Monday, 3 July 2017

Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2

Pengenalan

Lebuhraya Pantai Timur fasa 2 merupakan kesinambungan daripada projek Lebuhraya Pantai Timur fasa 1 yang menghubungkan dari Karak ke Kuantan yang telah dibuka pada Mac 2006. Lebuhraya Pantai Timur fasa 1 dibina sepanjang 159 kilometer manakala Lebuhraya Pantai Timur dibina sepanjang 184 kilometer, yang menghubungkan antara Jabor dan Gemuroh. Lebuhraya Pantai Timur fasa 2 ini, LPT 2, merupakan projek Pembangunan Mega Rancangan Malaysia Ke-10 untuk negeri Terengganu (Portal Rasmi).

            Pembinaan LPT 2 telah bermula pada tahun 2006 dan siap dibina sepenuhnya pada tahun 2015. Projek ini dibahagikan kepada 16 pakej, 15 pakej dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya dan satu pakej selebihnya diuruskan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia. Semasa perancangan pembinaan projek mega ini, kos pembinaan yang dijangkakan adalah sebanyak RM 3.7 billion. Namun, selepas pembinaan dijalankan sepenuhnya, perbelanjaan yang telah digunakan adalah sebanyak RM 4.5 billion, peningkatan kos yang sangat ketara.

            Semasa proses pembinaan lebuhraya ini, disebabkan kontroversi yang telah berlaku atas sebab masa yang diambil untuk pembinaan terlalu lama, kerajaan telah membuka laluan LPT 2 sepanjang 70 kilometer kepada awam pada Ogos 2011, selepas 5 tahun kerja pembinaan dijalankan. Pada April 2014 pula, kerajaan membuka sepanjang 35 kilometer lagi kepada awam iaitu dari Bukit Besi ke Paka. Justeru, sepanjang 105 kilometer jalan telah dibuka kepada awam selama 8 tahun pembinaan. Di sepanjang lebuh raya ini, sebanyak 3 buah pusat Rehat dan Rawat (Rest and Recreation) dibuka iaitu di Ajil, Paka dan Perasing.

Selain itu, sebanyak sepuluh tol dibuka di Cheneh, Cukai, Kijal, Kerteh, Paka, Dungun, Bukit Besi, Ajil, Telemung dan Kuala Terengganu. Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata bayaran tol di LPT 2 akan dikenakan kepada pengguna setelah diberi laluan percubaan percuma sejak 2 tahun lalu. Justeru, mulai 15 Julai 2016, caj bayaran tol dikenakan kepada pengguna LPT2.


Latar Belakang Projek        

Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 telah menimbulkan kontroversi dan ketidakpuasan hati rakyat kerana masa yang diambil untuk proses pembinaan ialah selama 9 tahun, masa yang sangat panjang. Namun begitu, masa perjalanan sememangnya dipendekkan. Sebagai contoh, Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman negeri Terengganu berkata, perjalanan dari Gemuroh ke Jabor hanya memerlukan kira-kira satu jam 30 minit. Menurut Utusan Online pada 26 Februari 2015, beliau juga berkata pembukaan lebuhraya ini dapat memacukan ekonomi negeri Terengganu dan menyatakan sasaran untuk mencapai pendapat berkapita RM 8 000 menjelang tahun 2020.

Projek ini akan membentangkan tentang kesan pembangunan LPT 2 dari pelbagai aspek. Sebagai contoh, kesan-kesan positif dan negatif telah dikaji dari aspek ekonomi, alam sekitar dan sosial. Projek ini lebih tertumpukan kepada kesan baik dan buruk akibat pembinaan LPT 2 kepada negeri Terengganu dan penduduk Terengganu serta pengguna yang menggunakan LPT 2 ini. Walaupun pembinaan LPT 2 dinilai sebagai pemacu ekonomi negeri, namun dari segi alam sekitar, pelbagai kesan negatif yang telah berlaku desebabkan kerja pembinaan projek mega yang telah dijalankan. Kesan yang timbul akibat daripada pembinaan projek mega ini telah memberi kesan yang sangat besar kepada semua pihak.











Manfaat pembangunan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) kepada penduduk Terengganu.

Pembangunan infrastruktur seperti lebuhraya sememangnya mendatangkan manfaat kepada orang ramai, Seperti yang kita semua sudah sedia maklum, pembangunan lebuhraya banyak membantu kita dari segi penjimatan masa, kekurangan kesesakan lalu lintas dan juga bermacam- macam lagi. Terdapat banyak manfaat daripada pembangunan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) terhadap penduduk Terengganu.

