DINAMIKA
MALAYSIA
(ISU
PERGADUHAN DI PLAZA LOW YAT CETUS KRISIS PERKAUMAN)
1.0.PENDAHULUAN
Mengikut Kamus Dewan
Bahasa Edisi Keempat, khabar angin didefinisikan sebagai simpulan bahasa yang
menggambarkan khabar yang belum atau tidak pasti kebenarannya. Allport dan
Postman pula mendefinisikan khabar angin sebagai satu informasi yang spesifik
untuk kepercayaan, disebarkan dari satu individu ke individu yang lain, kebiasaannya
melalui perkataan, tanpa kehadiran sebarang bukti yang sahih untuk menyokong
informasi tersebut.Khabar angin juga ditakrifkan sebagai kepercayaan kepada
sesuatu rujukan tanpa sebarang pengesahan rasmi (Knapp, 1944).Merujuk kepada
Peterson dan Gist dalam jurnal mereka bertajuk ‘Rumors and Public Opinion’, khabar angin merupakan satu penerangan
yang tidak sahih disebarkan dalam suatu linkungan masyarakat berkaitan sesuatu
objek, isu atau peristiwa yang melibatkan perhatian awam.
Merujuk kepada definisi-definisi
di atas, khabar angin dapat disimpulkan sebagai apa-apa berita atau perkhabaran
yang menuju ke arah berita palsu yang disebarkan oleh seseorang dan mendapat
perhatian daripada masyarakat umum; tidak kira informasi berkaitan seseorang
individu atau isu semasa.Allport dan Postman pernah menjalankan satu eksperimen
untuk membuktikan bahawa khabar angin boleh menjurus ke arah berita
palsu.Hasilnya, semakin tersebar informasi tersebut, semakin jauh tersasar isi
maklumat informasi yang disampaikan dari seorang ke seorang.
Ramai dalam kalangan
masyarakat kita yang tahu khabar angin ini kebiasaannya menjurus kepada berita
palsu dan boleh mendatangkan salah faham.Namun begitu, khabar angin telah
menjadi perkara yang lumrah dalam masyarakat kita pada hari ini.Tambahan pula,
dengan adanya perkembangan teknologi terutamanya penggunaan sosial media yang
meluas, khabar angin kini lebih mudah disebarkan dengan pantas tanpa mempunyai
sebarang batasan.Masyarakat akan mudah menyalah tafsir sesuatu khabar angin yang
diterima dan mudah mempercayainya lebih-lebih lagi jika khabar angin tersebut
disebarkan oleh banyak pihak. Antara khabar angin yang menjadi kegemaran
masyarakat adalah khabar angin yang berunsurkan politik, perkauman dan perkara
yang memalukan sesuatu pihak.Penyebaran khabar angin seperti ini secara
berleluasa telah banyak memberi impak negatif terhadap keharmonian masyarakat
majmuk di negara ini lebih-lebih lagi dari aspek sosial.
Negara kita pernah
digemparkan dengan satu isu pergaduhan antara kaum pada pertengahan tahun
lepas.Isu kes kecurian telefon di Plaza Low Yat telah mencetuskan pergaduhan
antara kaum Cina dan Melayu.Disebabkan khabar angin dan penyebaran informasi
yang tidak tepat di dalam media sosial, pergaduhan besar-besaran telah berlaku di
sekitar perkarangan Plaza Low Yat serta serangan telah dilakukan ke atas
premis-premis perniagaan di dalam plaza tersebut.Mengikut berita asal, suspek
yang berbangsa Melayu itu telah mencuri telefon pintar jenama Lenovo S860
semasa peniaga terbabit yang berbangsa Cina sedang leka menyiapkan hadiah
percuma yang diberi dengan pembelian telefon pintar tersebut.Namun begitu,
rakan-rakan suspek telah menyebarkan berita kononnya suspek ditipu oleh peniaga
terbabit yang memberikannya telefon pintar klon dan mahu menuntut telefon yang
original daripada premis berkenaan.Isu berkenaan telah membangkitkan kemarahan
orang Melayu dan mereka bertindak menimbulkan pergaduhan dan kekecohan di
tempat kejadian.
