Monday, 29 August 2016


DINAMIKA MALAYSIA
(ISU PERGADUHAN DI PLAZA LOW YAT CETUS KRISIS PERKAUMAN)



1.0.PENDAHULUAN
Mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, khabar angin didefinisikan sebagai simpulan bahasa yang menggambarkan khabar yang belum atau tidak pasti kebenarannya. Allport dan Postman pula mendefinisikan khabar angin sebagai satu informasi yang spesifik untuk kepercayaan, disebarkan dari satu individu ke individu yang lain, kebiasaannya melalui perkataan, tanpa kehadiran sebarang bukti yang sahih untuk menyokong informasi tersebut.Khabar angin juga ditakrifkan sebagai kepercayaan kepada sesuatu rujukan tanpa sebarang pengesahan rasmi (Knapp, 1944).Merujuk kepada Peterson dan Gist dalam jurnal mereka bertajuk ‘Rumors and Public Opinion’, khabar angin merupakan satu penerangan yang tidak sahih disebarkan dalam suatu linkungan masyarakat berkaitan sesuatu objek, isu atau peristiwa yang melibatkan perhatian awam.

Merujuk kepada definisi-definisi di atas, khabar angin dapat disimpulkan sebagai apa-apa berita atau perkhabaran yang menuju ke arah berita palsu yang disebarkan oleh seseorang dan mendapat perhatian daripada masyarakat umum; tidak kira informasi berkaitan seseorang individu atau isu semasa.Allport dan Postman pernah menjalankan satu eksperimen untuk membuktikan bahawa khabar angin boleh menjurus ke arah berita palsu.Hasilnya, semakin tersebar informasi tersebut, semakin jauh tersasar isi maklumat informasi yang disampaikan dari seorang ke seorang.
Ramai dalam kalangan masyarakat kita yang tahu khabar angin ini kebiasaannya menjurus kepada berita palsu dan boleh mendatangkan salah faham.Namun begitu, khabar angin telah menjadi perkara yang lumrah dalam masyarakat kita pada hari ini.Tambahan pula, dengan adanya perkembangan teknologi terutamanya penggunaan sosial media yang meluas, khabar angin kini lebih mudah disebarkan dengan pantas tanpa mempunyai sebarang batasan.Masyarakat akan mudah menyalah tafsir sesuatu khabar angin yang diterima dan mudah mempercayainya lebih-lebih lagi jika khabar angin tersebut disebarkan oleh banyak pihak. Antara khabar angin yang menjadi kegemaran masyarakat adalah khabar angin yang berunsurkan politik, perkauman dan perkara yang memalukan sesuatu pihak.Penyebaran khabar angin seperti ini secara berleluasa telah banyak memberi impak negatif terhadap keharmonian masyarakat majmuk di negara ini lebih-lebih lagi dari aspek sosial.

Negara kita pernah digemparkan dengan satu isu pergaduhan antara kaum pada pertengahan tahun lepas.Isu kes kecurian telefon di Plaza Low Yat telah mencetuskan pergaduhan antara kaum Cina dan Melayu.Disebabkan khabar angin dan penyebaran informasi yang tidak tepat di dalam media sosial, pergaduhan besar-besaran telah berlaku di sekitar perkarangan Plaza Low Yat serta serangan telah dilakukan ke atas premis-premis perniagaan di dalam plaza tersebut.Mengikut berita asal, suspek yang berbangsa Melayu itu telah mencuri telefon pintar jenama Lenovo S860 semasa peniaga terbabit yang berbangsa Cina sedang leka menyiapkan hadiah percuma yang diberi dengan pembelian telefon pintar tersebut.Namun begitu, rakan-rakan suspek telah menyebarkan berita kononnya suspek ditipu oleh peniaga terbabit yang memberikannya telefon pintar klon dan mahu menuntut telefon yang original daripada premis berkenaan.Isu berkenaan telah membangkitkan kemarahan orang Melayu dan mereka bertindak menimbulkan pergaduhan dan kekecohan di tempat kejadian.
Khabar angin tersebut turut menimbulkan salah faham di kalangan rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Melayu kerana mereka mengganggap masyarakat Cina telah menganiaya ramai pengguna Melayu dan melakukan tuduhan mencuri kepada suspek yang berbangsa Melayu tanpa mencari kesahihan khabar angin yang tersebar.Isu kecurian telefon pintar tersebut telah mencetuskan pergaduhan antara kaum.Hal ini jelas dapat dilihat apabila kebencian terhadap kaum Cina disuarakan dalam laman-laman sosial seperti blog, Facebook, Twitter dan lain-lain.