Antara manfaat daripada pembangunan LPT 2 kepada penduduk Terengganu ialah meningkatkan industri pelancongan domestik. Hal ini demikian kerana LPT 2 memberikan jalan alternatif untuk ke pusat- pusat pelancongan yang terdapat di Terengganu. Jika pada waktu dulu, orang ramai perlu menggunakan jalan dalam yang agak merbahaya jika ingin ke pantai timur, namun begitu dengan adanya kewujudan LPT 2, orang ramai mempunyai jalan alternatif yang lain untuk sampai ke destinasi yang dituju. Kawasan pelancongan yang terdapat di Terengganu seperti taman rekreasi, air terjun, rumah chalet, pantai serta pulau peranginan seperti Pulau Kapas, Redang dan Perhentian secara tidak langsung berpeluang untuk berkembang dengan lebih maju. Kini, jalan yang berliku- liku untuk ke pantai timur bukan lagi satu aral yang menghalang keinginan untuk bercuti di Terengganu. Peningkatan industri pelancongan domestik semestinya membantu meningkatkan taraf ekonomi negara.

Seterusnya, pembangunan LPT 2 membantu memendekkan tempoh perjalanan. Hal ini amat bermanfaat terutama bagi mereka yang selalu bekerja di luar kota, namun masih menetap di Terengganu. Sebagai contoh, perjalanan dari Jabor ke Kuala Terengganu hanya mengambil masa dua jam. Manakala dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu pula mengambil masa hanya 4-5 jam. Hal ini amat berbeza berbanding kebiasaannya yang mengambil masa 7-8 jam dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu. Jika dahulu, orang terpaksa berkira- kira untuk pulang ke kampung kerana memikirkan masalah tempoh perjalanan, namun kini, tempoh perjalanan untuk sampai ke destinasi bukan lagi satu masalah yang perlu dititikberatkan. Hal ini juga dapat menjimatkan masa pengangkutan untuk pemasaran dan logistik seperti barang-barang makanan atau perikanan ke bandar-bandar utama (seperti dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur). Masa perjalanan juga dapat dijimatkan kerana kurang halangan seperti tiada lampu isyarat, pusingan U, atau kenderaan berhenti untuk menurunkan penumpang. Selain itu, pengguna lebuh raya dapat mengekalkan kelajuan yang konsisten, justeru masa penghantaran lebih konsisten dan mengikut jadual.

Selain itu, pembangunan ekonomi Terengganu juga semakin meningkat hasil daripada pembangunan LPT 2 ini. Menurut kata dari seorang Menteri Besar, “Kita akan memastikan perlaksanaan LPT 2 dapat memacu usaha meningkatkan ekonomi serta agar sasaran negeri mencapai pendapatan berkapita RM 8 000 menjelang 2020.” Pembangunan LPT 2 secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada kontraktor tempatan dan kakitangan penyelenggaraan. Selain itu, masyarakat sekitar lebuh raya juga mendapat peluang berkhidmat sebagai kakitangan di LPT 2 seperti pembantu khidmat pelanggan, jurutol, penyelia plaza tol, operator pusat kawalan trafik serta kakitangan pengurusan. Ini sekali gus meningkatkan peluang anak-anak tempatan meningkatkan taraf sosioekonomi mereka. Peluang pekerjaan sebegini sedikit sebanyak dapat membantu orang yang memerlukan pendapatan seterusnya mengurangkan kadar pengangguran dalam masyarakat.

            Pembangunan Lebuhraya Pantai Timur 2 telah mewujudkan kawasan penempatan, perbandaran dan perindustrian yang baharu. Hal ini dapat dilihat di kawasan seperti Ajil, Telemong, Bukit Payung, Kuala Terengganu, Bukit Besi, Dungun, Paka, Kertih, Kijal, Chukai, Cheneh pula dijangkakan akan berpeluang menikmati pertumbuhan pesat kerana kawasan- kawasan tersebut semakin mudah untuk dikunjungi dengan adanya akses eksklusif daripada LPT 2. Secara tidak langsung, pertumbuhan kawasan perindustrian, perniagaan dan penempatan baru di lokasi-lokasi yang terbabit dirangsang, seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk sekitar. Hal ini dapat dilihat daripada kesan lebuhraya utara- selatan. Hasil daripada lebuhraya tersebut dapat membantu dalam pembangunan kawasan seperti Senawang, Bangi, Rawang, Ayer Hitam, Seberang Jaya, Juru, Ayer Keroh, Alor Gajah, Tanjung Malim dan sebagainya.