Khabar angin tersebut
turut menimbulkan salah faham di kalangan rakyat Malaysia terutamanya
masyarakat Melayu kerana mereka mengganggap masyarakat Cina telah menganiaya
ramai pengguna Melayu dan melakukan tuduhan mencuri kepada suspek yang
berbangsa Melayu tanpa mencari kesahihan khabar angin yang tersebar.Isu kecurian
telefon pintar tersebut telah mencetuskan pergaduhan antara kaum.Hal ini jelas
dapat dilihat apabila kebencian terhadap kaum Cina disuarakan dalam laman-laman
sosial seperti blog, Facebook, Twitter dan lain-lain.
Isu ini jelas
mendatangkan kebimbangan kepada pelbagai pihak.Pergaduhan yang berlaku telah
membuka mata masyarakat betapa nipisnya jalinan perpaduan antara kaum di negara
ini.Laporan ini akan mengetengahkan isu penyebaran khabar angin tentang
pergaduhan di Plaza Low Yat bermula dengan kronologi kejadian dan bagaimana
akhirnya isu ini menjadi isu perkauman di negara kita serta cadangan dan
saranan untuk menyelesaikan isu tersebut.
2.0.RUMUSAN
KRONOLOGI INSIDEN PERGADUHAN DI PLAZA LOW YAT KUALA LUMPUR
Isu utama kejadian di Plaza Low Yat telah disahkan
berpunca daripada kes jenayah mencuri telefon pintar yang dilakukan oleh Shahrul
Anuar bin Abdul Aziz dan diakui sendiri olehnya kepada polis. Hasil siasatan
polis, dibuktikan dengan rakaman CCTV telah mengesahkan kejadian jenayah curi
tersebut. Isu resit seperti mana yang telah disebarkan secara meluas dalam
media sosial tidak wujud langsung dalam siasatan pihak polis. Untuk mengukuhkan
lagi fakta ini, perkara ini telah dijelaskan oleh KBSJD Dang Wangi kepada wakil
NGO, diketuai Ali Tinju dan telah diterima baik oleh mereka.
Pada insiden serangan pertama pada 11 JUL 2015, MohamadKhairul
Azmi bin Mazlan didakwa keranamenghasut rakan-rakannya menyerang kedai terbabit
kononnya mereka telah ditipu dalam urusan pembelian telefon bimbit.
Mohamad Khairul Azmi bin Mazlan adalah individu yang
ditangkap bersama suspek utama kemudiannya telah dibebaskan. Dia bertanggungjawab
memutarbelitkan fakta sebenar punca kejadian tersebut dan telah menghasut
rakan-rakanya untuk menyerang dan merosakkan harta benda di kedai berkenaan.Dia
juga bertanggungjawab memberi gambaran yang bercanggah punca sebenar kejadian
tersebut. Pihak polis sedang berusaha mengesan beliau dan rakan-rakan yang lain
untuk tujuan tangkapan dan pendakwaan.
Pihak Ketua Polis Kuala Lumpurtelah mengadakan sidang
media bagi menjelaskan insiden yang berlaku agar masyarakat awam jelas mengenai
punca kejadian.Ketua Polis Kuala Lumpur masih meneruskan langkah-langkah
pencegahan berikutan rusuhan yang berlaku berhadapan dengan perkarangan Plaza
Low Yat kerana masyarakat Melayu yang tidak berpuas hati dan menganggap mereka
telah dianiayai oleh peniaga-peniaga Cina di plaza terbabit.
