Kurikulum: Pengajaran dan Pembelajaran ✎.....
Tarikh: 7 Mei 2018 (Isnin)
Penglibatan: Murid 3 UPSI (38 orang murid)
Tempat: Kelas (3 UPSI)
Waktu: 1 jam (2 waktu)
Pada 7 Mei 2018, hari Isnin, pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris yang berpusatkan murid telah diadakan. Semua murid hadir pada hari tersebut dan kehadiran mencatatkan seramai 38 orang murid. Pengajaran dan pembelajaran ‘conjuctions’ dijalankan untuk mendedahkan fungsi kata hubung dan cara untuk mengaplikasikan kegunaan kata hubung dalam ayat dan perenggan. Terdapat tiga objektif yang ingin dicapai melalui proses pengajaran dan pembelajaran ini iaitu:
⦁ Murid dapat mengisi sekurang-kurangnya empat jawapan yang betul dalam soalan yang disediakan oleh guru pada kertas Mahjung .
⦁ Murid dapat membuat ayat berdasarkan kata hubung yang diperolehi.
⦁ Murid dapat mencipta cerita pendek bahasa Inggeris dengan menggunakan sekurang-kurangnya 4 kata hubung yang dipelajari dan membentangkannya kepada kelas.
Bahan mengajar yang digunakan oleh guru termasuklah papan putih dan marker, helaian kertas, kertas Mahjung dan buku latihan murid. Untuk pengetahuan sedia ada murid, murid telah tahu cara untuk menggunakan kata hubung yang sering dijumpai seperti ‘and’, ‘or’ dan ‘but’.
Proses Pengajaran dan Pembelajaran
Bagi perancangan proses pengajaran dan pembelajaran ini, guru akan memberitahu murid bahawa mereka akan belajar mengenai ‘conjunctions’ iaitu kata hubung. Guru akan mencari pemahaman murid terhadap kata hubung bahasa Inggeris dengan menanyakan apakah contoh kata hubung yang mereka sering menggunakan dan apakah fungsi setiap kata hubung tersebut. Set induksi ini dijangkakan akan mengambil masa selama 8 minit.
Seterusnya, untuk fasa kelangsungan idea, guru akan menerangkan fungsi setiap kata hubung dan memilih murid untuk memberi contoh. Guru akan menunjukkan 7 soalan pada kertas Mahjung dan ditampalkan pada papan putih. Setiap kumpulan (7 kumpulan) akan mendapat helaian kertas yang mencatatkan kata hubung yang berbeza-beza. Murid-murid diberi 4 minit untuk berbincang dalam kumpulan dan meletakkan kaata hubung yang mereka perolehi ke dalam pernyataan yang sesuai. Sementara itu, mereka juga perlu membina ayat berdasarkan kata hubung yang mereka perolehi dan menuliskan ayat tersebut pada papan putih. Fasa ini dijangka akan mengambil masa 22 minit.
Pada fasa pemantapan idea, jika terdapat kesalahan tatatertib bahasa, guru akan bertanya kepada murid untuk mengetahui bahawa mereka sedar akan kesilapan ayat yang dilakukan oleh rakan mereka atau tidak. Selepas itu, murid akan membentuk pasangan untuk membina cerita pendek dengan menggunakan sekurang-kurangnya 4 kata hubung yang telah dipelajari. Akhir sekali, beberapa pasangan akan membentangkan cerita pendek mereka di hadapan kelas. Fasa pemantapan idea ini dijangka akan mengambil masa 25 minit. Guru akhiri pengajaran dan pembelajaran pada hari tersebut dengan bertanya kepada murid yang lebih lemah untuk memastikan mereka faham dan menggalakkan murid untuk menggunakan kata hubung dalam membina ayat.
Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran ini, guru mendapati bahawa murid mempunyai pemahaman asas terhadap konsep kata hubung. Selain itu, murid juga mampu menyedari kesilapan yang dilakukan oleh rakan mereka dalam membina ayat. Pembelajaran ini dapat mencapai objektif yang ditetapkan kerana murid melakukan aktiviti sendiri manakala guru hanya membimbing mereka.
Kelebihan pengajaran dan pembelajaran ini termasuklah menggalakkan murid untuk melakukan aktiviti dengan sendiri dan menyelesaikan masalah dalam masa yang ditetapkan. Murid melakukan kerja ‘hand over’ dimana mereka menyiapkan tugas yang diberi di dalam kelas dan kerja-kerja mereka disemak oleh rakan -rakan mereka dan guru.