Kesan Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 kepada Alam Sekitar

1) Semasa Pembinaan

Lebuhraya dibina dinegara kita memberikan banyak manfaat dan faedah kerana menjadi jalan menghubungkan antara kawan bandar ke luar bandar disamping penggunaanya dapat menjimatkan masa. Walaubagaimana pun, hasil daripada pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 meninggalkan banyak kesan terutama paling ketara adalah kepada alam sekitar. Ini dapat dilihat dengan jelas ketika atau semasa pembinaan LPT 2, antaranya penebangan hutan, pembinaan teren di cerun-cerun bukit, pemotongan dan penggondolan bukit yang mencacatkan pemandangan. Untuk membina lebuhraya ini, ia melibatkan kawasan hutan yang luas dan ini menyebabkan hutan ditebang dengan kadar yang meluas di kawasan tersebut yang meliputi sepanjang kawasan Jabur ke Kuala Nerus. 
Akibat penebangan hutan dengan kadar yang luas, menyebabkan banyak kemusnahan hidupan terutama flora dan fauna dikawasan tersebut sehingga mengakibatkan banyak spesies mengalami kepupusan. Penggondolan bukit juga dilakukan untuk tujuan pembinaan lebuhraya. Apabila bukit digondolkan hakisan tanah berlaku, apabila hujan turun boleh menyebabkan berlaku kejadian seperti tamah runtuh. Selain daripada itu, kekurangan tumbuhan penutup bumi menyebabkan kadar air larian meningkat. Air larian ini membawa bersama sedimen yang boleh menyebabkan longkang boleh tersumbat dan cetek dan menyebabkan banjir lumpur boleh berlaku.
Rentetan itu pada tahun 2014, banjir besar melanda negeri Terengganu sehingga mengakibatkan kerosakkan yang banyak dan banyak jalan  terpaksa ditutup dan pembinaan LPT 2 terpaksa dihentikan untuk sementara dan pembukaan lebuhraya berkenaan kepada orang ramai terpaksa ditunda. Ramai pihak menuding jari kepada pembinaan lebuhraya tersebut yang meakibatkan bencana alam tersebut melanda negeri itu. Walaubagaimana pun, kerajaan Negeri Terengganu menolak dakwaan bahawa pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) menjadi punca utama kepada banjir besar yang melanda negeri tersebut tahun lepas. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Rosli Othman, pembinaan lebuhraya tersebut telah mengambil kira beberapa faktor termasuk taburan hujan (Berita Awani,2016).
2) Selepas Pembinaan

Kesan pembinaan tersebut kepada alam sekitar masih juga dapat dilihat dengan insiden-insiden haiwan liar berkeliaran dilebuhraya berkenaan. Pada Feb 2016, seekor harimau belang mati dirempuh sebuah kenderaan di kilometer 321.2, LPT2 berhampiran susur keluar Plaza Tol Kerteh, Kemaman, Terengganu (Sinar Harian,2016). Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintenden Kamaluddin Mohamad menasihatkan supaya pemandu untuk lebih berhati-hati ketika melalui kawasan tersebut kerana,terdapat beberapa kes kemalangan membabitkan binatang buas seperti tapir, beruang berikutan lokasinya yang terletak berhampiran hutan simpan. Ini menunjukkan dengan pembinaan lebuhraya tersebut ia telah mengganggu ekosistem serta kehidupan dikawasan tersebut. Konflik manusia dan hidupan liar ini boleh dielakkan sekiranya pengusaha projek pembangunan dan utiliti mempunyai tahap keprihatinan yang tinggi mengenai kepentingan hidupan liar dan konsep konservasi serta perlindungan hidupan liar.

Pihak bertanggungjawab bagi pembangunan dan pembinaan jalan raya untuk mengelakkan pembinaan lebuh raya atau jalan raya daripada merentasi kawasan berhutan dan membina struktur lintasan hidupan liar ‘animal viaduct’ atau terowong dan lintasan hidupan liar pada jajaran lebuh raya. Oleh itu, Timbalan Menteri Kerjaraya, Datuk Rosnah Abdul Rashid berhasrat untuk menjadikan laluan LPT 2 mesra hidupan liar dengan menambah baik laluan dibawah jambatan dan dan terowong kenderaan di lebuhraya tersebut dengan ciri-ciri mesra hidupan liar (Kosmo,Feb 2016). Namun setahun kemudian, pada Januari 2017, beberapa insiden melibatkan pencerobohan haiwan liar masih berlaku seperti tapir yang masih dilihat merayau-rayau dan melintas lebuh raya berkenaan.