3.0.KESAN-KESAN
INSIDEN KECURIAN TELEFON PINTAR DAN PERGADUHAN DI PLAZA LOW YAT
3.1.TANGGUNGJAWAB
KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN DIPERSOAL
·
Kejadian yang berlaku di Plaza Low Yat
menimbulkan isu dan persoalan sama ada pihak Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur
menjalankan tugas atau tidak. Walaupun KPDNKK telah menerima pelbagai aduan
daripada pelanggan, namun tiada tindakan segera yang diambil. Pelbagai pihak
telah menunding jari ke arah pihak KPDNKK kerana tidak mengambil tindakan
pencegahan dan pembaikan dari segi sistem jual beli di Plaza Low Yat. Ketua
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja
Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zakarshi telah membangkitkan pengutaraan tentang
cara KPDNKK menjalankan tugas dalam membanteras segala insiden negatif yang
berlaku di Plaza Low Yat.
·
[1]KPDNKK
mula menjalankan pantauan dan siasatan setelah insiden pada 12 Julai berlaku.
Pengarahnya KPDNKK, Muez Abdul Aziz berkata, "KPDNKK
juga akan bekerjasama dengan pemilik hak cipta yang juga pengeluar telefon
bimbit berkenaan untuk mengenalpasti sama ada telefon bimbit itu asli atau
tiruan," katanya kepada sebuah portal. Selain itu, beliau turut mengesahkan kes tersebut akan disiasat di bawah
peruntukan Akta Perihal Dagangan 2011 di samping memberi nasihat kepada
orang awam dengan menyatakan, “Kita ada
peruntukan undang-undang... lapor terus kepada KPDNKK dan kami akan mulakan
siasatan berdasarkan laporan yang diterima. Jangan bertindak ikut emosi”. Namun,
jika pihak KPDNKK menjalankan pemantauan dan pencegahan masalah dengan lebih
awal lagi, risiko insiden yang tidak harap akan terjadi akan lebih lewat.
·
Kes ini melibatkan peniaga Cina dan
remaja Melayu. Justeru, isu perkauman telah dibangkitkan apabila kedua-dua
pihak berlainan bangsa and agama berlaku pertelingkahan. Masalah sosial akibat
pertelingkahan ini bertambah serius apabila jumlah orang yang terlibat dalam
insiden tersebut turut meningkat. Kesannya, pertelingkahan yang kecil dan
sebenarnya boleh diselesaikan telah berubah menjadi salah faham antara kaum.
Bukan itu sahaja, berita dan khabar angin palsu telah disebarkan dan menjadi
buah mulut orang ramai sehingga kebenaran insiden tersebut turut diubah suai. [2]Presiden Martabat Jalinan Muhibah
Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, kekecohan yang berlaku di
Plaza Low Yat hanyalah salah faham dan tidak perlu digembar gemburkan lagi.
Beliau turut menegaskan kepada orang ramai agar menghentikan kebangkitan
tentang isu perkauman. Beliau mendakwa Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) patut dipersalahkan susulan insiden
pergaduhan yang berlaku di Plaza Low Yat kerana tidak menjalankan tugas mereka
dengan baik untuk memantau perniaga yang gemar mengambil kesempatan terhadap
pengguna.
3.2.
MENGGUGAT KEHARMONIAN DAN PERPADUAN MASYARAKAT AKIBAT KEKACAUAN
·
Insiden ini telah meningkatkan risiko
untuk terjadinya kembali peristiwa berdarah zaman lampau. Mengenang kembali
rusuhan kaum yang telah berlaku pada 13 Mei 1969, insiden tersebut hanya
membawa kerugian kepada imej negara dan hubungan harmoni antara pelbagai etnik
dalam negara. Bukan itu sahaja, semangat perpaduan yang ingin ditanam dalam
diri setiap masyarakat Malaysia untuk memajukan negara turut menjadi suatu misi
yang sukar.