Isu ini jelas mendatangkan kebimbangan kepada pelbagai pihak.Pergaduhan yang berlaku telah membuka mata masyarakat betapa nipisnya jalinan perpaduan antara kaum di negara ini.Laporan ini akan mengetengahkan isu penyebaran khabar angin tentang pergaduhan di Plaza Low Yat bermula dengan kronologi kejadian dan bagaimana akhirnya isu ini menjadi isu perkauman di negara kita serta cadangan dan saranan untuk menyelesaikan isu tersebut.


2.0.RUMUSAN KRONOLOGI INSIDEN PERGADUHAN DI PLAZA LOW YAT KUALA LUMPUR
Isu utama kejadian di Plaza Low Yat telah disahkan berpunca daripada kes jenayah mencuri telefon pintar yang dilakukan oleh Shahrul Anuar bin Abdul Aziz dan diakui sendiri olehnya kepada polis. Hasil siasatan polis, dibuktikan dengan rakaman CCTV telah mengesahkan kejadian jenayah curi tersebut. Isu resit seperti mana yang telah disebarkan secara meluas dalam media sosial tidak wujud langsung dalam siasatan pihak polis. Untuk mengukuhkan lagi fakta ini, perkara ini telah dijelaskan oleh KBSJD Dang Wangi kepada wakil NGO, diketuai Ali Tinju dan telah diterima baik oleh mereka.
Pada insiden serangan pertama pada 11 JUL 2015, MohamadKhairul Azmi bin Mazlan didakwa keranamenghasut rakan-rakannya menyerang kedai terbabit kononnya mereka telah ditipu dalam urusan pembelian telefon bimbit.
Mohamad Khairul Azmi bin Mazlan adalah individu yang ditangkap bersama suspek utama kemudiannya telah dibebaskan. Dia bertanggungjawab memutarbelitkan fakta sebenar punca kejadian tersebut dan telah menghasut rakan-rakanya untuk menyerang dan merosakkan harta benda di kedai berkenaan.Dia juga bertanggungjawab memberi gambaran yang bercanggah punca sebenar kejadian tersebut. Pihak polis sedang berusaha mengesan beliau dan rakan-rakan yang lain untuk tujuan tangkapan dan pendakwaan.
Pihak Ketua Polis Kuala Lumpurtelah mengadakan sidang media bagi menjelaskan insiden yang berlaku agar masyarakat awam jelas mengenai punca kejadian.Ketua Polis Kuala Lumpur masih meneruskan langkah-langkah pencegahan berikutan rusuhan yang berlaku berhadapan dengan perkarangan Plaza Low Yat kerana masyarakat Melayu yang tidak berpuas hati dan menganggap mereka telah dianiayai oleh peniaga-peniaga Cina di plaza terbabit.


3.0.KESAN-KESAN INSIDEN KECURIAN TELEFON PINTAR DAN PERGADUHAN DI PLAZA LOW YAT

3.1.TANGGUNGJAWAB KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN DIPERSOAL
·         Kejadian yang berlaku di Plaza Low Yat menimbulkan isu dan persoalan sama ada pihak  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur menjalankan tugas atau tidak. Walaupun KPDNKK telah menerima pelbagai aduan daripada pelanggan, namun tiada tindakan segera yang diambil. Pelbagai pihak telah menunding jari ke arah pihak KPDNKK kerana tidak mengambil tindakan pencegahan dan pembaikan dari segi sistem jual beli di Plaza Low Yat. Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zakarshi telah membangkitkan pengutaraan tentang cara KPDNKK menjalankan tugas dalam membanteras segala insiden negatif yang berlaku di Plaza Low Yat.

·         [1]KPDNKK mula menjalankan pantauan dan siasatan setelah insiden pada 12 Julai berlaku. Pengarahnya KPDNKK, Muez Abdul Aziz berkata, "KPDNKK juga akan bekerjasama dengan pemilik hak cipta yang juga pengeluar telefon bimbit berkenaan untuk mengenalpasti sama ada telefon bimbit itu asli atau tiruan," katanya kepada sebuah portal. Selain itu, beliau turut mengesahkan kes tersebut akan disiasat di bawah peruntukan Akta Perihal Dagangan 2011 di samping memberi nasihat kepada orang awam dengan menyatakan, “Kita ada peruntukan undang-undang... lapor terus kepada KPDNKK dan kami akan mulakan siasatan berdasarkan laporan yang diterima. Jangan bertindak ikut emosi”. Namun, jika pihak KPDNKK menjalankan pemantauan dan pencegahan masalah dengan lebih awal lagi, risiko insiden yang tidak harap akan terjadi akan lebih lewat.