Oleh itu, pembinaan lebuhraya dapat dijalankan dengan sempurna jika mengikuti syarat pembinaan dan menjaga alam sekitar. Ini adalah supaya pembinaan yang dijalankan tidak menganggu keseimbangan alam sekitar. Selain itu satu pertubuhan memantau aktiviti pembinaan lebuhraya perlulah ditubuhkan supaya syarikat pembinaan tersebut menepati ciri keselamatan dan pemulihan dilakukan selepas pembinaan tamat.

Masalah berhubungan dengan Lebuhraya Pantai Timur 2

Walaupun telah banyak sidang media dan akhbar tempatan yang menguar-uarkan bahawa LPT2 telah dibina mengikut piawaian, namun masih banyak masalah yang timbul ekoran pembinaan lebuhraya ini.

Meskipun lebuhraya ini baru sahaja dibina dan dibuka kepada pengguna tidak sampai 2 tahun, namun begitu banyak aduan telah difailkan kepada pihak autoriti yang terlibat mengenai kondisi jalan dan beberapa perkara lain yang sekiranya dibiarkan, dapat meruntuhkan integriti negeri-negeri dan pihak-pihak lain yang terlibat.

Antara permasalahan yang timbul berikutan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 ini adalah:

a)      Jalan sudah mula rosak dan berlubang
Sepanjang lebuhraya berukuran 185 km ini, sudah terdapat banyak lubang yang terbentuk di atas jalan (Utusan online). Lubang-lubang ada yang bersaiz kecil dan ada juga yang bersaiz besar dan ini sebenarnya dapat menjadi salah satu penyumbang kepada jumlah kemalangan yang semakin meningkat di lebuhraya tersebut. Pengguna lebuhraya selalunya membawa kereta dengan kelajuan yang tinggi dan sekiranya pengguna tidak dapat mengawal kenderaan dengan baik selepas melalui kawasan berlubang, pengguna berisiko tinggi untuk mengalami kemalangan.
 Lubang-lubang ini, yang selalunya terdapat di atas jalan selepas jambatan sebenarnya mengurangkan  keyakinan pengguna untuk menggunakan lebuhraya tersebut, lantas mengurangkan jumlah pengguna lebuhraya tersebut.

b)     Tiada satu pun stesen minyak di sepanjang lebuh raya
Sepanjang 185 km lebuhraya dibina, hanya dua stesen minyak sahaja yang beroperasi; satu stesen minyak di Ajil dan satu stesen minyak sementara di Kijal. Jarak antara keduanya adalah sangat jauh dan pengguna yang mempunyai masalah dengan kenderaan mereka seperti kereta kehabisan minyak atau kerosakan-kerosakan lain mungkin akan menghadapi kesukaran mendapatkan bantuan. Pengguna juga menghadapi risiko kecurian atau kejadian samun ketika kenderaan mereka rosak di tengah perjalanan.
Walaupun terdapat stesen minyak sementara yang beroperasi di Kijal, namun stesen minyak tersebut terlalu kecil dan tidak mampu menampung jumlah kereta harian sekiranya pengguna lebuhraya tersebut mencapai sasaran pengguna harian.
Pihak pembangun lebuhraya perlu sekurang-kurangnya membina beberapa buah lagi stesen minak di sepanjang lebuhraya tersebut untuk memastikan pengguna selesa dan selamat di sepanjang perjalanan.

c)      Kemudahan hentian tidak beroperasi sepenuhnya
Sejak 2015 sehingga sekarang, hanya ada 2 R&R dan 2 hentian sebelah sahaja yang beroperasi, itu pun keempat-empat fasiliti ini masih tidak berfungsi secara sepenuhnya. Rehat & Rawat di Perasing dan Ajil sememangnya besar, namun tak semua kedai di dalamnya beroperasi dan ini menampakkan tempat tersebut sebagai suram dan agak seram untuk dikunjungi pengunjung (Mohd Rizal Hashim). Pernah juga ada penjual makanan yang mengatakan bahawa sewa kedai di kawasan Rehat & Rawat tersebut terlalu tinggi dan penjual tersebut tidak mampu untuk membayarnya setiap bulan kerana kekurangan pengunjung.
Apa yang pihak berwajib boleh lakukan untuk menarik pengguna untuk menggunakan lebuhraya ini adalah menurunkan sewa kedai dan juga kadar tol. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa sememangnya lebuhraya ini dapat memendekkan jarak perjalanan dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain, namun begitu jika pengguna perlu keluar dari lebuhraya untuk makan atau untuk tujuan yang lain-lain, tiada guna bangunan yang dikhaskan sebagai pusat Rehat & Rawat didirikan.