·
Di samping itu, ketenteraman sekeliling
dan masyarakat turut terancam. Dalam kejadian pada pukul 12.05 tengah malam
itu, dua kumpulan berkenaan saling membaling topi keledar dan turut bertindak
memukul seorang jurugambar manakala seorang wartawan yang cuba membantu juga
menerima nasib sama. [3]Akibatnya,
jumlah angka tangkapan berhubung insiden
pergaduhan dan rusuhan untuk diberi keterangan and penjelasan lanjut di Plaza
Low Yat telah meningkat kepada 19 orang dan siasatan akan dibuat mengikut
Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
·
Kekacauan yang berlaku telah menjejaskan
ketenteraman orang awam. Lebih-lebih lagi terdapat pihak yang menbuat provinsi
dan bertindak agresif. Keselamatan orang awam juga turut terancam kerana pihak
keselamatan dan polis tidak dapat menahan kesemua pihak yang cuba membuat
pemulauan dan boikot terhadap Plaza Low Yat.
·
Seterusnya, [4]Tun Dr. Mahathir Mohamad telah memberi pandangan beliau dalam insiden
yang telah berlaku di plaza tersebut.
Beliau menegaskan bahawa hal tersebut tidak harus berlaku
walau berbeza agama, walau ada perasaan marah, cara penyelesaian bukanlah
dengan cara merusuh, negara akan menjadi sebuah negara yang tidak aman dan
tidak menarik untuk sesiapa pun. Beliau turut berkata, ‘dalam menghadapi
sesuatu masalah, rundingan secara aman dan damai adalah langkah terbaik bagi
mengelakkan huru-hara’.
3.3.
PENAHANAN ‘ALI TINJU’ DITAHAN DI BAWAH AKTA HASUTAN
·
[5]Isu
pergaduhan di Low Yat juga membawa kepada isu penahanan ‘Ali Tinju’ atau nama
sebenarnya Moha Ali Baharom kerana didakwa membuat ucapan terbuka berbaur
sentimen perkauman di hadapan Plaza Low Yat pada malam terbabit sekaligus
mengakibatkan rusuhan dan pergaduhan yang membabitkan masyarakat Melayu dan
Cina di kawasan tersebut.
·
Ucapan berbaur perkauman seperti itu
tidak harus berlaku memandangkan isu sebenar yang terjadi tidak mempunyai
kaitan langsung dengan isu perkauman. Khabar angin yang tersebar secara meluas
telah menyebabkan orang ramai percaya dengan sebulatnya isu yang disuarakan.
Ali Tinju dalam pada itu telah mengambil kesempatan untuk menyemarakkan lagi
api pertelingkahan antara kaum Melayu dan Cina dengan membuat ucapan secara
terbuka tersebut kepada kaum Melayu yang berada di situ. Namun begitu,
butir-butir ucapan beliau tidak dapat disertakan kerana tiada maklumat lanjut
berkenaan isi kandungan sebenar ucapan tersebut.
3.4.PENYEBARAN BERITA PALSU DI MEDIA SOSIAL TELAH MENIMBULKAN
PELBAGAI KONTROVERSI
·
Antara
kesan negatif yang diperolehi daripada kes pergaduhan di plaza Low Yat ini
ialah penyebaran berita palsu di media sosial telah menimbulkan pelbagai
kontroversi yang telah membuatkan ramai pihak bertelagah antara satu sama lain.
Antaranya ialah kaum melayu telah mengutuk kaum cina dan kaum cina telah
mengutuk kamu melayu.
·
Salah
satu contohnya, kaum melayu telah menyuruh kaum cina untuk kembali ke tanah air
mereka iaitu negara Cina kerana telah membuat onar di negara Malaysia dan
menyatakan bahawa negara Malaysia hanyalah untuk orang melayu sahaja. Manakala,
kaum cina telah menyatakan bahawa orang melayu telah mengambil kesempatan
dengan mencuri barang tetapi telah menukar-nukarkan cerita yang sebenar dan
berpura-pura mengaku bahawa mereka tidak bersalah.
·
Faktor
ini telah menyebabkan kemarahan daripada kedua-dua belah pihak. Tamabahan lagi,
di media sosial jugalah khabar angin yang palsu ini dibesar-besarkan dan
sesetengah pihak telah meluahkan perasaan mereka di media sosial seperti
Facebook, Twitter, dan blog.