·         Kes ini melibatkan peniaga Cina dan remaja Melayu. Justeru, isu perkauman telah dibangkitkan apabila kedua-dua pihak berlainan bangsa and agama berlaku pertelingkahan. Masalah sosial akibat pertelingkahan ini bertambah serius apabila jumlah orang yang terlibat dalam insiden tersebut turut meningkat. Kesannya, pertelingkahan yang kecil dan sebenarnya boleh diselesaikan telah berubah menjadi salah faham antara kaum. Bukan itu sahaja, berita dan khabar angin palsu telah disebarkan dan menjadi buah mulut orang ramai sehingga kebenaran insiden tersebut turut diubah suai. [2]Presiden Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, kekecohan yang berlaku di Plaza Low Yat hanyalah salah faham dan tidak perlu digembar gemburkan lagi. Beliau turut menegaskan kepada orang ramai agar menghentikan kebangkitan tentang isu perkauman. Beliau mendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) patut dipersalahkan susulan insiden pergaduhan yang berlaku di Plaza Low Yat kerana tidak menjalankan tugas mereka dengan baik untuk memantau perniaga yang gemar mengambil kesempatan terhadap pengguna.

3.2. MENGGUGAT KEHARMONIAN DAN PERPADUAN MASYARAKAT AKIBAT KEKACAUAN
·         Insiden ini telah meningkatkan risiko untuk terjadinya kembali peristiwa berdarah zaman lampau. Mengenang kembali rusuhan kaum yang telah berlaku pada 13 Mei 1969, insiden tersebut hanya membawa kerugian kepada imej negara dan hubungan harmoni antara pelbagai etnik dalam negara. Bukan itu sahaja, semangat perpaduan yang ingin ditanam dalam diri setiap masyarakat Malaysia untuk memajukan negara turut menjadi suatu misi yang sukar.

·         Di samping itu, ketenteraman sekeliling dan masyarakat turut terancam. Dalam kejadian pada pukul 12.05 tengah malam itu, dua kumpulan berkenaan saling membaling topi keledar dan turut bertindak memukul seorang jurugambar manakala seorang wartawan yang cuba membantu juga menerima nasib sama. [3]Akibatnya, jumlah angka tangkapan berhubung insiden pergaduhan dan rusuhan untuk diberi keterangan and penjelasan lanjut di Plaza Low Yat telah meningkat kepada 19 orang dan siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

·         Kekacauan yang berlaku telah menjejaskan ketenteraman orang awam. Lebih-lebih lagi terdapat pihak yang menbuat provinsi dan bertindak agresif. Keselamatan orang awam juga turut terancam kerana pihak keselamatan dan polis tidak dapat menahan kesemua pihak yang cuba membuat pemulauan dan boikot terhadap Plaza Low Yat.

·         Seterusnya, [4]Tun Dr. Mahathir Mohamad telah memberi pandangan beliau dalam insiden yang telah berlaku di plaza tersebut.  Beliau menegaskan bahawa hal tersebut tidak harus berlaku walau berbeza agama, walau ada perasaan marah, cara penyelesaian bukanlah dengan cara merusuh, negara akan menjadi sebuah negara yang tidak aman dan tidak menarik untuk sesiapa pun. Beliau turut berkata, ‘dalam menghadapi sesuatu masalah, rundingan secara aman dan damai adalah langkah terbaik bagi mengelakkan huru-hara’.

3.3. PENAHANAN ‘ALI TINJU’ DITAHAN DI BAWAH AKTA HASUTAN
·         [5]Isu pergaduhan di Low Yat juga membawa kepada isu penahanan ‘Ali Tinju’ atau nama sebenarnya Moha Ali Baharom kerana didakwa membuat ucapan terbuka berbaur sentimen perkauman di hadapan Plaza Low Yat pada malam terbabit sekaligus mengakibatkan rusuhan dan pergaduhan yang membabitkan masyarakat Melayu dan Cina di kawasan tersebut.

