke-17 masihi dengan pelbagai tafiran. Kurun ke-17 dan 18 bererti pemisahan antara agama dan pemerintah, kurun ke-19 bererti menjauhi agama dari pemerintah, dan pada kurun ke-20 pula pemerintahan bersikap positif terhadap agama. Sekularisme mula tersebar pada kurun ke-19 di serata timur. Bermulanya sekularisme ekoran daripada kesan zaman gelap di Eropah di mana golongan gereja dan paderi mencengkam masyarakat. Penyelewengan agama berlaku di mana ajaran Nabi Isa disalah tafsir. Nabi Isa dianggap sebagai Tuhan (Jesus) dan aqidah salib di mana iktikad Isa disalib untuk tebus dosa. Selain itu, pada 1215 masihi, Kesatuan Gereja Rom memberi hak kepada paderi untuk mengampunkan dosa manusia setelah membayar harga satu tiket kupon. Masyarakat hidup sebagaimana paderi menjalankan hidupnya di mana mereka tidak berkawin, mengasing diri daripada rakyat dan menyumbang pada gereja. Pada tahun 1869  masihi, paderi dianggap mutlak dan rakyat hendaklah memberi ketaatan mutlak. Dari segi ekonomi pula, dikuasai oleh golongan bangsawan manakala mahkamah dan penjara dikuasaai oleh gereja di mana mereka bersekongkol menzalimi rakyat. Oleh sebab kezaliman yang berlaku, satu revolusi Perancis telah lahir dengan berkonsepkan sekularisme. Antara tokoh sekularisme termasuklah Hobbes, John Locke dan Rousseau.

            Setelah sekularisme merebak di timur, alam Melayu juga turut terkesan dimana umat Islam di alam Melayu lebih terikat dengan fahaman barat berbanding konsep Al-din iaitu keagamaan. Sekularisme mula merebak di alam Melayu apabila perjanjian Inggeris-Belanda 1824 dan perjanjian Pangkor 1874 termeterai. Perjanjian Pangkor 1874 berlaku antara Sultan Abdullah (Sultan Perak) dan Sir Andrew Clarke di mana syarat penting ialah residen Inggeris menasihati Sultan dalam semua hal pentadbiran negeri kecuali hal keagamaan dan adat istiadat Melayu. Selainitu, urusan pentadbiran dan perlaksanaan undang-undang terserah kepada inggeris yang pastinya mengikut sistem dan acuan mereka sendiri yang tidak pernah memikirkan hal agama. Semenjak itu, para sultan kehilangan hak politik dan tidak mampu mencegah fahaman sekularisme oleh orang Inggeris dan akhirnya berlakulah pemisahan agama dan politik di tanah Melayu.

            Antara kesan-kesan yang ditinggalkan kolonialisme dan sekularisme dalam hal politik ialah ‘Kemajuan barat’ dianggap sebagai kayu pengukur. Barat menjadi contoh dalam memajukan negara. Sehingga ada yang berpendapat agama patut dipisahkan dari pentadbiran seperti masyarakat barat. Raja dijadikan ‘boneka’. Kuasa raja dikurangkan dan diambil alih oleh barat. Undang-undang tradisional terpaksa tunduk dengan sistem pentadbiran barat. Seterusnya, dari segi nilai keagamaan pula, barat tidak mampu menyekat agama Islam meskipun telah berjaya menakhluk tanah Melayu dan mereka juga kalah sewaktu Perang Badar bersama umat Islam. Agama dianggap timbul pada zaman peradaban yang rendah bagi mereka maka barat menggunakan cara halus untuk meracuni pemikiran umat Islam dengan menyatakan bahawa Islam harus mengalami perubahan secara progresif mengikut peredaran zaman dan mereka telah berjaya menguasai minda umat Islam sehingga penggiat sekularisme menular dalam masyarakat itu sendiri.

            Selain itu, dari segi pendidikan pula, barat banyak menukar sistem persekolahan. Sebelum masyarakat barat menjajah tanah Melayu, Melayu hanya didedahkan pendidikan tidak formal. Selepas ketamadunan Islam tersebar, sekolah pondok mula berleluasa. Kaedah hafalan digunakan dalam pembelajaran. Selepas dijajah, mubaligh Kristian membuka sekolah Kristian. Ia lebih maju dari segi kemudahan. Kesan positif meningkatkan kadar celik huruf akan tetapi pendidikan tidak bersifat agama diutamakan malah lulusan agama tidak diterima untuk mendapatkan jawatan. Perkara ini menyebabkan lahirnya segolongan pemimpin di kalangan Melayu Islam sendiri yang telah disekularkan dengan sistem pendidikan. Golongan ini kemudiannya menjadi pentadbir, perancang negara dan pemimpin yang menjadi agen kepada kesinambungan dasar penjajah itu sendiri.