·
[6]Seperti gambar di lampiran yang diambil daripada komen di
blog yang mengeluarkan kenyataan tentang pergaduhan di Low Yat, pemuda melayu
ini telah mengeluarkan kenyataan yang berunsur perkauman dengan mengatakan
bahawa “apahal sangat nak bela cina”. Pernyataan ini tidak seharusnya
dikeluarkan oleh pemuda melayu tesebut kerana kita sebagai satu rakyat Malaysia
haruslah sentiasa bersatu padu dan saling hormat-menghormati antara satu sama
lain.
·
[7]Gambar di lampiran ini juga telah diperolehi daripada laman
blog yang telah membuat spekulasi berkenaan kejadian pergaduhan di plaza Low Yat.
Pernyataan khabar angin di setiap blog tidak boleh dipercayai oleh semua orang
kerana tidak semua orang akan merumuskan pernyataan seperti di dalam gambar
tersebut. Ini kerana, terdapat beberapa pernyataan atau kesan positif yang
telah kami jumpai akibat kes pergaduhan di plaza low yat ini daripada
komen-komen di blog seperti di atas mengatakan bahawa rakyat Malaysia tidak
seharusnya mengutuk dan mempersendakan antara satu sama lain.
·
Manakala,[8]Xua
menyatakan isu pergaduhan seperti ini tidak perlu untuk memperbesar-besarkan
dan mampu diselesaikan dengan cara yang lebih baik jika semua rakyat Malaysia
tidak cuba untuk saling menyalah-nyalahi antara satu sama lain. Ini kerana, kes
pergaduhan di plaza low yat ini tidak akan timbul faktor seperti permusuhan
kaum, jika semua rakyat Malaysia mempunyai kesedaran akan semua orang di muka
bumi ini sebenarnya mempunyai kelemahan masing-masing dan tidak semua orang di
muka bumi ini amat sempurna.
3.5. PENIAGA MENANGGUNG KERUGIAN BESAR
·
Kerugian
sebanyak RM70,000 perlu ditanggung rugi oleh pemilik kedai OPPO yang berlaku
rusuhan di situ.[9]Sumber
telah diperolehi daripada laman web rasmi Astro Awani yang mengatakan bahawa
“kes ini disiasat mengikut Seksyen 147 dan 427 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Kerugian dianggarkan lebih RM70,000.”
·
Kerugian
tersebut termasuk dengan barang-barang yang telah dipecahkan seperti cermin
kedai, alat-alat telefon di kedai OPPO tersebut. Perkara ini telah menyebabkan
banyak pihak yang rugi besar.
·
Bukan
hanya sekadar kedai OPPO tersebut yang hanya mengalami kerugian bahkan
kedai-kedai telefon bimbit yang berada di sekitarnya juga terkena tempias
kerana rusuhan yang berlaku di plaza Low Yat tersebut.
·
Semasa
hari kejadian, banyak peniaga yang telah menutup kedai mereka dengan lebih awal
kerana risau akan keselamatan diri mereka. Tidak lupa juga kepada pelanggan
yang tidak ingin pergi ke plaza Low Yat sehingga menyebabkan peniaga-peniaga di
situ perlu menanggung kerugian sebanyak 50 peratus sehari untuk dibandingkan
dengan hari sebelum kejadian.
·
Perkara
ini serba sedikit telah mengacau periuk nasi peniaga-peniaga di plaza Low Yat
ini kerana tapak kedai yang disewa itu agak mahal[10].
Apabila ramai pelanggan yang takut untuk pergi ke plaza low yat, sudah
semestinya perniagaan mereka tidak akan berjalan dengan lancar dan mereka akan
susah untuk mendapat keuntungan.