d)     Terlalu banyak kontroversi
Dari sebelum pembukaannya lagi, pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 telah banyak mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat tempatan. Antara kontroversi yang tercetus adalah LPT2 sebagai penyebab banjir besar yang berlaku di Terengganu dan Kelantan pada tahun 2014. Walaupun Terengganu dan Kelantan mengalami banjir dengan agak kerap khususnya ketika musim tengkujuh, tetapi air bah yang membanjiri dua negeri tersebut sebelumnya tidaklah sekeruh air bah ketika banjir besar pada tahun 2014. Banjir di Terengganu dan Kelantan pada tahun 2014 merupakan banjir terburuk yang pernah berlaku pada kedua negeri tersebut.
Kontroversi lain yang turut tercetus adalah berkaitan dengan hak kutipan tol di LPT2. Kerajaan Terengganu yang terlbat dengan pembinaan LPT2 pada peringkat awal telah menolak pelaksanaan tol di lebuhraya tersebut, memandangkan wang yang diperuntukkan untuk pembinaan lebuhraya tersebut adalah wang rakyat. Namun, pada peringkat pembinaan yang seterusnya, Lembaga Lebuh Raya Malaysia telah mengambil alih konsesi pembinaan, yang secara tidak langsung memangkinkan pelaksanaan tol di lebuhraya itu. Kerajaan Terengganu pula mengambil tindakan menuntut kembali wang yang telah ditaburkan dalam pembinaan lebuhraya tersebut sebanyak RM3 billion daripada Lembaga Lebuh Raya Malaysia. Tindakan kedua-dua belah pihak dalam tidak sedar, telah menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat, khususnya dari sudut politik.



Penutup
            Sebagai konklusinya, pembinaan LPT 2 membawa kesan baik dan buruk pada masa yang sama. Pembinaan LPT 2 ini telah mewujudkan kawasan perindustrian yang baru dan meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk sekitar. Namun, kesan positif selepas pembinaan lebuhraya ini seakan-akan tidak mencapai seratus peratus daripada apa yang telah dijanjikan. Hal ini kerana jalannya sudah mula mengalami masalah dan bilangan stesen minyak di sepanjang lebuhraya ini juga menimbulkan ketidakpuasan hati pengguna. Justeru, LPT 2 boleh dikatakan sebagai projek mega yang telah dijalankan bagi tujuan untuk meningkatkan taraf and keselesaan pengguna tetapi pada masa yang sama, kerja pembaikan yang berterusan perlu dilakukan untuk menjamin objektif pembinaan LPT 2 yang telah ditetapkan semasa perancangan projek.









Rujukan


Mohd Husni Mohd Noh (2016,Julai 14) Korban Kenderaan. Harian Metro. Retrived April 20 from http://www.hmetro.com.my/node/151569

Mohd Rizal Hashim, Ketua Perhubungan Awam Kementerian Kerja Raya. (2015). Maklum balas artikel surat khabar Utusan Malaysia 28 April 2015

Nurul Zaihah (2017, Januari 15) Selepas Pak Belang, Tapir pula Dijumpai di LPT2. Sinar Harian. Retrieved April 20 from

Portal Rasmi Projek Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2. (2013). Latar belakang projek. Retrieved on 17 April 2017 from http://www.lpt2.gov.my/maklumat-projek/latar-belakang-lpt2.html

Salina Yahya (2002). Pembinaan Lebuhraya dan kesannya Terhadap Alam Sekitar.
Environmental Impact Assessment, Universiti Kebangsaaan Malaysia


Utusan Online (2015, April 28). LPT 2 masih banyak perlu diperbaiki. Retrieved on 24 Mei 2017 from http://m.utusan.com.my/rencana/forum/lpt2-masih-banyak-perlu-diperbaiki-1.85325

No comments:

Post a Comment

Adverbs of Time Exercise

 Adverbs of Time Circle the correct answers. 1.      Giraffes sometimes / usually / never eat meat. They are vegetarians. 2.     My little s...