            Dalam sosial dan falsafah hidup pula barat telah memperkenalkan perkahwinan campur antara kaum berlainan agama menyebabkan hilangnya jatidiri agama. Selain itu masyarakat Melayu terjebak dengan budaya yang melibatkan nilai pemikiran materialism barat. Segala bentuk pemikiran, idea dan perlakuan social barat menjadi ikutan tanpa had. Dari segi ikatan, seks dibenarkan untuk pasangan yang tidak sah dan anak yang dilahirkan diiktiraf oleh kerajaan. Dari segi individual pula, Islam dianggap sebagai agama yang bersifat peribadi. Akhir sekali, ekonomi juga turut terkesan di mana sebelum dan selepas merdeka, masyarakat Melayu tetap mundur dalam ekonomi. Masyarakat barat mengeiksploitasi ekonomi tempatan dan mengemukakan pembangunan yang dikatakan dapat membantu ekonomi Melayu. Hal ini menjadikan kaum melayu terkongkong dan beku dari segi pemikiran. Falsafah kebendaan mempengaruhi Melayu dari segi pemikiran dan cara hidup dan pengunaan sistem kapitalis serta perbankan konvensional membebani rakyat dengan kadar faedah yang dikenakan sehingga menyebabkan penghutang terpaksa menggadai tanah. Justeru, manusia diajak berlumba-lumba untuk mengumpul harta dan kekayaan di mana akhirnya tindas menindas dan tipu menipu turut berlangsung dan menjadi amalan masyarakat dan masalah negara dilihat penyelesaiannya dari sudut ekonomi, dan bukannya dengan cara yang  dikehendaki oleh Islam.

            Kesimpulanya, sekularisme yang berlaku di alam Melayu telah menyebabkan banyak perubahan yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Kita, negara Malaysia mendapatkan kemerdekaan selepas dibelengu dengan pengaruh barat yang dipanggil sekularisme. Namun, kita mampu membanteras pengaruh ini dengan berpegang kuat pada kitab Al-Quran dan juga agama Islam yang kita pegang.






Rujukan
Abdullah Ishak. 1992. Islam di Nusantara. Kuala Lumpur : Maskha Sdn. Bhd. 
Abd. Rahman Abdullah. 1981. Sejarah dan Pemikiran Islam. Kuala Lumpur: Pena Sdn. Bhd.
Dasuki Haji Ahmad . 1986.  Ikhtisar Perkembangan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Kenneth R. Hall 1985. Maritime Trade and State Development in Early Southeast Asia, Honolulu: University Hawai Press.
Shellaber, W.G. 1977. Sejarah Melayu. Kuala Lumpur : Penerbit Fajar Bakti.
Sivachandralingam Sundara Raja & Ayadurai Letchumanan. 2005. Tamadun Dunia. Selangor Darul Ehsan : Penerbit Fajar Bakti.




[1] Zulkiflee Haron, Ramli Awang, Mohd Nasir Ripin, Siti Norlina Muhamad, Farahwahida Mohd Yusof. 2011. Tamadun Islam& Tamadun Asia. UTM Press. ms.99.
[2] Dasuki Haji Ahmad (1986), Ikhtisar Perkembangan Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, hlm. 515.

[3] Abdullah Ishak, 1992, Islam di Nusantara. Kuala Lumpur : Maskha Sdn. Bhd.  Hlm. 56.
[4] D.G.E Hall, 1964, A History of South East Asia. Macmillan: London. Hlm 19
[5] Abd. Rahman Abdullah, 1981, Sejarah dan Pemikiran Islam, Pena Sdn. Bhd. Hlm. 239.
[6] S.Q. Fatimi, 1963, Islam Comes to Malaysia. Hlm. 25.
[7] Muhammad Zaki Badawi (1962), Latarbelakang Kebudayaan Penduduk-penduduk di Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 37.
[8] Wan Abdullah bin Hj. Wan Mahmood (1997), Tamadun Islam Dan Tamadun Alam Melayu Serta Sumbangannya kepada Dunia, Shah Alam: Pusat Pendidikan Islam ITM, hlm. 223.

[9] Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972), Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 3-4.
[10] Dasuki Haji Ahmad  (1986), Ikhtisar Perkembangan Islam,  hlm. 540.

[11] Kenneth R. Hall 1985. Maritime Trade and State Development in Early Southeast Asia, Honolulu. University Hawai Press.

Adverbs of Time Exercise

 Adverbs of Time Circle the correct answers. 1.      Giraffes sometimes / usually / never eat meat. They are vegetarians. 2.     My little s...