4.0.RUMUSAN
Secara rumusnya, isu
pergaduhan di Plaza Low Yat yang tidak berasaskan moral ini terjadi kerana
penyebaran berita tidak sahih dan berasas oleh rakan-rakan suspek, Mohammad
Khairul Azmi.Mereka telah menyebarkan khabar angin yang yang berunsur hasutan,
hinaan dan cacian dengan niat untuk membela nasib suspek meskipun usaha mereka
umpama menegakkan benang yang basah.Penyebaran helah suspek turut disemarakkan
lagi dengan adanya bantuan media sosial seperti Facebook dan Twitter.Ketika
berlakunya peristiwa tersebut, ramai pengguna media sosial terutamanya golongan
remaja yang telah mengemukakan pendapat yang berbaur hasutan perkauman meskipun
tidak mengetahui punca sebenar pergaduhan.
Berikutan dengan itu,
insiden ini telah menaikkan kemarahan masyarakat Malaysia terutamanya kaum
Melayu dan Cina yang termakan dengan helah suspek bahawa kes ini melibatkan isu
perkauman antara kaum Melayu dan Cina.Insiden ini ibarat penayangan semula kes
13 Mei 1969.Ia juga turut menggoncang keharmonian dan kepercayaan antara
kedua-dua kaum ini sehingga melibatkan pertumpahan darah di hadapan Plaza Low
Yat.Maka, jelaslah terdapat masalah sosial dalam masyarakat Malaysia yang perlu
dipupuk dan dibentuk supaya tidak berulang kembali dan mencatat sejarah buruk
bagi rakyat Malaysia.
Natijahnya, penyebaran
hal-hal yang tidak bertauliah ataupun berasas secara berleluasa mampu
menyebabkan pertelingkahan antara masyarakat, menaikkan isu perkauman dan
menggugat keharmonian negara.Masyarakat pula perlu bijak untuk tidak
mempercayai bulat-bulat dengan penyebaran berita-berita tersebut. Tambahan pula,
dengan adanya media sosial, kes-kes kecil yang mampu diselesaikan oleh pihak
berkuasa berkemungkinan bertambah besar dan parah atas komen-komen berbaur
hasutan yang dilemparkan masyarakat bagai hendak memadam api yang tengah
menyala, disiram pula minyak ke atasnya.
5.0.CADANGAN
DAN SARANAN UNTUK MENGATASI PERMASALAHAN KAUM DI MALAYSIA
5.1.PERANAN
INDIVIDU
·
Sebagai seorang insan yang dikurniakan
akal yang waras serta kemampuan untuk menilai sesebuah situasi, seorang
individu itu wajar mengamalkan sikap toleransi serta berminda terbuka di negara
Malaysia yang berbilang kaum ini. Sebarang permasalahan melibatkan kaum-kaum
perlu diselesaikan secara adil dan profesional, di mana tiada keperluan untuk
menunjukkan sebarang tindakan diskriminasi terhadap golongan kaum seperti
menaikkan isu warna kulit atau mempersoalkan amalan serta budaya turun-temurun
kaum masing-masing. Seseorang individu itu perlu menghormati budaya kaum lain
dan menerima amalan dan gaya hidup mereka sebagai satu keistimewaan yang tiada
bezanya dengan amalan kehidupan masyarakat Melayu di negara Malaysia.
·
Seseorang individu itu boleh bergaul dengan
individu daripada kaum yang berbeza daripada beliau untuk menggalakkan
persefahaman di antara satu sama lain kerana terdapat banyak persamaan yang
boleh menjadi satu ikatan persahabatan seperti minat, hobi dan juga pendapat.
Banyak kelebihan yang akan diperolehi daripada hubungan ini. Oleh itu,
seseorang individu itu perlu mengamalkan sikap keterbukaan ini.
5.2.
PERANAN IBU BAPA
·
Para ibu bapa perlu mendidik anak-anak
dari kecil untuk menghormati individu lain tidak kira asal-usulnya atau keadaan
individu tersebut. Ibu bapa perlu menanam sikap keterbukaan sebegini supaya
anak-anak tidak dipengaruhi oleh pengaruh luar yang negatif seperti rancangan
televisyen yang menjadi tontonan anak-anak kerana dewasa ini, rancangan kartun
juga tidak terkecuali daripada menunjukkan unsur perkauman. Kelemahan ibu bapa
dalam membendung perkara ini akan mengalakkan pertumbuhan anak-anak secara
negatif seperti mentaliti yang tidak sihat serta perangai yang buruk terhadap
kaum lain.