·         Ucapan berbaur perkauman seperti itu tidak harus berlaku memandangkan isu sebenar yang terjadi tidak mempunyai kaitan langsung dengan isu perkauman. Khabar angin yang tersebar secara meluas telah menyebabkan orang ramai percaya dengan sebulatnya isu yang disuarakan. Ali Tinju dalam pada itu telah mengambil kesempatan untuk menyemarakkan lagi api pertelingkahan antara kaum Melayu dan Cina dengan membuat ucapan secara terbuka tersebut kepada kaum Melayu yang berada di situ. Namun begitu, butir-butir ucapan beliau tidak dapat disertakan kerana tiada maklumat lanjut berkenaan isi kandungan sebenar ucapan tersebut.

3.4.PENYEBARAN BERITA PALSU DI MEDIA SOSIAL TELAH MENIMBULKAN PELBAGAI KONTROVERSI

·         Antara kesan negatif yang diperolehi daripada kes pergaduhan di plaza Low Yat ini ialah penyebaran berita palsu di media sosial telah menimbulkan pelbagai kontroversi yang telah membuatkan ramai pihak bertelagah antara satu sama lain. Antaranya ialah kaum melayu telah mengutuk kaum cina dan kaum cina telah mengutuk kamu melayu.

·         Salah satu contohnya, kaum melayu telah menyuruh kaum cina untuk kembali ke tanah air mereka iaitu negara Cina kerana telah membuat onar di negara Malaysia dan menyatakan bahawa negara Malaysia hanyalah untuk orang melayu sahaja. Manakala, kaum cina telah menyatakan bahawa orang melayu telah mengambil kesempatan dengan mencuri barang tetapi telah menukar-nukarkan cerita yang sebenar dan berpura-pura mengaku bahawa mereka tidak bersalah.

·         Faktor ini telah menyebabkan kemarahan daripada kedua-dua belah pihak. Tamabahan lagi, di media sosial jugalah khabar angin yang palsu ini dibesar-besarkan dan sesetengah pihak telah meluahkan perasaan mereka di media sosial seperti Facebook, Twitter, dan blog.

·         [6]Seperti gambar di lampiran yang diambil daripada komen di blog yang mengeluarkan kenyataan tentang pergaduhan di Low Yat, pemuda melayu ini telah mengeluarkan kenyataan yang berunsur perkauman dengan mengatakan bahawa “apahal sangat nak bela cina”. Pernyataan ini tidak seharusnya dikeluarkan oleh pemuda melayu tesebut kerana kita sebagai satu rakyat Malaysia haruslah sentiasa bersatu padu dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

·         [7]Gambar di lampiran ini juga telah diperolehi daripada laman blog yang telah membuat spekulasi berkenaan kejadian pergaduhan di plaza Low Yat. Pernyataan khabar angin di setiap blog tidak boleh dipercayai oleh semua orang kerana tidak semua orang akan merumuskan pernyataan seperti di dalam gambar tersebut. Ini kerana, terdapat beberapa pernyataan atau kesan positif yang telah kami jumpai akibat kes pergaduhan di plaza low yat ini daripada komen-komen di blog seperti di atas mengatakan bahawa rakyat Malaysia tidak seharusnya mengutuk dan mempersendakan antara satu sama lain.

·         Manakala,[8]Xua menyatakan isu pergaduhan seperti ini tidak perlu untuk memperbesar-besarkan dan mampu diselesaikan dengan cara yang lebih baik jika semua rakyat Malaysia tidak cuba untuk saling menyalah-nyalahi antara satu sama lain. Ini kerana, kes pergaduhan di plaza low yat ini tidak akan timbul faktor seperti permusuhan kaum, jika semua rakyat Malaysia mempunyai kesedaran akan semua orang di muka bumi ini sebenarnya mempunyai kelemahan masing-masing dan tidak semua orang di muka bumi ini amat sempurna.