Namun, terdapat beberapa kelemahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran ini apabila murid tidak dapat fokus mereka mempunyai pemahaman yang kurang daripada rakan mereka dan mereka tidak menyertai perbincangan kumpulan. Selain itu, kekangan masa juga menyebabkan tidak semua pasangan mempunyai kesempatan untuk membentangkan cerita pendek mereka yang mereka cipta dengan menggunakan sekurang-kurangnya 4 kata hubung yang telah dipelajari di dalam kelas.
PERTANDINGAN DEBAT BAHASA INGGERIS ANTARA KELASTINGKATAN 2 DAN TINGKATAN 3
Pada hari Rabu, 2 Mei 2018, petandingan perdebatan antara kelas diadakan dalam kalangan murid tingkatan 2 dan tingkatan 3. Pertandingan ini melibatkan 4 buah kelas dari setiap tingkatan dan seramai 32 orang murid telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Pertandingan ini diadakan untuk mencari dan melatih murid yang berbakat dalam perdebatan Bahasa Inggeris selain mengasah murid supaya mempunyai keyakinan untuk mengeluarkan pendapat dalam Bahasa Inggeris. Pertandingan debat Bahasa Inggeris ini diadakan dan dikendalikan oleh tiga orang guru praktikal Bahasa Inggeris dan program ini merupakan aktiviti kelab bahasa Inggeris.
Pertandingan perdebatan bahasa Inggeris melibatkan 4 kelas dari setiap tingkatan. Oleh itu, guru praktikal perlu menguar-guarkan pertandingan tersebut kepada murid yang berkenaan. Perancangan pertandingan ini bermula dengan memahami peraturan-peraturan perdebatan bahasa Inggeris. Setiap kelas memerlukan sekurang-kurangnya 3 peserta dan selebihnya (jika 4 atau 5 orang) akan menjadi peserta simpanan. Oleh kerana pertandingan ini melibatkan 4 kelas setiap tingkatan, 2 sesi pertandingan akan diadakan mengikut undian tajuk. 2 kelas dari tingkatan yang sama yang mendapat tajuk yang sama akan berdebat antara satu sama lain. Wakil daripada kumpulan tersebut juga perlu mengundi sama ada mereka di pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang.
Guru praktikal perlu menjemput 6 orang pengadil bagi mengadili perdebatan bahasa Inggeris antara kelas ini. Oleh kerana perdebatan antara tingkatan 2 dan tingkatan 3 akan dijalankan pada masa yang sama di dalam kelas yang berbeza, 3 pengadil akan ditempatkan dalam setiap kelas. Borang markah yang mempunyai kriteria perdebatan akan disediakan oleh guru praktikal. Sementara itu, jam randik dan loceng perlu disediakan kerana mengikut peraturan yang telah ditetapkan, loceng akan dibunyikan sekali pada minit yang pertama, minit yang keempat dan dibunyikan sebanyak dua kali pada minit yang kelima. Sebelum pertandingan dimulakan, meja dan kerusi perlu disusun dengan teratur untuk pengadil, peserta dan penonton.
Pertandingan ini sepatutnya dijalankan dalam bulan April kerana bulan tersebut merupakan bulan bahasa Inggeris. Oleh kerana banyak kekangan daripada pelbagai aktiviti seperti aktiviti ko-akademik, pertandingan sukan, peperiksaan bulanan serta mesyuarat kokurikulum, pertandingan perdebatan bahasa Inggeris ini dianjak ke bulan Mei.
Hasil daripada aktiviti ini, aktiviti dijalankan dengan teratur dan murid turut belajar cara unutk berdebat secara berparlimen. Murid yang memenangi pertandingan perdebatan bahasa Inggeris pusingan pertama bagi tingkatan 2 dan 3, akan mara ke pusingan akhir. Murid yang mara ke pusingan akhir akan diberi tajuk baru untuk didebatkan dan diberi 15 minit untuk mencari idea. Guru praktikal dapat melihat kerjasama dan kegigihan peserta yang menyediakan idea bagi tajuk perdebatan yang terakhir dalam masa 15 minit dengan menggunakan kamus bahasa Inggeris. Kekangan dalam menjalankan program ini termasuklah terlalu banyak program yang dijalankan pada masa yang sama sehinggakan latihan untuk perdebatan bahasa Inggeris berkurang. Sementara itu, pengadil turut sukar dijemput kerana guru bahasa Inggeris mempunyai komitmen lain seperti menjadi guru PT3, guru audit buku latihan pelajar dan pihak anjuran pertandingan bahasa Inggeris.
Kekangan program dapat diatasi jika program akademik seperti ini dimasukkan dalam takwim tahunan sekolah. Kesimpulannya, saya harap program seperti ini dapat dijalankan dengan kerap, bukan sahaja dalam bulan bahasa Inggeris. Hal ini kerana program seperti ini dapat memupuk keyakinan pelajar untuk bertutur dengan idea yang bernas dan lancar dalam bahasa Inggeris.