·
Para ibubapa juga perlu menjadi role model kepada anak-anak. Oleh kerana
sejak lahir, kanak-kanak membesar melalui pemerhatian ibubapa mereka, ibubapa
hendaklah menunjukkan contoh yang baik terhadap anak-anak mereka supaya mereka
mengamalkan sikap-sikap yang baik serta menjauhi perkara-perkara buruk yang
bercanggah dengan ajaran ibubapa. Sebagai contoh, ibubapa boleh mengajar
sirah-sirah yang terdapat dalam Al-Quran serta hadis untuk kebaikan anak-anak.
Melalui kaedah ini, anak-anak dapat menjadikan kisah itu sebagai teladan.
5.3.
PERANAN MASYARAKAT
·
Masyarakat majmuk di negara Malaysia
yang berasaskan penduduk berbilang kaum di Malaysia perlu mengekalkan
keharmonian kehidupan secara berterusan dan konsisten dek kerana banyak
permasalahan kaum berlaku disebabkan pengetahuan yang kurang mengenai perihal budaya
serta agama kaum lain di Malaysia (Awang, 2013) .
Sifat kekitaan perlu ditanam dan dipupuk dalam setiap anggota masyarakat untuk
menggalakkan perpaduan serta permuafakatan diantara satu sama lain. Masyarakat
perlu memperbanyakkan persamaan dan pada masa yang sama mengurangkan perbezaan
di antara kaum untuk mengatasi jurang yang memisahkan kaum-kaum di Malaysia
dari bersatu padu untuk membina satu masyarakat yang aman dan damai. Contohnya,
menggunakan bahasa yang sama iaitu Bahasa Melayu serta penerapan dan pengamalan
konsep 1Malaysia dalam kehidupan sejagat.
·
Masyarakat juga perlu menjadi lebih
bijak dalam menilai sesebuah berita yang tersebar meluas melalui lama sosial.
Masyarakat perlu mencari kebenaran dan mendapatkan kesahihan cerita yang
diperoleh sebelum menyebarkan sebarang perkara kepada orang lain. Kita haruslah
mempunyai sifat tanggungjawab di atas segala berita yang kita sampaikan.
5.4.
PERANAN PEMIMPIN
·
Sebagai seorang pemimpin sesebuah negara
yang berbilang kaum, seseorang itu memikul sebuah tanggunjawab yang besar untuk
memastikan keharmonian negara terjamin dan kebajikan rakyatnya terjaga. Isu
perkauman dalam negara merupakan salah satu permasalahan yang menghantui benak
fikiran seorang pemimpin. Oleh itu, dengan kuasa dan pertolongan yang
diperolehi, beliau perlu melaburkan masa dan buah fikiran yang kritis untuk
menjana idea-idea yang boleh membawa kepada kesajahteraan ramai. Contohnya,
melalui perasmian program kebajikan untuk memperbaiki taraf kehidupan penduduk
seperti pengagihan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) kepada penduduk yang tidak
berkemampuan tidak kira kaum mana beliau berasal.
6.0.PENUTUP
Kesimpulannya, isu-isu perkauman di negara Malaysia
perlu dibendung dan dijauhi oleh semua pihak kerana ia merupakan satu isu yang
sensitif dan tidak boleh dipandang rendah dek kerana negara Malaysia yang
mempunyai bilangan kaum yang banyak berserta dengan adat dan budaya
masing-masing. Kita juga perlu sedar betapa nipisnya perpaduan antara
masyarakat di negera ini.Insiden rusuhan di Plaza Low Yat yang mencetuskan
ketegangan di ibu negara adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.Ternyata
insiden itu telah menguji kita semua betapa hal yang kecil boleh bertukar
menjadi rusuhan. Lebih buruk lagi ia dipanaskan dengan sentimen perkauman
walaupun hakikat itu cuba dinafikan. Kita harus sedar tanpa kepelbagaian kaum
ini, negara Malaysia tidak akan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Oleh
itu, mengekalkan perpaduan yang terjalin daripada usaha-usaha pemimpin
terdahulu ini menjadi keutamaan semua pihak, baik dalam perkara yang kecil
mahupun yang besar melibatkan kaum di Malaysia.