3.5. PENIAGA MENANGGUNG KERUGIAN BESAR
·         Kerugian sebanyak RM70,000 perlu ditanggung rugi oleh pemilik kedai OPPO yang berlaku rusuhan di situ.[9]Sumber telah diperolehi daripada laman web rasmi Astro Awani yang mengatakan bahawa “kes ini disiasat mengikut Seksyen 147 dan 427 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Kerugian dianggarkan lebih RM70,000.”
·         Kerugian tersebut termasuk dengan barang-barang yang telah dipecahkan seperti cermin kedai, alat-alat telefon di kedai OPPO tersebut. Perkara ini telah menyebabkan banyak pihak yang rugi besar.
·         Bukan hanya sekadar kedai OPPO tersebut yang hanya mengalami kerugian bahkan kedai-kedai telefon bimbit yang berada di sekitarnya juga terkena tempias kerana rusuhan yang berlaku di plaza Low Yat tersebut.
·         Semasa hari kejadian, banyak peniaga yang telah menutup kedai mereka dengan lebih awal kerana risau akan keselamatan diri mereka. Tidak lupa juga kepada pelanggan yang tidak ingin pergi ke plaza Low Yat sehingga menyebabkan peniaga-peniaga di situ perlu menanggung kerugian sebanyak 50 peratus sehari untuk dibandingkan dengan hari sebelum kejadian.
·         Perkara ini serba sedikit telah mengacau periuk nasi peniaga-peniaga di plaza Low Yat ini kerana tapak kedai yang disewa itu agak mahal[10]. Apabila ramai pelanggan yang takut untuk pergi ke plaza low yat, sudah semestinya perniagaan mereka tidak akan berjalan dengan lancar dan mereka akan susah untuk mendapat keuntungan.


4.0.RUMUSAN
Secara rumusnya, isu pergaduhan di Plaza Low Yat yang tidak berasaskan moral ini terjadi kerana penyebaran berita tidak sahih dan berasas oleh rakan-rakan suspek, Mohammad Khairul Azmi.Mereka telah menyebarkan khabar angin yang yang berunsur hasutan, hinaan dan cacian dengan niat untuk membela nasib suspek meskipun usaha mereka umpama menegakkan benang yang basah.Penyebaran helah suspek turut disemarakkan lagi dengan adanya bantuan media sosial seperti Facebook dan Twitter.Ketika berlakunya peristiwa tersebut, ramai pengguna media sosial terutamanya golongan remaja yang telah mengemukakan pendapat yang berbaur hasutan perkauman meskipun tidak mengetahui punca sebenar pergaduhan.

Berikutan dengan itu, insiden ini telah menaikkan kemarahan masyarakat Malaysia terutamanya kaum Melayu dan Cina yang termakan dengan helah suspek bahawa kes ini melibatkan isu perkauman antara kaum Melayu dan Cina.Insiden ini ibarat penayangan semula kes 13 Mei 1969.Ia juga turut menggoncang keharmonian dan kepercayaan antara kedua-dua kaum ini sehingga melibatkan pertumpahan darah di hadapan Plaza Low Yat.Maka, jelaslah terdapat masalah sosial dalam masyarakat Malaysia yang perlu dipupuk dan dibentuk supaya tidak berulang kembali dan mencatat sejarah buruk bagi rakyat Malaysia.

Natijahnya, penyebaran hal-hal yang tidak bertauliah ataupun berasas secara berleluasa mampu menyebabkan pertelingkahan antara masyarakat, menaikkan isu perkauman dan menggugat keharmonian negara.Masyarakat pula perlu bijak untuk tidak mempercayai bulat-bulat dengan penyebaran berita-berita tersebut. Tambahan pula, dengan adanya media sosial, kes-kes kecil yang mampu diselesaikan oleh pihak berkuasa berkemungkinan bertambah besar dan parah atas komen-komen berbaur hasutan yang dilemparkan masyarakat bagai hendak memadam api yang tengah menyala, disiram pula minyak ke atasnya.


5.0.CADANGAN DAN SARANAN UNTUK MENGATASI PERMASALAHAN KAUM DI MALAYSIA

5.1.PERANAN INDIVIDU
·         Sebagai seorang insan yang dikurniakan akal yang waras serta kemampuan untuk menilai sesebuah situasi, seorang individu itu wajar mengamalkan sikap toleransi serta berminda terbuka di negara Malaysia yang berbilang kaum ini. Sebarang permasalahan melibatkan kaum-kaum perlu diselesaikan secara adil dan profesional, di mana tiada keperluan untuk menunjukkan sebarang tindakan diskriminasi terhadap golongan kaum seperti menaikkan isu warna kulit atau mempersoalkan amalan serta budaya turun-temurun kaum masing-masing. Seseorang individu itu perlu menghormati budaya kaum lain dan menerima amalan dan gaya hidup mereka sebagai satu keistimewaan yang tiada bezanya dengan amalan kehidupan masyarakat Melayu di negara Malaysia. 

·         Seseorang individu itu boleh bergaul dengan individu daripada kaum yang berbeza daripada beliau untuk menggalakkan persefahaman di antara satu sama lain kerana terdapat banyak persamaan yang boleh menjadi satu ikatan persahabatan seperti minat, hobi dan juga pendapat. Banyak kelebihan yang akan diperolehi daripada hubungan ini. Oleh itu, seseorang individu itu perlu mengamalkan sikap keterbukaan ini. 
                                
5.2. PERANAN IBU BAPA
·         Para ibu bapa perlu mendidik anak-anak dari kecil untuk menghormati individu lain tidak kira asal-usulnya atau keadaan individu tersebut. Ibu bapa perlu menanam sikap keterbukaan sebegini supaya anak-anak tidak dipengaruhi oleh pengaruh luar yang negatif seperti rancangan televisyen yang menjadi tontonan anak-anak kerana dewasa ini, rancangan kartun juga tidak terkecuali daripada menunjukkan unsur perkauman. Kelemahan ibu bapa dalam membendung perkara ini akan mengalakkan pertumbuhan anak-anak secara negatif seperti mentaliti yang tidak sihat serta perangai yang buruk terhadap kaum lain.

·         Para ibubapa juga perlu menjadi role model kepada anak-anak. Oleh kerana sejak lahir, kanak-kanak membesar melalui pemerhatian ibubapa mereka, ibubapa hendaklah menunjukkan contoh yang baik terhadap anak-anak mereka supaya mereka mengamalkan sikap-sikap yang baik serta menjauhi perkara-perkara buruk yang bercanggah dengan ajaran ibubapa. Sebagai contoh, ibubapa boleh mengajar sirah-sirah yang terdapat dalam Al-Quran serta hadis untuk kebaikan anak-anak. Melalui kaedah ini, anak-anak dapat menjadikan kisah itu sebagai teladan.

5.3. PERANAN MASYARAKAT
·         Masyarakat majmuk di negara Malaysia yang berasaskan penduduk berbilang kaum di Malaysia perlu mengekalkan keharmonian kehidupan secara berterusan dan konsisten dek kerana banyak permasalahan kaum berlaku disebabkan pengetahuan yang kurang mengenai perihal budaya serta agama kaum lain di Malaysia (Awang, 2013). Sifat kekitaan perlu ditanam dan dipupuk dalam setiap anggota masyarakat untuk menggalakkan perpaduan serta permuafakatan diantara satu sama lain. Masyarakat perlu memperbanyakkan persamaan dan pada masa yang sama mengurangkan perbezaan di antara kaum untuk mengatasi jurang yang memisahkan kaum-kaum di Malaysia dari bersatu padu untuk membina satu masyarakat yang aman dan damai. Contohnya, menggunakan bahasa yang sama iaitu Bahasa Melayu serta penerapan dan pengamalan konsep 1Malaysia dalam kehidupan sejagat.

·         Masyarakat juga perlu menjadi lebih bijak dalam menilai sesebuah berita yang tersebar meluas melalui lama sosial. Masyarakat perlu mencari kebenaran dan mendapatkan kesahihan cerita yang diperoleh sebelum menyebarkan sebarang perkara kepada orang lain. Kita haruslah mempunyai sifat tanggungjawab di atas segala berita yang kita sampaikan.

5.4. PERANAN PEMIMPIN
·         Sebagai seorang pemimpin sesebuah negara yang berbilang kaum, seseorang itu memikul sebuah tanggunjawab yang besar untuk memastikan keharmonian negara terjamin dan kebajikan rakyatnya terjaga. Isu perkauman dalam negara merupakan salah satu permasalahan yang menghantui benak fikiran seorang pemimpin. Oleh itu, dengan kuasa dan pertolongan yang diperolehi, beliau perlu melaburkan masa dan buah fikiran yang kritis untuk menjana idea-idea yang boleh membawa kepada kesajahteraan ramai. Contohnya, melalui perasmian program kebajikan untuk memperbaiki taraf kehidupan penduduk seperti pengagihan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) kepada penduduk yang tidak berkemampuan tidak kira kaum mana beliau berasal.