7.0.RUJUKAN
Abd
Rashad, R. (2015). Henti Sebar Berita Palsu Isu Low Yat.Sinar Harian.
[online] Available at: http://www.sinarharian.com.my/semasa/henti-sebar-berita-palsu-isu-low-yat-1.410292 [Accessed
13 Mar. 2016].
Allport,
G. and Postman, L. (1965).The psychology of rumor. New York: Russell
& Russell, p.29
Astroawani.com.
(2015).Gaduh Low Yat Ali Tinju ditahan mengikut Akta Hasutan. [online] Available at: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/gaduh-low-yat-ali-tinju- ditahan-mengikut-akta-hasutan-65836
[Accessed 3 Apr. 2016].
Johar,
J. (2015). KP Jasa: Barang Tiruan, Kenapa KPDNKK Lambat Bertindak?. [Blog] MyNewsHub. Available at: http://www.mynewshub.cc/2015/07/13/puad-zarkashi-barang- tiruan-kenapa-kpdnkk-lambat-bertindak/
[Accessed 9 Apr. 2016].
Kamus
Dewan. (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, p.259
Kapferer,
J. (1990). Rumors. New Brunswick (U.S.A): Transaction Publishers,
p.34-39
Knapp,
R. (1944). A Psychology of Rumor.Public Opinion Quarterly, 8(1), p.22.
Peterson,
W. and Gist, N. (1951).Rumor and Public Opinion.American Journal of
Sociology, 57(2), pp.159-167.
Sinar
Harian, (2015). Insiden Low Yat tak patut berlaku, kata Dr M. [online]
Available at: http://www.sinarharian.com.my/ultras/liga-malaysia/insiden-low-yat-tak-patut-berlaku- kata-dr-m-1.410678
[Accessed 1 Apr. 2016].
AstroAwani.com.
(2015).Peniaga di Plaza Low Yat rugi 50
peratus sehari – MCA.[online]
peratus-sehari-mca-65995
[Accessed 14 Apr. 2016].
TheSKOP.com. (2015).Fakta Sebenar Kes Gaduh Di Plaza Low Yat.[online]
Available at: http://theskop.com/2015/07/fakta-sebenar-kes-gaduh-di-plaza-low-yat/ [Accessed 14 April 2016].
Ammboi.com. (2015).(LAPORAN POLIS) PENDEDAHAN KISAH SEBENAR PUNCA
PERGADUHAN DI
PLAZA LOWYAT [online].
Available at: http://www.ammboi.com/2015/07/13/laporan-polis-pendedahan-kisah-sebenar-punca-pergaduhan-di-plaza-lowyat/ [Accessed 15 April 2016].
AstroAwani.com. (2015).Plaza Low Yat kecoh, tujuh lelaki mengamuk.[online]
lelaki-mengamuk-65545
[Accessed 15 April 2016]
8.0.LAMPIRAN
Lampiran 1: Petikan daripada mynewshub.com
Lampiran 2: Sumber daripada Sinar Harian Online
Lampiran 3: Sumber daripada Facebook Polis Diraja Malaysia
Lampiran 4: Petikan daripada Sinar Harian Online
Lampiran 5: Petikan daripada AstroAwani.com
Lampiran 6: Komen warga Malaysia
daripada blog theskop.com
Lampiran 7: Petikan daripada blog ammoi.com
Lampiran 8: Komen warga Malaysia
daripada theskop.com
Lampiran 9: Petikan dari AstroAwani.com
Lampiran 10: Petikan dari
AstroAwani.com