6.0.PENUTUP

Kesimpulannya, isu-isu perkauman di negara Malaysia perlu dibendung dan dijauhi oleh semua pihak kerana ia merupakan satu isu yang sensitif dan tidak boleh dipandang rendah dek kerana negara Malaysia yang mempunyai bilangan kaum yang banyak berserta dengan adat dan budaya masing-masing. Kita juga perlu sedar betapa nipisnya perpaduan antara masyarakat di negera ini.Insiden rusuhan di Plaza Low Yat yang mencetuskan ketegangan di ibu negara adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.Ternyata insiden itu telah menguji kita semua betapa hal yang kecil boleh bertukar menjadi rusuhan. Lebih buruk lagi ia dipanaskan dengan sentimen perkauman walaupun hakikat itu cuba dinafikan. Kita harus sedar tanpa kepelbagaian kaum ini, negara Malaysia tidak akan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Oleh itu, mengekalkan perpaduan yang terjalin daripada usaha-usaha pemimpin terdahulu ini menjadi keutamaan semua pihak, baik dalam perkara yang kecil mahupun yang besar melibatkan kaum di Malaysia.

7.0.RUJUKAN
Abd Rashad, R. (2015). Henti Sebar Berita Palsu Isu Low Yat.Sinar Harian. [online] Available   at: http://www.sinarharian.com.my/semasa/henti-sebar-berita-palsu-isu-low-yat-1.410292        [Accessed 13 Mar. 2016].
Allport, G. and Postman, L. (1965).The psychology of rumor. New York: Russell & Russell,         p.29
Astroawani.com. (2015).Gaduh Low Yat Ali Tinju ditahan mengikut Akta Hasutan. [online]           Available at: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/gaduh-low-yat-ali-tinju-           ditahan-mengikut-akta-hasutan-65836 [Accessed 3 Apr. 2016].
Johar, J. (2015). KP Jasa: Barang Tiruan, Kenapa KPDNKK Lambat Bertindak?. [Blog]   MyNewsHub. Available at: http://www.mynewshub.cc/2015/07/13/puad-zarkashi-barang-         tiruan-kenapa-kpdnkk-lambat-bertindak/ [Accessed 9 Apr. 2016].
Kamus Dewan. (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, p.259
Kapferer, J. (1990). Rumors. New Brunswick (U.S.A): Transaction Publishers, p.34-39
Knapp, R. (1944). A Psychology of Rumor.Public Opinion Quarterly, 8(1), p.22.
Peterson, W. and Gist, N. (1951).Rumor and Public Opinion.American Journal of Sociology,        57(2),   pp.159-167.
Sinar Harian, (2015). Insiden Low Yat tak patut berlaku, kata Dr M. [online] Available at:             http://www.sinarharian.com.my/ultras/liga-malaysia/insiden-low-yat-tak-patut-berlaku-      kata-dr-m-1.410678 [Accessed 1 Apr. 2016].
AstroAwani.com. (2015).Peniaga di Plaza Low Yat rugi 50 peratus sehari – MCA.[online]
peratus-sehari-mca-65995 [Accessed 14 Apr. 2016].



TheSKOP.com. (2015).Fakta Sebenar Kes Gaduh Di Plaza Low Yat.[online]

Ammboi.com. (2015).(LAPORAN POLIS) PENDEDAHAN KISAH SEBENAR PUNCA
PERGADUHAN DI PLAZA LOWYAT [online]. Available at: http://www.ammboi.com/2015/07/13/laporan-polis-pendedahan-kisah-sebenar-punca-pergaduhan-di-plaza-lowyat/ [Accessed 15 April 2016].

AstroAwani.com. (2015).Plaza Low Yat kecoh, tujuh lelaki mengamuk.[online]
lelaki-mengamuk-65545 [Accessed 15 April 2016]


8.0.LAMPIRAN
Lampiran 1: Petikan daripada mynewshub.com
Lampiran 2: Sumber daripada Sinar Harian Online
Lampiran 3: Sumber daripada Facebook Polis Diraja Malaysia





Lampiran 4: Petikan daripada Sinar Harian Online

Lampiran 5: Petikan daripada AstroAwani.com

Lampiran 6: Komen warga Malaysia daripada blog theskop.com

Lampiran 7: Petikan daripada blog ammoi.com
Lampiran 8: Komen warga Malaysia daripada theskop.com

Lampiran 9: Petikan dari AstroAwani.com
Lampiran 10: Petikan dari AstroAwani.com



No comments:

Post a Comment

Adverbs of Time Exercise

 Adverbs of Time Circle the correct answers. 1.      Giraffes sometimes / usually / never eat meat. They are vegetarians. 2.     My little s...